Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Latihan pusat luar negara, sokongan sains sukan untuk pasukan bola sepak nasional

Jan 13, 2026 | 7:38 PM
Parlimen, sokongan, sukan,
Pasukan bola sepak Singapura merai kemenangan 2-1 ke atas Hong Kong di Stadium Kai Tak di Hong Kong pada 18 November yang menjamin kelayakan ke Piala Asia 2027. - Foto ST

Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) akan memperluas sokongan kewangan dan teknikal bagi pasukan bola sepak lelaki negara menyusuli kejayaan bersejarah mereka melayakkan diri ke Piala Asia AFC 2027.

Ini sebagai menjawab pertanyaan yang diajukan oleh Anggota Parlimen Cik Elysa Chen (GRC Bishan-Toa Payoh).

Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo, menyifatkan kelayakan itu sebagai “pencapaian penting” dan menyatakan rasa bangga terhadap pasukan Singa. 

Dalam jawapan bertulisnya, Encik Neo berkata agensi sukan negara, Majlis Sukan Singapura (SportSG), sudah pun menyokong usaha Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dalam pelbagai cara, dan perancangan sedang diatur untuk meningkatkan sokongan ini sebagai persiapan menghadapi Piala Asia.

Justeru, Encik Neo berkata SportSG telah menggariskan dua bidang utama sokongan yang akan dipertingkat untuk pasukan bola sepak nasional.

Ia termasuk latihan pusat luar negara yang dipertingkat dan sokongan teknikal sains sukan tambahan untuk memastikan pasukan disokong oleh set keupayaan sains sukan yang holistik dan disesuaikan dengan keperluan khusus pasukan.

Terdahulu, Cik Chen bertanyakan sama ada MCCY akan mempertimbangkan untuk memperluas sokongan kewangan dan prasarana latihan bagi bola sepak dan sukan berpasukan lain yang menunjukkan momentum serupa.

Memberi perincian lanjut mengenai sokongan yang diberikan SportSG kepada pasukan bola sepak negara buat masa ini, Encik Neo berkata bantuan diberi menerusi sokongan kewangan untuk menjalani latihan dan menyertai pertandingan di dalam dan luar negara; menyediakan prasarana latihan di Hab Bola Sepak Kallang, yang disifatkan sebagai persekitaran yang sesuai untuk latihan bermutu tinggi dan tanpa gangguan bagi pasukan; serta kepakaran teknikal seperti sains prestasi bola sepak dan pembangunan kejurulatihan.

Singapura menewaskan Hong Kong 2-1 dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 di Hong Kong pada 18 November.

Kemenangan itu menjamin tempat Singapura di kejohanan berprestij benua yang bakal berlangsung di Arab Saudi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg