Tempoh perpindahan Januari telah berakhir.
Jadi siapakah yang anda fikir melakukan urus niaga yang terbaik?
Setakat ini, 14 pasukan Liga Perdana England (EPL) telah membuat penambahan pada skuad mereka, dengan Manchester City merupakan pasukan yang membuat perbelanjaan terbesar, termasuk membeli pemain tengah Porto, Nico Gonzalez, bernilai 50 juta paun ($84 juta) pada tarikh akhir tempoh perpindahan.
Penyerang Bayern Munich, Mathys Tel dipinjamkan ke Tottenham, manakala Aston Villa turut menandatangani pemain tengah Paris St-Germain, Marco Asensio.
Dua pasukan menduduki tangga teratas EPL buat masa ini, Liverpool dan Arsenal tidak melakukan satu pun perpindahan kali ini.
Pasukan yang sedang berada dalam rentak permainan yang baik sekarang, yang kini menduduki tangga ketiga EPL, Nottingham Forest, membeli pemain pertahanan, Tyler Bindon, tetapi beliau akan kekal di Reading secara pinjaman buat musim 2024-25.
Dari segi pemain yang keluar dari kelab tersebut pula ialah pemain tengah, James Ward-Prowse, yang kembali ke West Ham selepas tempoh pinjaman beliau sudah berakhir dan juga penyerang Forest, Emmanuel Dennis yang ke Blackburn Rovers secara pinjaman.
Chelsea memutuskan untuk tidak menambah sesiapa kepada skuad mereka, tetapi telah menjual pemain tengah, Cesare Casadei ke Torino untuk 11.11 juta paun, Somto Boniface ke Ipswich dan Harvey Vale ke QPR.
Renato Veiga, Carney Chukwuemeka, Ben Chilwell dan Axel Disasi juga keluar dari Chelsea secara pinjaman.
Dalam usaha untuk perbaiki prestasi hambar pasukan mereka musim ini, Manchester City telah banyak berbelanja.
Mereka telah membeli Omar Marmoush dari Eintracht Frankfurt pada harga 64.1 juta paun, Abdukodir Khusanov dari Lens pada harga 34.19 juta paun, Vitor Reis dari Palmeiras pada harga 29.19 juta paun, Juma Bah dari Real Valladoid pada harga 5.13 juta paun dan Nico Gonzalez dari Porto pada harga 50 juta paun.
Kyle Walker, Josh Wilson-Fsbrand, Jacob Wright semuanya keluar secara pinjaman.
Manchester United yang digelar ‘antara skuad paling teruk dalam sejarah’ oleh pengurus mereka, Ruben Amorim, cuba mengubah nasib mereka dengan membeli Ayden Heaven dari Arsenal pada harga 1.28 juta paun dan juga Patrick Dorgu dari Leece pada harga 25.64 juta paun.
Setelah melalui permulaan yang penuh drama di bawah bimbingan Amorim, akhirnya Marcus Rashford dipinjamkan ke Aston Villa, dan Antony pula dipinjamkan ke Real Betis. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg