Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Alonso: Lebih mudah tinggalkan F1 jika Aston Martin berdaya saing

Sep 25, 2025 | 4:40 PM
Alonso, F1, Aston Martin
Juara dunia dua kali, Fernando Alonso, menyertai Aston Martin pada 2023 daripada pasukan Alpine yang dimiliki Renault, selepas beraksi buat seketika bersama McLaren. - Foto REUTERS

LONDON: Pemandu paling tua dalam sukan lumba kereta Formula Satu (F1), Fernando Alonso, berkata beliau cenderung untuk bersara pada 2026 jika pasukan Aston Martin menunjukkan prestasi yang berdaya saing.

Juara dunia dua kali itu akan mencecah usia 45 tahun pada Julai 2026, manakala kontraknya bakal tamat pada penghujung musim itu. 

Musim 2026 bakal menyaksikan perubahan besar dari segi teknikal, termasuk penggunaan enjin baru, serta penglibatan Honda sebagai rakan kongsi Aston Martin.

“Jika semuanya berjalan lancar, saya rasa ia waktu yang sesuai untuk bersara,” kata pemandu Sepanyol itu dalam satu wawancara yang diterbitkan di laman web pasukan tersebut.

“Saya sudah lama mencari kereta dan perlumbaan yang benar-benar berdaya saing, dan jika saya menemuinya, saya rasa itu cara terbaik untuk mengakhiri kerjaya saya.

“Katakanlah, jika kami (pasukan Aston Martin) berdaya saing, kemungkinan saya bersara lebih tinggi. Jika tidak, adalah sangat sukar untuk bersara tanpa mencuba lagi.”

Alonso belum memenangi sebarang perlumbaan sejak Grand Prix Sepanyol 2013 ketika bersama Ferrari, sedangkan sebelum itu beliau pernah memenangi kejuaraan dunia sebanyak dua kali pada 2005 dan 2006 bersama Renault.

Alonso menyertai Aston Martin pada 2023 daripada Alpine yang dimiliki Renault, dan pernah beraksi buat seketika bersama McLaren.

Sementara itu, pemandu simpanan Aston Martin, Felipe Drugovich, akan berlumba untuk Andretti Global dalam Formula E mulai Disember, umum Andretti Global pada 24 September.

Siri perlumbaan kereta elektrik yang semakin popular di peringkat antarabangsa itu akan memulakan musim ke-12 di Sao Paulo, Brazil, pada 6 Disember.

Tarikh tersebut bertepatan dengan hujung minggu perlumbaan terakhir F1 di Yas Marina, Abu Dhabi.

Drugovich, 25 tahun, dijangka dilepaskan oleh Aston Martin sebelum perlumbaan tersebut.

Pemandu asal Brazil itu telah menjadi pemandu simpanan F1 sejak memenangi gelaran Formula Dua (F2) pada 2022, dan telah menyokong pemandu utama Aston Martin seperti Alonso dan Lance Stroll.

Meskipun beliau pernah mengambil bahagian dalam sesi latihan, Drugovich belum pernah mendapat peluang menjadi pemandu pengganti dalam perlumbaan, dan kini dijangka dilepaskan sebelum musim F1 ini berakhir.

Di Andretti Global, Drugovich akan bergandingan dengan juara Formula E Britain 2022-23, Jake Dennis. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg