Topik diikuti
Pergi ke BHkuLayar impian dua bersaudara, harungi ombak memburu cita-cita
Layar impian dua bersaudara, harungi ombak memburu cita-cita
Sikap saling mencabar antara Nia dengan Anya juga jadi pendorong utama bagi pasangan atlet sukan layar
Layar impian dua bersaudara, harungi ombak memburu cita-cita
Sifat kerja keras, dedikasi dan komitmen tanpa henti di gelanggang sudah sebati dalam minda atlet sebagai ramuan kejayaan dalam sukan.
Namun, bagi pasangan adik-beradik sukan layar, Nia Mehry Zahedi, dan Anya Alessia Zahedi, sikap saling mencabar antara satu sama lain juga menjadi pendorong utama yang sihat.
Sepanjang wawancara bersama Berita Harian (BH), atlet negara itu tidak putus memuji kehebatan satu sama lain.
Nia, 16 tahun, anak sulung tiga beradik, menyifatkan adiknya, Anya, 12 tahun, sebagai atlet disiplin yang boleh melangkah jauh, malah lebih baik daripadanya.
Namun, bagi Anya, semua itu tidak akan terhasil jika bukan kerana kakaknya yang memberinya inspirasi untuk menyertai kegiatan kokurikulum (CCA) sukan layar ketika di Darjah 1 di Sekolah Tao Nan.
Hubungan mereka menjangkau ikatan adik-beradik biasa, malah ia menjadi asas utama kepada kejayaan mereka dalam sukan layar.
“Anya sentiasa ada di sini untuk saya. Jika saya tidak tahu sesuatu dalam sukan layar, saya akan tanyakan padanya.
“Jika salah satu di antara kami mempunyai perlumbaan yang kurang baik, kami akan saling ceriakan satu sama lain ketika dalam kereta untuk pulang, sambil berkata kami lebih baik daripada keputusan itu.
“Dia adalah motivasi saya untuk terus lakukan yang terbaik,” kata Nia, pelajar tahun pertama peringkat maktab rendah (JC1) di Institusi Raffles.
Walau percaya perjalanan mereka masih jauh dan ingin terus berseronok dalam sukan ini, dua beradik itu menyasarkan untuk membawa nama negara ke persada lautan antarabangsa pada masa hadapan.
Kedua-dua beradik itu merupakan antara 414 atlet pelajar merangkumi 41 jenis sukan daripada 119 sekolah yang menerima Anugerah Biasiswa Yayasan Olimpik Singapura (SOF)-Peter Lim.
Majlis penyampaian biasiswa di Pusat Konvensyen Tay Eng Soon, Ibu Pejabat Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central pada 30 Jun lalu, bertujuan memberi sokongan kewangan kepada atlet muda bagi mengimbangi kecemerlangan akademik dan sukan demi merealisasikan impian mereka.
Bagi kedua-dua Nia dan Anya – yang mempunyai seorang lagi adik berusia sembilan tahun – laluan permulaan mereka dalam sukan layar hampir serupa.
Ketika kali pertama menyertai sukan layar untuk CCA sekolah rendahnya, Nia langsung tiada pengalaman.
Namun, dia mula jatuh cinta selepas lama-kelamaan mendalami sukan tersebut dan mendapati ia sangat menyeronokkan
Aspek keseronokan itulah, menurut Nia, memberikannya suntikan untuk lakukan yang terbaik bagi sukan tersebut.
“Jika kami tidak berseronok, kami tidak boleh bekerja keras. Itulah yang buat kami berkobar-kobar untuk terus berlatih bagi sukan ini,” ujar Nia.
Ini berbeza dengan Anya yang mendapat inspirasi daripada kakaknya.
“Saya sangat mengagumi kakak sebab dia memang cool… saya juga selalu minta panduan sukan layar daripada dia,” kongsi Anya, pelajar Menengah Satu di Sekolah Perempuan Raffles.
Namun, Nia percaya adiknya itu menunjukkan prestasi dan disiplin yang lebih hebat.
Berkongsi telatah adiknya di rumah, Nia berkata:
“Dia akan latih keseimbangan badan guna bangku hiking dia… dia memang sangat berdisiplin.”
Latihan itu bertujuan melatih otot teras atlet, terutama sekali apabila mereka perlu condongkan seluruh badan ke luar bot bagi mengimbangi dan menstabilkan bot semasa angin kuat supaya dapat belayar dengan lebih laju.
Disiplin yang dipamerkan sekali gus mendapat hasilnya, dengan kenaikan pantas Anya dalam arena sukan layar.
Selepas menyertai kegiatan hujung minggu anjuran Persekutuan Sukan Layar Singapura satu ketika dahulu, dia menunjukkan peningkatan yang amat pantas.
Anya berjaya menempah tempat dalam Gold Fleet (kelompok teratas bagi pelayar muda kelas Optimist) sebelum terpilih menyertai klinik pembangunan sukan itu.
Dia kemudian mengukuhkan kedudukan dalam skuad latihan kebangsaan, dan menjelang usia 10 tahun, secara rasmi bergelar ahli pasukan kebangsaan, sementara Nia menyertai pasukan kebangsaan pada usia 12 tahun.
Hubungan akrab mereka tidak terbina dalam sekelip mata di gelanggang latihan, sebaliknya telah dipupuk sejak kecil.
Kedua-duanya mengakui gemar berbual tentang apa sahaja dan berkongsi hobi yang sama – iaitu makan.
Seperti generasi sekarang, mereka gemar berhibur dengan menghantar ‘meme’ menerusi video pendek (reels) Instagram.
“Sejujurnya, hubungan kami jadi makin rapat menerusi perbualan seperti ini,” kongsi Nia sambil berseloroh.
Walau meluangkan banyak masa mengharungi ombak lautan, Nia dan Anya tidak mengabaikan tanggungjawab pengajian, walaupun menjalani latihan di Pusat Sukan Layar Nasional di Taman East Coast empat hari seminggu.
Berkongsi mengenai rutin harian mereka, Nia berkata:
“Setiap hari, kami akan mula sekolah pada 7.30 pagi, dan jika tiada kelas tambahan, sekolah akan berakhir sekitar 3 petang.
“Ibu akan mengambil kami dari sekolah dan hantar ke Taman East Coast untuk latihan yang berlangsung dari sekitar 3 hingga 7.30 malam.”
Latihan hujung minggu pula berlangsung dari 1.30 petang hingga 7.30 malam, di samping satu kelas tuisyen dalam seminggu.
Walau demikian, prestasi pengajian mereka tetap memberangsangkan.
Nia sedang dalam perjalanan untuk menduduki peperiksaan GCE peringkat ‘A’ menerusi Program Bersepadu (IP) pada 2027.
Anya pula baru sahaja mencapai keputusan Peringkat Pencapaian (AL) 6 dalam keputusan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) pada 2025.
Walaupun bertubuh kecil dan gemar berjenaka, pasangan itu sudah berpengalaman luas mewakili Singapura di pentas dunia.
Bagi Nia, dia sudah merantau ke Amerika Syarikat, Sepanyol, Italy, Korea Selatan, India, China, dan Thailand.
Selain menyertai Kejohanan Dunia 2025 di Amerika, antara pengalaman manis baginya ialah ketika dia berjaya melayakkan diri ke peringkat Gold Fleet – kelompok utama dalam satu kejohanan – ketika beraksi di Piala Europa di Sepanyol pada April 2026.
Lazimnya, jika satu perlumbaan terdapat ramai peserta, pelayar akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut kedudukan kelayakan – Gold Fleet, Silver Fleet, dan Bronze Fleet.
Hanya mereka yang berjaya menembusi Gold Fleet sahaja yang layak bersaing untuk merebut pingat kemenangan.
Nia menambah: “Itu merupakan kejayaan saya yang terbesar kerana ketika saya di Kejohanan Dunia sebelum itu, saya tidak berjaya meraihnya.”
Pasangan itu juga mencuri tumpuan di Sukan SEA 2025 di Thailand.
Selain daripada menjadi antara atlet termuda negara, Anya membawa pulang pingat perak dalam acara Optimist; manakala Nia pula pingat gangsa bagi acara ILCA 4.
Meskipun pada usia yang begitu muda, Anya sudah bersaing dalam pelbagai perlumbaan di dalam dan luar negara, termasuk kejohanan di Thailand, Turkey dan Greece.
Pada Oktober lalu, dia berjaya menduduki tempat keempat daripada 175 peserta di Kejohanan Optimist Asia & Oceania di Oman, sekali gus muncul sebagai pelayar wanita terbaik serta pelayar termuda paling cemerlang dalam kelompok tersebut.
Dia juga dijadual berangkat ke Poland pada Julai ini untuk Kejohanan Eropah Optimist Bawah 15 tahun.
Berkongsi mengenai cita-cita mereka dalam sukan layar, mereka hanya mengimpikan untuk mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
“Saya ingin layakkan diri ke Kejohanan Dunia dan buat yang terbaik.
“Perjalanan untuk capai podium memang masih jauh, tapi apa yang penting saya ingin beri yang terbaik,” ujar Nia.
Bagi Anya pula, dia menambah: Cita-cita saya dalam sukan layar ialah buat yang terbaik dalam Kejohanan Eropah dan layak ke Kejohanan Asia.”
