Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Barisan bintang Perancis mampu bawa ‘Les Blues’ mara jauh

Jun 17, 2024 | 5:30 AM
Kylian Mbappe akan memikul tanggungjawab di bahagian jentera serangan Perancis dalam Euro 2024.
Kylian Mbappe akan memikul tanggungjawab di bahagian jentera serangan Perancis dalam Euro 2024. - Foto EPA-EFE

DUSSELDORF (Jerman): Sejak muncul naib juara dalam perlawanan akhir Piala Dunia di Doha, Qatar pada 2022, Perancis kini tampil dalam Kejohanan Eropah 2024 (Euro 2024) yang berlangsung di Jerman pada 15 Jun sebagai salah satu pasukan pilihan ramai.

Kesebelasan yang dibarisi bintang, terutamanya di bahagian tengah dan serangan ini dijangka mampu mengulangi kemaraan yang dicapai mereka semasa Piala Dunia itu.

Dalam perlawanan pertama pertandingan Euro 2024, Perancis akan berhadapan dengan Austria di stadium Dusselforf Arena pada 18 Jun.

Dengan kembalinya pemain seperti N’Golo Kante, yang kini bermain di Arab Saudi, ke pangkuan skuad ‘Les Blues’ itu, pasukan Perancis dijangka membariskan pemain muda dan berpengalaman.

Perancis yang dibimbing pengurus, Didier Deschamp, layak ke pertandingan Euro 2024 tanpa banyak masalah, memenangi kesemua perlawanan mereka melainkan seri dengan Greece dalam perlawanan terakhir – apabila mereka meletakkan para pemain muda dalam perlawanan itu.

Dengan hanya tiga gol membolosi gawang mereka dalam kempen kelayakan Euro 2024, amat jelas bahawa Perancis merupakan pasukan yang sukar ditundukkan, meskipun timbul persoalan tentang para pemain yang bakal membarisi benteng pertahanan mereka.

Sejak Raphael Varane bersara di peringkat antarabangsa, pengurus pasukan negara itu masih tidak dapat menemukan pemain di bahagian bek tengah.

Beliau juga berhadapan masalah untuk menentukan pemain mana pula yang layak meneraju bek kanannya.

Akibatnya Deschamp dikatakan telah beberapa kali merayu kepada persatuan bola sepak negara itu agar membantunya mengukuhkan bahagian kanan pertahanan skuad itu.

Jonathan Klauss (Marseille) telah disertakan dalam skuad kebangsaan Perancis, namun pilihan yang lebih defensif dan lebih sesuai adalah Jules Kounde (Barcelona).

Keputusan yang kurang memberangsangkan semasa perlawanan persahabatan menentang Jerman apabila Perancis tewas 0-2 di padang sendiri, membimbangkan para peminat.

Namun Perancis dikenali kerana mampu bermain lebih baik apabila mereka menyertai pertandingan besar, dan melangkah ke separuh akhir dianggap pencapaian minimum yang diramal akan mereka capai.

Sebelum ini, Deschamp pernah dikatakan akan meninggalkan jawatannya itu selepas Piala Dunia – namun beliau terus menjalankan tanggungjawab tersebut dengan baik.

Malah beliau dikatakan telah menandatangani kontrak sehingga 2026 bersama skuad negara tersebut.

Sementara itu, pemain bintang pasukan Perancis, Kylian Mbappe, dijangka mampu mengulangi gaya permainannya yang menarik semasa dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2022.

Mbappe, 25 tahun, merupakan pemain yang cemerlang semasa bersama Paris Saint-Germain (PSG) dan telah mendapat But Emas bagi enam tahun berturut-turut dalam Liga 1 Perancis.

Baru-baru ini beliau telah menandatangi kontrak bersama Real Madrid.

Seorang lagi pemain muda yang patut diberi perhatian ialah Bradley Barcola (PSG) yang bermain di bahagian sayap.

Jika dahulu beliau digelar “anak kambing” oleh seorang pengulas bola sepak Perancis kerana cara permainannya yang agak “takut-takut”, kini Barcola dikatakan dapat bermain lebih baik dengan penuh yakin.

Beliau menyangka dirinya diketepikan daripada bertanding dalam Euro 2024, apabila Deschamp tidak menyertakan beliau dalam skuad Perancis pada Mac.

Apatah lagi beliau belum pernah bermain dalam pertandingan utama bersama Perancis sebelum ini.

Justeru apabila Barcola tetap dipilih dalam skuad Perancis bagi Euro kali ini menandakan satu isyarat besar buat pemain muda itu.

Di bahagian gawangnya, Mike Maignan, telah menempa tempat sebagai pengganti Hugo Lloris yang telah bersara, sementara di bahagian pertahanan, Dayot Upamecano, dijangka mampu beraksi baik di bahagian bek tengah.

Di bahagian midfield, Antoine Griezman, berupaya bermain dengan baik di bahagian tersebut berdasarkan pengalamannya di peringkat kelab dan antarabangsa.

Sementara Mbappe pula dijangka mampu memikul tugasan seperti yang dimainkannya semasa dalam Piala Dunia Qatar pada 2022.

Sementara itu, Austria yang dibimbing pengurus, Ralf Rangnick, berhadapan masalah kecederaan dalam kalangan pemainnya termasuk David Alaba (Real Madrid), sementara pemain Xaver Schlager (RB Leipzig) pula tidak disertakan dalam skuad yang akan bermain dalam Euro 2024.

Buat masa ini, Patrick Pentz (Brondby IF), akan menggalas tanggungjawab sebagai penjaga gawang utama Austria, dan beliau akan dibantu di bahagian pertahanan oleh Stefan Posch (Bologna).

Di bahagian midfield, Konrad Laimer (Bayern Munich), mungkin dapat menjadi nadi pasukan itu dan akan menawarkan sokongan kepada jentera serangan mereka yang diketuai Michael Gregoritsch (SC Freburg).

Selain Perancis, Austria juga digolongkan dalam Kumpulan D bersama Poland dan Belanda.

Austria dan Poland diramal tidak akan dapat melepasi perlawanan peringkat kumpulan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg