DUESSELDORF (Jerman): Kapten Perancis, Kylian Mbappe, mengalami patah hidung semasa perlawanan menentang Austria yang menyaksikan ‘Les Bleus’ meraikan kemenangan tipis 1-0 dalam kejohanan Eropah 2024 (Euro 2024) pada 17 Jun.
Kecederaan Mbappe disahkan Persekutuan Bola Sepak Perancis selepas perlawanan tersebut.
Pemain berusia 25 tahun itu merupakan salah satu nama besar dalam pertandingan tersebut, yang mengalami kecederaan selepas penyerang handalan itu berlanggar bahu pemain pertahanan Austria, Kevin Danso semasa membuat cabaran untuk menanduk bola.
Mbappe kemudian terpaksa digantikan menjelang akhir perlawanan dan meninggalkan stadium dalam ambulans untuk menjalani imbasan x-ray.
“Kylian Mbappe mengalami hidung yang patah semasa separuh kedua perlawanan antara Perancis dengan Austria,” kata satu kenyataan daripada persekutuan itu.
“Kapten pasukan Perancis itu telah dijaga kakitangan perubatan dan Dr Franck Le Gall, yang mengesahkan hidung yang patah itu.
“Diagnosis kemudian mengesahkan semasa pemeriksaan radiologi di hospital Duesseldorf.
“Kylian Mbappe telah kembali ke kem pangkalan pasukan Perancis.
“Beliau akan menjalani rawatan dalam beberapa hari mendatang, tanpa menjalani pembedahan segera.”
Perancis akan berhadapan Belanda pada 21 Jun dan belum dapat dipastikan sekiranya Mbappe akan bermain dalam perlawanan itu – satu tamparan hebat buat Perancis.
“Satu pelitup akan dihasilkan untuk membenarkan pemain jersi nombor 10 pasukan Perancis itu menimbangkan kembali bermain dalam pertandingan ini selepas satu tempoh rawatan,” kata persekutuan itu lagi.
Dalam perlawanan menentang Austria di stadium Merkur Spiel Arena itu, Mbappe bermain cemerlang dalam mereka jaringan buat pasukannya.
Ini meskipun beliau sendiri gagal menjaringkan gol dalam perlawanan pertama dalam pertandingan kali ini.
Dalam pertandingan Piala Dunia sebelum ini, Mbappe telah jaringkan 12 gol, termasuk hatrik dalam final Piala Dunia Qatar pada 2022.
Pertandingan terakhir Mbappe dalam kejohanan Eropah berakhir dengan kehampaan apabila beliau sendiri gagal menjaringkan gol penalti semasa menentang Switzerland, sehinggakan pasukannya tersingkir dalam pusingan kedua dalam Euro 2020.
Mbappe bermain dengan baik dan boleh dikatakan terlibat dalam setiap gerakan Perancis, namun ternyata nasib tidak menyebelahinya untuk menjaringkan gol.
Umpanannya di merata padang ternyata tepat ke arah rakan sepasukannya, selain kelincahannya meninggalkan pemain lawan yang cuba mengawalnya.
Ternyata gerakannya dekat gawang Austria pada minit ke-38 berjaya menghasilkan gol –menerusi jaringan sendiri pemain lawan, Maximilian Wober.
Berdasarkan permainannya yang baik dalam perlawanan pertama Perancis bagi kejohanan Euro 2024 itu, harapan ramai peminat adalah untuk melihat beliau kembali ke padang dan beraksi dalam perlawanan selanjutnya. – Agensi berita.
“
Satu pelitup akan dihasilkan untuk membenarkan pemain jersi nombor 10 pasukan Perancis itu (Mbappe) menimbangkan kembali bermain dalam pertandingan ini selepas satu tempoh rawatan.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg