PARIS: Carlo Ancelotti dianggap antara jurulatih terbaik di dunia dan berupaya mengubah prestasi hambar skuad kebangsaan Brazil menerusi pengalaman serta disiplinnya, kata beberapa bekas pemain juara dunia lima kali itu pada 14 Mei.
Namun begitu, mereka turut memberi amaran bahawa kehadiran Ancelotti tidak akan menutup kekurangan yang bersifat “berakar”.
Pengurus berusia 65 tahun itu, yang merupakan antara pengurus paling berjaya dalam sejarah bola sepak dunia, akan menjadi jurulatih Brazil selepas menamatkan tugasnya bersama Real Madrid pada penghujung musim 2024/25.
Ancelotti merupakan pengurus pertama yang memenangi kejuaraan liga di kesemua lima liga utama Eropah – England, Sepanyol, Jerman, Italy dan Perancis – dan telah membawa Real Madrid meraih dua kejuaraan berganda Liga Juara-Juara dan La Liga dalam tempoh tiga musim.
“Saya sangat gembira, dan saya tidak percaya jika ada yang tidak gembira dengan pengumuman ketibaan pengurus terbaik dunia,” kata Felipe Melo, pemenang tiga kali Copa Libertadores dan pemain skuad Brazil pada Piala Dunia 2010, kepada wartawan.
Sejak bekas jurulatih, Tite, meninggalkan jawatan itu pada akhir 2022 selepas Piala Dunia Qatar, tiga jurulatih lain – Ramon Menezes, Fernando Diniz dan Dorival Jr – telah mengendalikan pasukan tersebut.
“Kalau kita sudah tukar empat jurulatih dalam masa kurang tiga tahun, maknanya ada sesuatu yang tidak kena...
“Pada pendapat saya, Ancelotti dibawa masuk untuk hasilkan keputusan, jadi kita perlu bantunya,” kata Dunga, pemenang Piala Dunia 1994 bersama Brazil yang juga bekas jurulatih skuad kebangsaan.
Brazil kini berada di tangga keempat dalam saingan kelayakan Conmebol untuk Piala Dunia 2026 dan hanya memenangi enam daripada 14 perlawanan.
Enam pasukan layak ke Piala Dunia yang bakal diadakan di Amerika Utara.
Mauro Silva, yang juga pemenang Piala Dunia 1994, berkata:
“Beliau memiliki pandangan yang lebih luas terhadap gaya bola sepak dari seluruh dunia, dan saya rasa itu satu kelebihan besar.
“Ini saat yang sukar bagi bola sepak Brazil. Kita ada beberapa isu struktur, tetapi saya harap Ancelotti berjaya.”
Bekas pemain bola sepak wanita, Formiga, yang memegang rekod beraksi dalam tujuh edisi Piala Dunia Wanita dan tujuh temasya Olimpik bersama Brazil, berharap Ancelotti dapat menjalin “keserasian” segera dengan pasukan supaya mereka layak ke Piala Dunia tanpa masalah.
“Masanya tidak banyak, tetapi saya harap beliau, barisan jurulatih dan pemain boleh saling membantu sebaik mungkin.
“Kita perlukan semangat dan disiplin untuk ubah keadaan sekarang; kita mesti percaya ia boleh dicapai,” katanya.
Bekas pemain-pemain itu turut mengulas kenyataan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, yang baru-baru ini mengkritik skuad kebangsaan Brazil dengan mengatakan para pemain sekarang tidak setaraf dengan generasi terdahulu dan “sangat jauh” daripada pasukan-pasukan hebat.
Apabila ditanya oleh agensi berita, Reuters, Mauro Silva, berkata:
“Saya percaya semua orang di Brazil rindu untuk menang kejuaraan, bukan? Menjelang 2026 nanti, sudah 24 tahun sejak kali terakhir kita menang Piala Dunia.
“Semua orang sedih dan harap Brazil akan menang sesuatu.”
Kali terakhir Brazil menjuarai Piala Dunia ialah pada 2002, namun sejak itu sering mengalami kekecewaan termasuk gagal menjulang Piala Dunia di tempat sendiri pada 2014.
“Kita rindu semangat yang pernah wujud dahulu, semangat mereka yang banyak berjasa dalam bola sepak, dan yang kita tidak ada hari ini.
“Maka, wajar untuk kita sebut nama-nama pemain itu dan minta generasi baru ini renungi sejarah mereka,” tambah Formiga.
Sementara itu, Ancelotti memuji pemain muda Real yang membantu pasukannya bangkit menewaskan Mallorca 2-1, hasil jaringan dramatik pemain akademi, Jacobo Ramon, pada minit kelima masa kecederaan.
Kemenangan itu menangguhkan sambutan kejuaraan Barcelona dan mengekalkan harapan tipis Real untuk menjuarai La Liga.
Real hanya berbaki dua perlawanan dan kini ketinggalan empat mata di belakang pendahulu liga, Barca.
Barcelona, yang mempunyai satu perlawanan dalam tangan, dijangka merangkul gelaran La Liga ke-28 mereka pada 15 Mei jika mereka menewaskan seteru setempat, Espanyol pada 16 Mei. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg