Pendapatan OCBC Bank meningkat pada suku kedua menyusuli pertumbuhan kukuh dalam pendapatan yuran, perdagangan dan insurans bank itu, serta elaun yang berkurangan.
Keuntungan bersih bagi suku kedua 2024 meningkat 14 peratus kepada $1.94 bilion, naik daripada $1.71 bilion dalam tempoh sama pada 2023, menurut bank itu pada 2 Ogos.
Pendapatan bank itu melebihi ramalan keuntungan bersih $1.82 bilion secara purata daripada penganalisis yang ditinjau syarikat penyelidik kewangan LSEG, lapor The Straits Times (ST).
Lembaga pengarah OCBC mengumumkan pemberian dividen awal sebanyak 44 sen sesaham, naik 10 peratus atau 4 sen berbanding tempoh sama 2023.
Pendapatan faedah bersih suku kedua 2024 bank itu naik 2 peratus kepada $2.43 bilion berbanding suku kedua 2023, diterajui peningkatan 5 peratus dalam aset purata.
Pertumbuhan aset bank itu diimbangi sebahagiannya oleh penurunan enam mata asas dalam margin faedah bersih (NIM), pengukur utama bagi keuntungan sesebuah bank, kepada 2.2 peratus.
Pendapatan bukan faedah meningkat 13 peratus kepada $1.2 bilion hasil pertumbuhan dalam pendapatan yuran, perdagangan dan insurans.
Perbelanjaan operasi mencecah $1.37 bilion, naik 3 peratus daripada 2023, pada umumnya disebabkan kos kakitangan dan berkaitan teknologi maklumat (IT) yang lebih tinggi.
Kualiti aset bank itu juga kekal kukuh, dengan nisbah pinjaman tidak berbayar bank bertambah baik.
Nisbah tersebut mencapai 0.9 peratus, daripada 1.1 peratus pada 2023.
Keuntungan bersih OCBC untuk separuh pertama (enam bulan pertama) 2024 meningkat 9 peratus kepada $3.93 bilion, disokong pertumbuhan pendapatan yang melebihi $7 bilion buat kali pertama.
Pendapatan pengurusan harta kekayaan bank itu membentuk 35 peratus daripada jumlah pendapatan bank, naik berbanding 33 peratus pada tempoh sama 2023.
Aset pengurusan kekayaan di bawah pengurusan OCBC mencapai paras tertinggi baru sebanyak $279 bilion, meningkat daripada $274 bilion.
Dalam pada itu, OCBC menyelesaikan pemerolehan Bank Commonwealth Indonesia pada Mei.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg