Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sukan SEA: Skuad badminton S’pura gagal masuk final tapi dijamin dua gangsa

Pasukan wanita tewas kepada tuan rumah, Thailand, manakala pasukan lelaki negara gagal saingi kehebatan Indonesia
Dec 8, 2025 | 2:42 PM
Sukan SEA 2005, badminton, gangsa, Insyirah Khan
Pemain badminton Singapura, Insyirah Khan, beraksi dalam pertarungan perseorangan acara antara berpasukan wanita menentang pemain Thailand, Pornpawee Chochuwong, di dewan Universiti Thammasat, Pathum Thani pada 8 Disember. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Singapura dijamin dua pingat gangsa bagi memulakan kempen Sukan SEA 2025 menerusi acara badminton berpasukan wanita dan juga lelaki pada 8 Disember.

Walaupun pasukan badminton wanita negara tewas 0-3 kepada pasukan tuan rumah, Thailand, di peringkat separuh akhir, pingat gangsa terjamin bagi kededua pasukan yang gugur di separuh akhir kerana tiada perlawanan penentuan bagi tempat ketiga.

Pasukan badminton lelaki Singapura turut menyumbang pingat gangsa negara pada hari yang sama selepas ditewaskan 1-3 oleh juara bertahan Sukan SEA 2023, Indonesia, dalam pertemuan separuh akhir di Universiti Thammasat, Pathum Thani.

Pemain nombor satu negara, Loh Kean Yew, menyumbang satu-satunya mata kemenangan Singapura selepas menewaskan Alwi Farhan dalam aksi sengit, sekali gus menyerlahkan semangat juang tinggi skuad negara biarpun terpaksa akur dengan kelebihan lawan.

Dalam perlawanan berpasukan wanita pula, pemain negara, Insyirah Khan, membuka tirai perlawanan separuh akhir dengan menentang Pornpawee Chochuwong.

Insyirah, yang menduduki ranking ke-146 dunia, berjaya memberi tentangan sengit kepada pemain yang menduduki 140 tangga lebih tinggi daripadanya itu – di tangga keenam – tetapi akhirnya tewas 14-21,15-21.

Terdapat beberapa detik Insyirah berjaya menyaingi lawannya yang lebih handal, namun Pornpawee terbukti terlalu gagah, apatah lagi beraksi di hadapan penyokong sendiri.

Di pertarungan kedua, pasangan Thailand, Benyapa Aimsaard dan Supissara Paewsampran, mudah meraih kemenangan 21-6, 21-10 ke atas pasangan tanpa ranking Singapura, Jin Yujia dan Li Zheng Yan, untuk memberikan pasukan Thailand kelebihan 2-0.

Ratchanok Intanon, juara dunia badminton pertama Thailand yang menyertai Sukan SEA buat kali terakhir, kemudian menewaskan Megan Lee 21-8, 21-10 untuk menjamin kemenangan 3-0 untuk pasukan tuan rumah dan mengesahkan laluan mereka ke perlawanan akhir.

Mereka akan bertemu Indonesia.

Selepas perlawanannya, Insyirah memberitahu Berita Harian (BH), beliau akur dirinya terlalu tergesa-gesa selepas merapatkan jurang mata dengan Pornpawee dan membolehkan lawannya itu meraih kelebihan semula.

Insyirah bukan sahaja berjaya merapatkan jurang mata kepada 11-12 dalam set pertama malah mendahului 15-14 dalam set kedua.

Namun kebangkitannya itu berjaya dipatahkan lawan yang lebih berpengalaman.

“Bermain menentang lawan yang jauh lebih tinggi (dalam ranking dunia)... memberikan saya gambaran di mana level (tahap) saya dan apa yang saya perlu perbaiki dalam perlawanan seterusnya.

“(Di set kedua) saya dapat fokus pada apa yang berada di hadapan saya, tidak terlalu fokus pada perkara lain.

“Saya berjaya merapatkan jurang dan berada di hadapan tetapi akhirnya saya tergesa-gesa dan melakukan kesilapan,” katanya.

Pemain badminton wanita Singapura, Insyirah Khan.
Pemain badminton wanita Singapura, Insyirah Khan. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Hal tersebut turut dipersetujui jurulatih skuad Singapura asal Korea Selatan, Kim Ji-hyun, yang berkata perlawanan sedemikian dapat memberikan pengalaman berharga kepada Insyirah dalam mengatur langkahnya pada masa depan.

Selain daripada acara perseorangan acara berpasukan, Insyirah juga akan beraksi dalam acara beregu wanita bersama Lee di Sukan SEA ini.

“Pengalaman ini berbeza bagi Insyirah kerana saingannya berada di tahap lebih tinggi... cabarannya lebih sengit... satu pengalaman yang mungkin di luar jangkaannya.

“Beliau perlu lebih mempercayai keupayaan dirinya sendiri. Saya tahu beliau mampu terus menunjukkan peningkatan,” ujarnya kepada BH.

Turut hadir di Bangkok untuk memberikan sokongan ialah keluarga Insyirah termasuk ayahnya, bekas legenda badminton negara, Hamid Khan.

Hadir bersama isteri dan anak kedua mereka, Hamid berbangga dengan pencapaian puterinya itu.

Bekas legenda badminton negara, Hamid Khan (depan, kanan) yang juga ayah Insyirah Khan, turut berada di Thailand untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir acara badminton berpasukan wanita pada 8 Disember.
Bekas legenda badminton negara, Hamid Khan (depan, kanan) yang juga ayah Insyirah Khan, turut berada di Thailand untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir acara badminton berpasukan wanita pada 8 Disember. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

“Saya sangat gembira dengan persembahannya. Hari ini beliau menunjukkan bahawa beliau mampu bersaing di peringkat dunia kerana lawannya itu adalah pemain nombor enam dunia.

“Keputusannya tidak jauh dan Insyirah telah berusaha menyaingi setiap pukulan lawannya itu... saya dapat lihat keyakinannya kali ini.

“Dalam perlawanan sebelum Sukan SEA, beliau mungkin sering teragak-agak tetapi kali ini saya rasa beliau benar-benar bermain dengan baik.

“Saya pasti ini akan menjadi motivasi tambahan untuknya,” kata Hamid, yang kini seorang jurulatih badminton.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg