Pingat emas Sukan SEA 2025 mungkin pencapaian bersejarah buat Marissa Hafezan, tetapi atlet karate muda itu tidak mahu terlalu lama dibuai kejayaan tersebut.

Sebaliknya, menjelang penampilan sulungnya di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, Marissa melihat pentas lebih besar itu sebagai peluang untuk menguji sejauh mana dirinya mampu bersaing dengan atlet terbaik di benua ini.

“Saya sentiasa mahu memasuki pertandingan dengan fokus kepada objektif prestasi. Saya tidak terlalu memikirkan ‘saya mesti menang’ kerana saya mahu membuktikan kepada diri sendiri bahawa segala kerja keras saya dapat membuahkan hasil, dan saya mahu berseronok ketika melakukannya,” kata atlet berusia 20 tahun itu.

Beliau bakal bertanding dan memulakan perjalanannya di Sukan Asia pada 22 September – menentang atlet karate terbaik di Asia.

Di sebalik kejayaan Sukan SEA-nya, cabaran paling besar yang masih cuba ditanganinya bukan semata-mata dari segi teknik atau taktikal.

Sebaliknya, ia berkaitan kepercayaan terhadap dirinya sendiri.

“Cabaran terbesar ialah mempercayai diri sendiri, mempunyai lebih keyakinan dan percaya bahawa saya memang layak berada dalam kalangan atlet terbaik Asia,” katanya.

Marissa mengakui aspek teknikal dan taktikal sudah banyak dipelajarinya, namun beliau mahu membina keyakinan bahawa dirinya benar-benar mampu berada pada tahap yang sama dengan pencabar dari negara-negara kuasa besar karate di Asia.

Baginya, kekuatan barisan atlet di Asia memberikan gambaran tentang kedudukannya dalam kalangan atlet bertaraf dunia.

“Saya ingin membuktikan kepada diri sendiri bahawa saya mampu mengekalkan tahap saya untuk jangka panjang dan bukan sekadar kejayaan sekali sahaja,” katanya.

Perjalanan ke Sukan Asia juga hadir selepas tempoh yang tidak mudah.

Setahun lebih sebelum temasya kali ini, Marissa terpaksa menjalani pembedahan bahu kanannya selepas dibelenggu kecederaan yang memaksanya terlepas beberapa pertandingan.

Kini, kira-kira setahun selepas pembedahan itu, anak sulung dalam keluarga dua beradik itu berkata bahawa bahunya sudah pulih sepenuhnya.

Di sebalik proses pemulihan itu, ibunya, Rosmawarni Zaman Hafezan, turut menyaksikan sendiri perjalanan panjang yang dilalui anaknya itu untuk sampai ke pentas Sukan Asia – termasuk detik-detik sukar yang tidak kelihatan di mata umum.

“Saya sangat bangga dan gembira melihatnya. Saya dapat lihat perkembangan, pertumbuhan dan peningkatannya sepanjang beberapa tahun ini. Saya juga melihat segala keringat dan air matanya sama ada di sesi latihan atau pentas pertandingan,” cerita ibunya.

Dengan latihan intensif lima hingga enam hari seminggu, persiapan Marissa untuk Sukan Asia turut diperkukuh menerusi pengalaman bertanding di luar negara.

Atlet karate Singapura, Marissa Hafezan (kanan), gigih berlatih bagi memantapkan teknik, taktikal serta aspek bertarung menjelang cabaran di Sukan Asia 2026.
Atlet karate Singapura, Marissa Hafezan (kanan), gigih berlatih bagi memantapkan teknik, taktikal serta aspek bertarung menjelang cabaran di Sukan Asia 2026. - Foto EVRY COURCOURONNES KARATE 91

Beliau berpeluang beraksi di Perancis, Singapura dan beberapa kejohanan lain, yang menurutnya mendedahkannya kepada pelbagai gaya pertarungan serta pendekatan yang diterapkan semasa latihan.

Pengalaman di Perancis khususnya membantu dari segi teknikal, taktikal dan aspek agresif dalam pertarungan, manakala mewakili Singapura pula memberinya motivasi tambahan untuk memberikan 100 peratus.

Beliau juga baru melalui kem latihan intensif di Paris bersama kelabnya, Evry Courcouronnes Karate 91, yang merangkumi latihan teknikal dan taktikal serta ujian fizikal.

Namun, pengorbanan untuk sampai ke tahap tinggi itu bermula jauh sebelum Sukan Asia.

Atlet karate Singapura, Marissa Hafezan (kanan), mendakap ibunya, Rosmawarni Zaman Hafezan, selepas mengukir sejarah meraih pingat emas Sukan SEA 2025, hasil pengorbanan dan sokongan padu keluarganya sepanjang perjalanan kerjaya beliau.
Atlet karate Singapura, Marissa Hafezan (kanan), mendakap ibunya, Rosmawarni Zaman Hafezan, selepas mengukir sejarah meraih pingat emas Sukan SEA 2025, hasil pengorbanan dan sokongan padu keluarganya sepanjang perjalanan kerjaya beliau. - Foto ST

Rosmawarni berkata Marissa terpaksa belajar mengimbangi pelajaran, karate dan kehidupan bersama rakan-rakan, termasuk terlepas banyak sambutan hari jadi kerana perlu bertanding atau menjalani latihan.

“Suami dan saya sentiasa mengingatkannya bahawa perjalanan untuk sampai ke puncak selalunya sunyi. Kita perlu mengutamakan sesuatu dan bersedia untuk berkorban,” katanya.

Rosmawarni juga melihat sendiri kesakitan yang dilalui anaknya akibat kecederaan dalam pertandingan dan latihan, termasuk sebelum pembedahan bahu itu.

Katanya, Marissa sentiasa menunjukkan keazaman untuk mengatasi setiap halangan.

Semua itu akhirnya tertumpu kepada satu matlamat apabila beliau turun bertanding di temasya Sukan Asia di Jepun ini nanti.

“Saya cuma mahu menunjukkan bahawa saya berada di sini dan mereka harus gerun apabila menentang saya,” katanya sambil ketawa.

Keyakinan itu bukan bermakna beliau meletakkan sasaran semata-mata pada pingat.

Sebaliknya, Marissa mahu mencabar atlet Asia yang lain sedaya upaya dan melihat sejauh mana dirinya mampu melangkah.

Beliau juga mahu membuktikan bahawa walaupun Singapura sebuah negara kecil, ia mampu melahirkan bakat yang dapat bersaing di pentas tinggi.

Baginya, kejayaan di Sukan SEA yang lalu tidak mencukupi.

“Saya sentiasa mahu memasuki pertandingan dengan fokus kepada objektif prestasi,” katanya, sambil menegaskan bahawa ranking bukan keutamaan buat masa ini.

“Lakukan yang terbaik dan keputusan serta ranking akan menyusul,” tambahnya.

Buat masa ini, tumpuannya hanya kepada satu matlamat.

Membuktikan bahawa pingat emas Sukan SEA itu bukan kemuncak, sebaliknya garisan mula kepada kerjaya karatenya.

Sambil menitipkan kata-kata semangat, Rosmawarni berharap anaknya itu dapat bertanding dengan tenang dan berkeyakinan tinggi.

“Fokus, lakukan yang terbaik. Ibu akan sentiasa berada di sini untuk kamu dan akan sentiasa menyayangi kamu,” pesan si ibu.