LOS ANGELES: Walaupun telah memimpin pasukan Dallas Mavericks ke beberapa perlawanan playoff dalam Persatuan Bola Keranjang Kebangsaan (NBA) dan terpilih sertai pasukan NBA All-Star beberapa kali sejak muda, Luka Doncic mengejutkan ramai apabila beliau ditukar oleh Mavericks untuk ke Los Angeles Lakers, dalam apa yang dianggap sebagai “perdagangan terbesar dalam sejarah liga.”
Pemain berusia 25 tahun itu adalah sebahagian daripada perjanjian antara tiga pasukan yang menyaksikan rakan sepasukannya, Maxi Kleber, Markieff Morris, dan dirinya sendiri dipindahkan ke Lakers, manakala Mavericks menerima antaranya Anthony Davis dan Max Christie.
Perjanjian itu juga melibatkan pasukan Utah Jazz, yang menerima pemain Lakers, Jalen Hood-Schifino.
Walaupun Doncic kini tidak beraksi akibat kecederaan di bahagian betis, pertukaran ini mengejutkan NBA, menyebabkan ramai mula membuat spekulasi akan apa yang akan berlaku pada musim kali ini.
Pemain bintang Phoenix Suns, Kevin Durant berkata: “Ini gila. Saya tidak menyangka Luka Doncic akan ditukar.
“Ini pasti perdagangan terbesar yang saya lihat sejak saya berada dalam liga atau sejak saya mula menonton sukan ini.”
Berita awal mengenai pertukaran ini sangat mengejutkan sehingga ramai yang membuat spekulasi bahawa akaun media sosial wartawan sukan ESPN, Shams Charania yang melaporkan itu mungkin telah digodam, tetapi wartawan dari The Los Angeles Times dan The Dallas Morning News dengan cepat mengesahkan kebenarannya.
Wartawan NBA, Marc Stein melaporkan bahawa Doncic tidak meminta untuk ditukar, sebaliknya Mavericks yang mendekati Lakers mengenai perjanjian itu.
Langkah tersebut dilaporkan telah mengejutkan Doncic.
Malah, LeBron James, yang terkenal dengan gelarannya sebagai pengurus besar Lakers, dilaporkan sedang makan malam ketika berita pertukaran itu tersebar dan tidak tahu ia akan berlaku.
Apabila ingin memberi pendapatnya akan pertukaran itu, pengurus besar Lakers, Rob Pelinka berkata:
“Luka adalah bintang global muda yang unik dan akan memimpin francais ini untuk bertahun lamanya.
“Kami sangat berterima kasih atas enam musim (Anthony Davis) bersama Lakers, di mana beliau memimpin francais kami ke kejuaraan dan mengukuhkan dirinya sebagai Pemain All-Star NBA sepanjang zaman.”
Pengurus besar Mavericks, Nico Harrison berkata ketibaan Davis boleh menjadikan Dallas calon juara selepas mereka kalah dalam Final NBA musim lalu.
“Saya percaya pertahanan memenangi kejuaraan,” katanya kepada ESPN.
“Saya percaya mendapatkan (pemain tengah) All-Defensive dan pemain All-NBA dengan pemikiran pertahanan, ia akan memberi kami peluang yang lebih baik.
“Kami ingin membina sebuah pasukan yang akan menang kini dan pada masa akan datang.”
Perjanjian ini mengubah sepenuhnya pandangan jangka panjang Lakers – apabila mereka menukar pemain pertahanan paling penting mereka dengan salah seorang pemain paling berbakat dalam liga.
Ia mungkin tidak akan terus menjadikan mereka lebih baik pada tahun ini, tetapi ia memberi satu rancangan yang mampu digunakan selepas James bersara, yang sebelum pertukaran ini, tidak pernah dilakukan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg