BUENOS AIRES: Argentina pada 28 Mei telah menamakan skuad 26 pemain mereka untuk Piala Dunia 2026, dengan Lionel Messi dijangka mengetuai pasukan juara bertahan itu dalam kejohanan yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Canada.

Penyerang Inter Miami berusia 38 tahun itu akan beraksi dalam Piala Dunia keenamnya, melanjutkan rekod kebangsaan beliau.

Emiliano Martinez, Nicolas Otamendi, Rodrigo De Paul, Alexis Mac Allister, Enzo Fernandez, Julian Alvarez dan Lautaro Martinez pula merupakan antara 17 pemain yang kembali daripada skuad yang menjulang piala di Qatar pada 2022.

Jurulatih, Lionel Scaloni, mengekalkan pasukan teras yang memenangi gelaran dunia ketiga Argentina, namun pemain sayap veteran, Angel Di Maria, tidak menjadi pilihan selepas bersara daripada bola sepak antarabangsa menyusuli Copa America 2024.

Pemain tengah, Giovani Lo Celso, yang terlepas Piala Dunia 2022 akibat kecederaan, kembali ke pentas Piala Dunia selepas menganggotai skuad Argentina pada edisi 2018 di Russia, meskipun tidak membuat sebarang penampilan dalam kejohanan itu.

Argentina turut menyenaraikan beberapa pemain muda yang dijangka menerajui generasi baru pasukan itu, termasuk Valentin Barco, Nicolas Paz dan Giuliano Simeone, manakala penyerang, Jose Manuel Lopez dan Thiago Almada, adalah antara pemain yang bakal membuat penampilan pertama mereka di Piala Dunia.

Laporan media tempatan menyatakan bek kiri, Marcos Acuna, yang merupakan sebahagian daripada skuad juara dunia 2022, terlepas tempat dalam skuad kali ini kerana kebimbangan terhadap tahap kecergasannya.

Argentina akan memulakan kempen Kumpulan J menentang Algeria pada 16 Jun sebelum berdepan Jordan dan Austria.

Skuad:

Penjaga gol: Emiliano Martinez, Geronimo Rulli, Juan Musso.

Pertahanan: Leonardo Balerdi, Gonzalo Montiel, Nicolas Tagliafico, Lisandro Martinez, Cristian Romero, Nicolas Otamendi, Facundo Medina, Nahuel Molina.

Pemain tengah: Leandro Paredes, Rodrigo De Paul, Valentin Barco, Giovani Lo Celso, Exequiel Palacios, Alexis Mac Allister, Enzo Fernandez.

Penyerang: Julian Alvarez, Lionel Messi, Nicolas Gonzalez, Thiago Almada, Giuliano Simeone, Nicolas Paz, Jose Manuel Lopez, Lautaro Martinez. – Agensi berita.