Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Liga Belia S’pura wadah bina mentaliti pemain muda bola sepak

Oct 9, 2024 | 3:56 PM
Ketua Perancangan (Pejabat Divisyen Teknikal), Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), dan bekas pemain pertahanan Singapura, Baihakki Khaizan berkongsi tentang Liga Belia Singapura (SYL) dan akui bahawa banyak yang boleh dilakukan untuk perbaik SYL.
Ketua Perancangan (Pejabat Divisyen Teknikal), Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), dan bekas pemain pertahanan Singapura, Baihakki Khaizan berkongsi tentang Liga Belia Singapura (SYL) dan akui bahawa banyak yang boleh dilakukan untuk perbaik SYL. - Foto ST

Liga Belia Singapura (SYL) yang dilancarkan pada Februari 2024 merupakan wadah baik untuk mendedahkan seberapa ramai kanak-kanak bermain bola sepak secara kompetitif.

Inilah yang dikongsi Ketua Perancangan (Pejabat Divisyen Teknikal), Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), Baihakki Khaizan di dialog Sembang Bola Sepak UTR! pada 8 Oktober di Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat.

“Sudah tentu terdapat ruang untuk pertumbuhan, di mana penyingkiran dan promosi ke liga seterusnya akan berlaku, tetapi itu hanyalah satu komponen pertumbuhan,” kata bekas pemain kebangsaan itu.

“Kemudian mereka akan diperkenalkan kepada Pusat Pembangunan Nasional (NDC), dari situ kita akan melihat ke mana mereka boleh pergi seterusnya. Ini semua tentang menyediakan (laluan bola sepak) untuk mereka,” tambah beliau.

Bekas pemain tengah Singapura, Rafi Ali, yang merupakan ketua jurulatih Akademi ActiveSG, juga menekankan peranan SYL dalam membina daya tahan pemain yang beliau anggap kurang dimiliki para pemain masa kini.

“Sejujurnya apabila pemain sudah berusia 14 tahun ke atas, sukar untuk kita ubah pemikiran mereka berbanding dengan apabila mereka masih muda,” kata Rafi kepada Berita Harian (BH).

“Dengan SYL, kami dapat memberi tumpuan kepada mereka yang berusia 12 tahun ke bawah, dan pupuk sikap dan pemikiran yang baik dari muda lagi,” tambah beliau.

Beliau juga tekankan bahawa semangat dan keinginan untuk maju dalam bola sepak selain mentaliti untuk menang, perlu ditanam semasa pemain masih muda.

Bagi Rafi, nilai yang dipupuk dalam jiwa kanak-kanak ini bukan sahaja memanfaatkan dari segi kemahiran dalam bola sepak malah dalam kehidupan mereka juga.

“Jika mereka tidak berjaya menjadi pemain bola sepak pun, mereka akan membesar untuk menjadi golongan dewasa yang bertanggungjawab,” jelasnya.

SYL kini mempunyai hampir 3,800 pemain remaja bersaing dalam lebih 1,100 perlawanan sehingga Disember.

Terdapat enam kumpulan usia, dari bawah lapan tahun hingga bawah 17 tahun.

Lebih 3,800 pemain muda daripada lebih 200 pasukan turun padang untuk menyertai Liga Belia Singapura (SYL).

Jumlah belia yang memberangsangkan ini membuat Rafi rasa optimistik dalam menghasilkan pemain bola sepak kebangsaan yang berkualiti pada masa depan.

“Dengan sistem belia ini (SYL), sudah tentu kami boleh menghasilkan sekurang-kurangnya lima pemain seperti Hariss Harun atau pun Shahdan Sulaiman,” katanya.

Beliau juga berkata ini akan memastikan bahawa pada masa depan, pemain tidak boleh leka dan mereka perlu kekal pertingkatkan kemahiran kerana terdapat ramai pemain yang berkebolehan dan boleh mengganti tempat mereka.

Rafi juga menekankan peranan ibu bapa dalam memberi sokongan kepada anak-anak dalam bola sepak.

“Kini kami (sebagai jurulatih) berbual bersama ibu bapa pemain. Apabila kami berbual, ibu bapa akan faham apa yang kami ingin lakukan,” jelas beliau.

Sokongan ini juga dapat dilihat oleh pemain kebangsaan, Shahdan Sulaiman.

“Apabila anda hadiri perlawanan SYL, kami dapat lihat ramai penonton yang hadir, jumlah kanak-kanak yang bermain, dan juga jumlah ibu bapa yang terlibat dalam perlawanan-perlawanan ini,” kongsi beliau.

“Ia sungguh memberangsangkan untuk melihat bahawa ramai yang masih terlibat dalam bola sepak. SYL merupakan permulaan yang baik, dan harapannya adalah kami dapat melihat hasilnya pada masa hadapan,” tambah Shahdan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg