Apabila Maghribi menjejakkan kaki ke Qatar bagi Piala Dunia 2022, tiada siapa menduga mereka akan menjadi pencabar yang digeruni.

Berpangkalan di pelosok barat laut Afrika, mereka ‘memanaskan’ suasana di Qatar apabila muncul sebagai negara Afrika dan Arab pertama yang melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Dunia, sebelum menamatkan saingan di tempat keempat.

Pencapaian itu disusuli pula dengan kejayaan merangkul kejuaraan penuh kontroversi Piala Negara-Negara Afrika (Afcon) 2026, selepas rayuan mereka berhubung tindakan Senegal yang menarik diri di pertengahan perlawanan diterima.

Kini, menjelang Piala Dunia 2026, mereka bakal turun padang dengan penuh keazaman untuk membuktikan kemampuan sebenar, terutama selepas takhta ‘Raja Afrika’ yang diraih pada awal tahun ini terus dipertikaikan.

Susulan kejayaan dalam Piala Dunia lalu serta kejuaraan benua tersebut, telah terbentuk sebuah skuad yang matang dan berpengalaman.

Pemain Maghribi tidak dapat menyembunyikan kekecewaan mereka selepas tewas 0-1 di tangan Senegal di perlawanan akhir Piala Negara-Negara Afrika (Afcon) 2026.
Pemain Maghribi tidak dapat menyembunyikan kekecewaan mereka selepas tewas 0-1 di tangan Senegal di perlawanan akhir Piala Negara-Negara Afrika (Afcon) 2026. - Foto REUTERS

Sejarah kadangkala boleh berulang, dan Maghribi berharap perkara itu akan berlaku sekali lagi.

Sama seperti 2022, pengurus mereka telah dipecat baru-baru ini.

Mohamed Ouahbi – yang memenangi Piala Dunia Bawah 20 Tahun bersama Maghribi pada 2025 – telah menggantikan Walid Regragui pada Mac lalu, sekali gus menggalas tugas berat yang ditinggalkan oleh pendahulunya itu yang telah membantu negaranya menempah nama di pentas dunia.

Pertukaran tersebut bermakna pasukan bergelar The Atlas Lions itu tidak mempunyai banyak masa untuk membiasakan diri dengan taktik dan falsafah jurulatih baharu itu.

Pada akhir Mac lalu, Maghribi mencatatkan keputusan seri 1-1 menentang Ecuador dan menewaskan Paraguay 2-1, sekali gus menunjukkan tanda peningkatan berbanding prestasi hambar mereka di bawah kendalian Regragui sebelum ini.

Mereka kemudian menewaskan Madagascar 4-0 pada 3 Jun lalu. Namun, keserasian itu bukanlah masalah utama setakat ini.

Besar kapal, besar pula gelombangnya, cabaran terbesar mereka ialah untuk memenuhi jangkaan tinggi yang diletakkan di atas pasukan, apatah lagi selepas kejayaan melangkah jauh di luar jangkaan ramai di Piala Dunia 2022.

Kini, pasukan tersebut berada di tangga kelapan ranking dunia dan tekanan akan sentiasa dirasai.

Semasa majlis pengenalannya, Ouahbi berkata: “Saya sedar akan jangkaan ini, tetapi saya berasa sangat bertuah.

“Saya komited untuk bekerja dengan serius, rendah hati, keazaman, serta semangat patriotisme yang tinggi demi meneruskan momentum kemajuan pasukan ini.”

Pengurus baru Maghribi, Mohamed Ouahbi, sedar harapan tinggi diletakkan di atas bahunya sekalipun mula dilantik pimpin pasukan pada Mac lalu.
Pengurus baru Maghribi, Mohamed Ouahbi, sedar harapan tinggi diletakkan di atas bahunya sekalipun mula dilantik pimpin pasukan pada Mac lalu. - Foto EPA

Bagi Piala Dunia ini, Maghribi akan berpangkalan di New Jersey, Amerika Syarikat, dengan mereka bakal membuka tirai saingan menentang Brazil pada 14 Jun di East Rutherford.

The Atlas Lions kemudian akan menentang Scotland di Massachusetts pada 20 Jun, sebelum menutup aksi Kumpulan C menentang Haiti pada 25 Jun di Atlanta.

Walau kontroversi yang melanda Maghribi di Afcon lalu, mereka tetap menjadi kuda hitam bagi kempen Piala Dunia kali ini.

Ouahbi tidak membuang masa untuk membuat keputusan besar demi membentuk skuadnya yang tersendiri.

Pemain veteran, Youssef En-Nesyri, dan Hakim Ziyech – kedua-duanya berkongsi kedudukan ketiga dalam senarai penjaring terbanyak negara itu – antara beberapa pemain yang digugurkan.

En-Nesyri, 29 tahun, memainkan peranan penting dalam membantu Maghribi melangkah ke peringkat empat pasukan terbaik pada 2022 dengan menjaringkan gol kemenangan menentang Portugal di suku akhir, dan turut beraksi di semua tujuh perlawanan mereka dalam saingan Afcon terbaru.

Pengguguran Ziyech, 33 tahun, tidaklah begitu mengejutkan walaupun beliau mempamerkan prestasi cemerlang kebelakangan ini di kelabnya, Wydad Casablanca, dari Maghribi.

Selain itu, tiada tempat juga buat Sofiane Boufal, Jawad El Yamiq dan Achraf Dari, yang kesemuanya merupakan sebahagian daripada barisan pemain yang membawa Afrika melakar sejarah ke peringkat separuh akhir di Qatar pada 2022.

Walau demikian, Ouahbi mempunyai senjata terbaru melalui Brahim Diaz, 26 tahun, yang akan beraksi di Piala Dunia pertama bersama Maghribi.

Selepas memilih untuk mewakili Maghribi berbanding Sepanyol – negara kelahirannya – pemain sayap Real Madrid itu telah menjadi tonggak utama dalam skuad, sesuatu yang telah pun dibuktikan oleh beliau sepanjang saingan Afcon lalu.

Bintang Maghribi yang beraksi bersama kelabnya, Real Madrid, Brahim Diaz, diharap mendapatkan gol-gol pasukannya di Piala Dunia 2026 ini nanti.
Bintang Maghribi yang beraksi bersama kelabnya, Real Madrid, Brahim Diaz, diharap mendapatkan gol-gol pasukannya di Piala Dunia 2026 ini nanti. - Foto REUTERS

Maghribi akan tampil di Piala Dunia dengan rata-rata kebanyakannya pemain muda.

Berbanding barisan pemain yang beraksi di Qatar empat tahun lalu, seramai 16 daripada 26 pemain yang dipilih Ouahbi kali ini merupakan muka baru.

Beberapa bintang muda yang berbakat telah menyertai pasukan kebangsaan sejak kebelakangan ini, sebahagiannya didorong oleh kejayaan negara tersebut dalam saingan Piala Dunia Bawah 20 tahun pada 2025.

Peralihan generasi ini dilihat sangat ketara sehinggakan 10 daripada pemain baru yang disenaraikan itu berusia di bawah 25 tahun.

Antaranya ialah, pemain tengah berusia 18 tahun, Ayyoub Bouaddi.

Beliau baru sahaja menukar kerakyatan dari Perancis ke Maghribi pada Mei lalu, dan akan menjadi pemain muda yang perlu diberi perhatian di kempen kali ini.

Membesar di utara Perancis sebelum menyertai akademi Lille, pemain tengah berketinggian 1.86 meter itu mempamerkan prestasi cemerlang dalam saingan Ligue 1 sejak beberapa bulan kebelakangan ini bersama kelabnya itu.

Bintang muda Maghribi, Ayyoub Bouaddi.
Bintang muda Maghribi, Ayyoub Bouaddi. - Foto AFP

Namun, nadi The Atlas Lions sudah pasti akan menjadi bek kanan dan kapten, Achraf Hakimi, yang baru-baru ini menjulang trofi Liga Juara-Juara bersama kelabnya, Paris Saint-Germain (PSG).

Boleh dikatakan antara bek kanan terbaik dunia, Hakimi merupakan seorang pembawa bola yang hebat dan bijak merancang serangan dari kawasan pertahanan.

Pemain berusia 27 tahun itu ialah salah seorang bek sayap terpantas di Eropah, di mana kelajuan itu membolehkannya kembali bertahan dengan pantas dan mengejar pemain lawan, biarpun ketika terperangkap di posisi menyerang.

Kombinasi hantaran beliau dengan jentera serangan dilakukan dengan cara yang hampir mustahil untuk dikesan atau disekat oleh pihak lawan.

Musim lalu, data daripada Soccerment mendedahkan bahawa Hakimi mendahului seluruh Eropah dalam statistik hantaran satu-dua atau one-two bagi setiap 90 minit.

Tetapi, satu-satunya tanda tanya menjelang kejohanan ini ialah tahap kecergasan Hakimi.

Bek kanan itu mengalami kecederaan semasa aksi timbal balik pertama separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich, walaupun beliau beraksi sepenuhnya di perlawanan akhir menentang Arsenal.

Selagi beliau mampu pulih sepenuhnya, jangkakan bintang PSG itu untuk memukau peminat sekali lagi.

Maghribi menewaskan Madagascar 4-0 dalam satu perlawanan persahabatan pada 3 Jun.
Maghribi menewaskan Madagascar 4-0 dalam satu perlawanan persahabatan pada 3 Jun. - Foto AFP

Ramalan wartawan: Laluan Maghribi setakat suku akhir.

Pasukan di Kumpulan C: Brazil, Maghribi, Haiti, Scotland

Jadual Perlawanan Maghribi (waktu Singapura):

14 Jun: Brazil lawan Maghribi (6 pagi)

20 Jun: Scotland lawan Maghribi (6 pagi)

25 Jun: Maghribi lawan Haiti (6 pagi)