Topik diikuti
Pergi ke BHkuGalas harapan tunggal S’pura dalam pentatlon moden di Sukan Asia
Miliki ijazah dalam teater muzikal dan baru ceburi pentatlon moden sekitar dua tahun, Tahir Ahmed Ansari tetap positif dalam penampilan sulung di pentas sukan terbesar Asia
Galas harapan tunggal S’pura dalam pentatlon moden di Sukan Asia
Persinggahan secara kebetulan di satu reruai ketika menyertai perlumbaan kecergasan Spartan pada 2024 tanpa diduga membuka laluan bagi Tahir Ahmed Ansari untuk bertanding di Sukan Asia.
Ketika itu, beliau sekadar ingin mencuba tembak pistol laser kerana timbul rasa ingin tahu di reruai yang dikendalikan badan sukan Modern Pentathlon Singapore yang terletak di luar Stadium Negara.
Tidak pernah disangkanya bahawa pengalaman yang bermula hanya kerana ingin mencuba itu akhirnya membawanya mewakili Singapura dalam acara pentatlon moden di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, hanya dua tahun kemudian.
Tahir akan bertanding dalam kategori individu lelaki dan muncul sebagai satu-satunya wakil Singapura dalam acara pentatlon moden dengan pusingan saringan bermula pada 16 September.
Bagi seseorang yang baru mengenali beberapa disiplin tersebut pada usia yang lebih matang – beliau kini berusia 34 tahun – cabarannya amat besar.
Dalam tempoh kira-kira setahun selepas mula serius dalam sukan itu, Tahir perlu mempelajari pelbagai disiplin yang sebelum ini asing baginya – daripada renang dan lawan pedang hingga acara berhalangan (obstacle course), larian dan menembak laser.
Dan sejauh ini, beliau telah membuktikan bakatnya selepas mewakili Singapura dalam beberapa kejohanan pentatlon moden antarabangsa sebelum ini.
Beliau memulakan langkah di pusingan Kelayakan Kumpulan A di Kejohanan Senior Asia 2025 di Anjo, Jepun.
Seterusnya, beliau berjaya melangkah ke peringkat akhir dalam divisyen Biathle-Senior B/T di Jelajah Bandar Laser Run Global UIPM 2026 di Ipswich, Australia.
Beliau kemudian bersaing di peringkat tertinggi dunia dalam pusingan Kelayakan Kumpulan B di Kejohanan Dunia Pentatlon UIPM 2026 di Guiyang, China.
Sebagai seseorang yang baru berkecimpung dalam sukan itu, Tahir percaya pendekatan mentalnya menjadi antara kelebihannya.
“Setiap kali menyertai pertandingan, saya sentiasa berpegang pada prinsip bahawa tiada apa yang bakal saya rugi, sebaliknya banyak yang boleh saya timba,” katanya.
Pemikiran itu penting apabila beliau berdepan atlet yang sudah berkecimpung dalam sukan tersebut sejak kecil atau menjadikannya kerjaya sepenuh masa.
Tahir sedar beliau tidak mempunyai pengalaman yang sama, tetapi beliau juga melihat kedudukannya dari sudut berbeza.
“Saya berada dalam kedudukan yang istimewa untuk cuba melakukan yang terbaik, terus berusaha dan percaya keputusan akan menyusul,” katanya.
Di luar arena pertandingan, perjalanan Tahir juga jauh daripada laluan atlet konvensional.
Beliau mempunyai ijazah dalam teater muzikal dan pernah membuat persembahan dalam produksi teater di Singapura sebelum berpindah ke Australia 2021.
Kini, beliau bekerja sepenuh masa dengan kumpulan teater genderang, selain mengendalikan persembahan, bengkel dan program untuk sekolah serta acara korporat.
Bagi Tahir, terdapat persamaan antara dunia persembahan dan sukan.
Kedua-duanya menuntut disiplin, kesungguhan dan keberanian untuk mengejar sesuatu yang diminati walaupun hasil akhirnya tidak dapat dijamin.
“Saya sentiasa terdorong untuk mengejar perkara yang saya suka dan berharap saya boleh mencari rezeki daripadanya,” katanya.
Beliau juga mahu pengalaman peribadinya menjadi bukti bahawa seseorang tidak semestinya perlu bermula sejak kecil untuk mengejar sesuatu yang baharu.
“Anda tidak pernah terlalu tua untuk mengejar sesuatu, anda tidak pernah terlalu tua untuk mengejar impian. Umur hanyalah angka,” katanya sambil tersenyum.
Bagi Tahir, Sukan Asia bukan sekadar tentang keputusan.
Beliau mahu tiba di Aichi-Nagoya sebagai versi terbaik dirinya, melakukan yang terbaik dan menggunakan pentas itu untuk menarik lebih banyak perhatian kepada sukan yang secara tidak sengaja ditemuinya sekitar dua tahun lalu.
Namun, beliau juga tidak mahu mengehadkan impiannya setakat itu sahaja.
Laluan ke Sukan Olimpik 2028 diakuinya sebagai sesuatu yang “sangat besar” dan amat mencabar.
Tetapi selepas satu kebetulan berjaya membawa beliau sejauh ini, Tahir tidak mahu terlalu cepat mengatakan sesuatu itu mustahil.
“Impian itu besar, tetapi kejar sahaja. Jika memang ditakdirkan, saya mahu sangat mewakili Singapura di Sukan Olimpik. Jika tidak pun perjalanan ini tetap bukan sesuatu yang sia-sia,” ujarnya.
APAKAH ITU PENTATLON MODEN?
5 DISIPLIN
Pentatlon moden menggabungkan lawan pedang, renang, acara berhalangan serta ‘laser run’ - gabungan menembak dan larian.
LAWAN PEDANG
Pertarungan satu minit menentang setiap peserta. 70% kemenangan = 250 mata, dengan mata diselaraskan mengikut jumlah kemenangan.
RENANG
100m gaya bebas dalam kolam sepanjang 25m. Lebih pantas masa, lebih banyak mata.
ACARA BERHALANGAN
Laluan 70m dengan lapan halangan - enam ditetapkan, dua dipilih secara rawak.
‘LASER RUN’
Gabungan lari 3km dan lima sesi menembak. Atlet perlu tembak tepat lima sasaran dalam setiap sesi, dengan had 50 saat sebelum meneruskan larian.
Atlet yang terlebih dahulu melintasi garisan penamat dalam laser run muncul sebagai pemenang.
