PARIS: Sebuah laporan baru yang disokong oleh saintis iklim dan atlet memberi amaran tentang bahaya yang ditimbulkan oleh suhu tinggi melampau semasa Sukan Olimpik Paris dari 26 Julai hingga 11 Ogos.
Laporan ‘Rings of Fire’ (Lingkaran Api) itu – hasil kerjasama antara badan tidak mencari untung, Climate Central, ahli akademik di Universiti Portsmouth Britain dan 11 atlet Olimpik – mengatakan pada 19 Jun bahawa keadaan di Paris boleh menjadi lebih teruk daripada Olimpik Tokyo pada 2021.
Ia memberi amaran bahawa cuaca panas bagi sukan Olimpik Paris “boleh menyebabkan pesaing tumbang dan dalam kes terburuk, maut semasa temasya sukan itu”.
Kajian itu menambah bilangan gesaan yang semakin meningkat daripada ahli sukan agar jadual dan masa acara diselaras dengan mengambil kira tekanan fizikal bersaing dalam suhu lebih tinggi yang disebabkan oleh pemanasan sejagat.
Laporan tersebut menggesa penganjur kejohanan yang biasanya diadakan semasa musim panas di hemisfera utara, seperti Sukan Olimpik dan bola sepak Piala Dunia, supaya memikirkan semula jadual kejohanan.
Mereka juga harus menyediakan pelan rehidrasi dan penyejukan lebih baik untuk atlet dan peminat bagi mengelakkan risiko strok haba, tambah laporan tersebut.
Sukan Olimpik Paris dijadual berlangsung dalam bulan yang biasanya paling panas di Perancis, dengan gelombang haba tertinggi dalam beberapa tahun sejak kebelakangan ini.
Menurut data kesihatan awam, lebih 5,000 orang maut di Perancis akibat cuaca terik ketika musim panas 2023, apabila suhu mencecah 40 darjah Celsius di seluruh negara.
Penganjur Olimpik Paris 2024 berkata mereka akan menerapkan dasar fleksibiliti dalam penjadualan, sekali gus membolehkan mereka mengalihkan beberapa acara, seperti maraton atau triatlon, untuk mengelakkan terik tengah hari.
Tetapi kebanyakan sukan akan berlangsung di tempat sementara yang kurang teduh, manakala perkampungan atlet dibina tanpa pendingin hawa bagi mengurangkan jejak karbon.
Seorang atlet triatlon asal India, Pragnya Mohan, menyokong laporan itu dan berkata beliau telah meninggalkan negara asalnya kerana suhu melampau, setelah India baru-baru ini melaporkan gelombang haba paling lama yang pernah dicatatkan.
“Dengan perubahan iklim, haba yang kami alami telah meningkat dengan banyak. Saya tidak dapat berlatih di negara saya. Itulah antara sebab saya berpindah ke United Kingdom,” katanya.
Sukan Olimpik Tokyo dianggap sebagai yang paling panas dalam rekod temasya sukan itu, dengan suhu kerap melebihi 30 darjah Celsius dan kadar kelembapan sekitar 80 peratus.
Walaupun terdapat pelbagai langkah bagi mengurangkan tekanan suhu tinggi di Olimpik Tokyo, termasuk stesen berkabus, sebahagian atlet mendapati keadaan tetap mencabar untuk memberi prestasi terbaik ekoran suhu panas. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg