Lelaki miliki vape mengandungi ganja di kondo Marina Bay dijel lebih setahun
Lelaki miliki vape mengandungi ganja di kondo Marina Bay dijel lebih setahun
Seorang lelaki dipenjara selama 12 bulan dan dua minggu pada 22 Januari kerana memiliki vape yang mengandungi bahan berkaitan ganja di samping kesalahan mengambil ganja.
Vape itu ditemui di sebuah unit kondominium di Marina One Residences, tempat lelaki itu, Harting Chitty Harold Ivan, tinggal pada masa itu.
Warga Amerika Syarikat berusia 36 tahun itu mengaku bersalah atas satu tuduhan menggunakan ganja dan satu lagi tuduhan memiliki vape yang mengandungi dadah Kelas A.
Empat lagi tuduhan dipertimbangkan.
Pada 16 April 2025, pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) memintas rancangan mengirim satu bungkusan dari luar negara yang dialamatkan kepada Harting, yang bekerja sebagai pengurus sumber manusia di Singapura.
Bungkusan itu didapati mengandungi dadah terkawal.
Sekitar 5.50 petang pada hari yang sama, pegawai CNB menjalankan pemeriksaan di rumah Harting di Marina Bay.
Mereka menemui coklat yang dicampur dengan psilosin, bahan dalam cendawan yang biasanya boleh membawa pada khayalan dan rasa mabuk, serta vape yang dicampur dengan bahan berkaitan ganja.
Menurut akhbar The Straits Times, hasil ujian air kencingnya juga positif ganja.
Harting mengakui dia menerima vape itu pada Januari 2025, dan menghisapnya setiap kali dia berasa tertekan.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Goh Yong Ngee memohon hukuman penjara 13 bulan untuk Harting, dengan menyatakan hukuman minimum untuk kesalahan mengambil ganja adalah penjara selama setahun.
Penangguhan hukuman selama sebulan itu adalah untuk mengambil kira empat pertuduhan yang diambil dalam pertimbangan, kata DPP Goh.
Peguam Harting, Encik Hong Qibin dari Coleman Street Chambers, memohon hukuman penjara 12 bulan.
Beliau berkata Harting menghidap gangguan tekanan pasca trauma serta kemurungan dan dia menggunakan dadah tersebut untuk menangani masalah yang dihadapinya.
Encik Hong menambah anak guamnya menyesal dan sejak itu, telah mendapatkan bantuan profesional untuk kekal bebas dadah.
Bagaimanapun, DPP Goh berkata penggunaan ganja atas sebab-sebab perubatan tidak boleh dianggap sebagai faktor pengurangan hukuman kerana ia menyalahi undang-undang di Singapura.
Harting boleh memanfaatkan pilihan lain untuk menguruskan masalah perubatannya, tegas DPP Goh.
Bagi kesalahan menggunakan ganja, pesalah boleh dipenjara antara satu dengan 10 tahun, dan didenda sehingga $20,000.
Pesalah yang disabitkan kesalahan memiliki peranti vape yang mengandungi bahan berkaitan ganja boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan didenda sehingga $20,000.

