Pemain Tanjong Pagar, Aniq Rizqin, telah melahirkan rasa kesalnya dan memohon maaf atas kelakuannya pada akhir perlawanan Bawah 21 Tahun (U-21) Liga Perdana Singapura (SPL) pada 10 Februari.
Pemain berusia 19 tahun itu gagal mengawal emosinya dan telah menumbuk dua pemain Albirex Niigata selepas kemenangan 3-2 Tanjong Pagar di Stadium Jurong East, yang menyebabkan beliau diberkas pada malam yang sama.
Menurut laporan The Straits Times, Aniq berkata: “Saya ingin meminta maaf kepada semua yang berada di stadium, Albirex dan kededua pemain yang saya telah sakiti.
“Saya faham bahawa saya telah melakukan satu kesalahan... saya akan pastikan ia tidak akan terjadi lagi.”
Awal 12 Februari, Tanjong Pagar telah mengumumkan bahawa mereka telah menamatkan kontrak Aniq.
Menurut kenyataan mereka: “Kelab Bola Sepak Tanjong Pagar United ingin mohon maaf kepada penyokong kelab-kelab dan peminat bola sepak mengenai insiden yang berlaku selepas perlawanan yang melibatkan pemain U-21 kami.
“Kelab kami telah bertemu dengan pengurus, jurulatih dan pemain pasukan U-21 kami untuk menyemak insiden tersebut. Setelah ditimbangkan dengan teliti, kelab ini telah mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak Aniq Rizqin dengan serta-merta.”
Mereka menambah bahawa pihak kelab “akan terus memberikan bantuan kepada Aniq dan pihak berkuasa mengenai siasatan polis” dan sedang bekerjasama dengan Albirex “untuk memberikan sokongan kepada pemain yang terkesan”.
Dalam video yang dirakam oleh penonton di stadium, Aniq dilihat menumbuk pemain pertahanan Albirex, Sim Jun Yen, 17 tahun, semasa kededuanya berjabat tangan selepas perlawanan.
Pemain pertahanan Albirex, Kenji Austin Ho, 20 tahun, kemudian menolak Aniq tetapi beberapa saat kemudian, Aniq dilihat berlari ke arah Ho dan menumbuk mukanya, menyebabkan Ho rebah seketika di padang.
Pasukan Polis Singapura (SPF) berkongsi bahawa mereka telah menerima panggilan mohon bantuan di 21 Jurong East Street 31 sekitar 9.40 malam pada 10 Februari.
Ia juga menyatakan bahawa “seorang lelaki berusia 19 tahun kemudian ditahan kerana menyebabkan gangguan awam dan turut disiasat kerana menyebabkan kecederaan dengan sengaja”.
Siasatan polis masih dijalankan, dan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) berkata bahawa mereka juga sedang meneliti insiden tersebut.
Aniq telah mengemukakan permohonan maaf kepada Albirex dan telah menyerahkannya kepada Tanjong Pagar.
Perlawanan ini merupakan perlawanan terakhir bagi pemain muda itu sebelum dia memulakan perkhidmatan negara (NS) pada 11 Februari.
Aniq tidak dapat melaporkan diri untuk NS kerana beliau ditahan untuk disoal siasat di Kompleks Cantonment Polis.
Beliau akan melaporkan diri minggu ini, tetapi tidak ingin dedahkan lebih maklumat.
Aniq telah membuat penampilan pertama SPL seniornya pada September 2024 dan telah membuat tiga penampilan senior sejak itu, ingin mengetepikan kejadian ini dan berharap masih mempunyai peluang untuk bermain bola secara profesional selepas NS.
“Saya harap semua pihak akan memberikan saya peluang kedua.
“Ini merupakan satu kesilapan dan saya rasa kesal sekali. Mungkin saya belum cukup matang sekarang dan setelah masa (di NS) berlalu, saya akan menjadi lebih matang dan saya pasti akan belajar mengawal emosi saya.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg