Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Suntikan pemain muda, kepulangan Hariss perkukuh skuad menentang India

Sep 29, 2025 | 7:23 PM
Hariss Harun, afc
Kapten pasukan Singa, Hariss Harun (kiri), kembali beraksi bersama pasukan untuk perlawanan kelayakan Piala Asia Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menentang India pada 9 dan 14 Oktober. - Foto FAS

Walaupun Young Lions tewas dalam kedua-dua perlawanan Liga Perdana Singapura (SPL) menentang Balestier dan Tanjong Pagar, pemain tengah muda Young Lions, Ong Yu En, tetap mencuri tumpuan dan berjaya meyakinkan ketua jurulatih sementara, Gavin Lee, untuk menyenaraikannya dalam skuad senior kebangsaan buat kali pertama.

Lee telah mengumumkan senarai 26 pemain bagi tempoh perlawanan antarabangsa Fifa pada Oktober, di mana skuad Singa akan menentang India di stadium sendiri dan juga di stadium lawan, dalam saingan Kumpulan C kelayakan Piala Asia Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Selain Ong, Jonan Tan yang kini beraksi bersama kelab Portugal, FC Vizela, turut menerima panggilan pertama ke skuad kebangsaan utama.

Gavin, yang mengambil alih pasukan selepas Tsutomu Ogura meletakkan jawatan pada 24 Jun atas sebab peribadi, berkata tumpuan beliau bukan sahaja kepada kejayaan jangka pendek, malah membina pasukan untuk jangka masa panjang.

“Panggilan pertama ke skuad bukan hanya mengenai prestasi semasa, bahkan sebahagian daripada usaha membina masa depan,” kata Lee.

“Adalah penting untuk terus memberi inspirasi kepada generasi pemain yang akan datang.”

Skuad Singa kini mendahului Kumpulan C selepas menewaskan Bangladesh 2-1 di Stadium Bangabandhu pada 10 Jun, serta mencatat keputusan seri 0-0 menentang Hong Kong di Stadium Nasional pada 25 Mac.

Kempen kelayakan mereka akan diteruskan menentang India di Stadium Negara pada 9 Oktober, sebelum mereka bertandang ke Goa bagi perlawanan timbal balik pada 14 Oktober.

Dua perlawanan penting tersebut dilihat sebagai peluang terbaik skuad kebangsaan untuk layak ke Piala Asia buat kali pertama dalam sejarah.

Kembalinya kapten pasukan, Hariss Harun, yang terlepas aksi persahabatan awal September ketika Singapura tewas 2-1 kepada Malaysia dan seri 1-1 dengan Myanmar, dijangka memperkuatkan lagi barisan pasukan dan meningkatkan peluang mereka untuk mencapai sasaran tersebut.

“Tempoh Fifa September lalu memang dirancang untuk mempersiapkan diri menghadapi dua perlawanan penting menentang India.

“Kami melihat beberapa perkembangan positif yang boleh dibina, dan dalam masa yang sama, belajar banyak perkara tentang kekuatan serta kelemahan sendiri,” kata Lee.

“Kami percaya barisan pemain yang telah dipilih benar-benar faham betapa pentingnya kelayakan ini untuk bola sepak Singapura, dan mereka tahu tahap yang diperlukan untuk mencapai matlamat tersebut.

“Kini terpulang kepada kami sebagai satu pasukan untuk membuat persiapan sebaik mungkin dan memberikan segalanya di dalam padang.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg