KANSAS CITY (Missouri): Penjaga gawang Curacao, Eloy Room, hanya memerlukan dua minit untuk melakukan antara aksi menyelamat paling hebat di Piala Dunia setakat ini, dengan menafikan percubaan gol jarak dekat penyerang Ecuador, Enner Valencia.

Ketangkasan Room itu merupakan satu persembahan luar biasa dalam kerjayanya yang turut melakar sejarah Piala Dunia pada perlawanan 20 Jun. 

Room melakukan 15 aksi menyelamat ketika seri 0-0 menentang Ecuador dalam perlawanan Kumpulan E, yang merupakan bilangan menyelamat tertinggi dalam perlawanan 90 minit sepanjang sejarah kejohanan itu.

Kelincahan Room sekali gus membantu negara terkecil yang pernah beraksi di Piala Dunia itu meraih mata sulung mereka.

Selain Curacao, satu lagi pasukan yang membuat penampilan sulung pada kejohanan itu, Cape Verde, turut melahirkan wira di bahagian gawang.

Ini selepas penjaga gawang negara Afrika itu, Vozinha, membantu mengikat pasukan gergasi Sepanyol 0-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan H.

Room, 37 tahun, yang juga pemain tertua dalam skuad Curacao, menyerlahkan ketahanan luar biasa daripada asakan Ecuador, termasuk menyelamatkan rembatan jarak 18 meter daripada John Yeboah pada minit ke-41 serta tandukan pada separuh masa kedua oleh Valencia.

Hanya penjaga gawang Amerika Syarikat, Tim Howard, pernah melakukan lebih banyak aksi menyelamat dalam satu perlawanan Piala Dunia, dengan menyekat 16 cubaan ketika tewas kepada Belgium di pusingan 16 terakhir pada edisi 2014.

“Saya tidak memikirkan tentang perkara itu ketika perlawanan sedang berlangsung,” kata Room kepada pihak media, sambil berseloroh bahawa beliau sedikit terkilan kerana tidak dapat menyamai rekod Howard.

Beliau menyifatkan keputusan seri 0-0 dengan Ecuador itu sebagai hasil usaha seluruh pasukan.

Penjaga gawang Ecuador, Hernan Galindez, berkata Room telah mempamerkan aksi terbaik beliau ketika berdepan pasukan dari Amerika Selatan itu.

Melakar sejarah dalam dunia bola sepak bukanlah perkara asing bagi penjaga gawang Curacao berkenaan.

Pada 2019, Room melakukan berbelas aksi menyelamat untuk membantu negaranya meraih kemenangan sulung di Piala Emas Concacaf menentang Honduras.

Namun, kecemerlangannya di kejohanan terbesar itu bukan sahaja melakar sejarah buat negara kecil dengan sekitar 156,000 penduduk itu, malah menjadi pencapaian peribadi beliau yang amat bermakna.

Room, yang dilahirkan di Belanda, mendedahkan dalam satu temu bual bersama Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) pada awal 2026 bahawa impian zaman kanak-kanak untuk beraksi di Piala Dunia bersama Curacao menjadi sebab utama beliau memilih untuk mewakili negara berkenaan.

Beliau layak mewakili Curacao melalui bapanya dan memberitahu bahawa beliau sering berkunjung ke negara itu untuk bercuti ketika zaman mudanya. 

Room kemudian mendapat panggilan daripada jurulatih skuad Curacao ketika itu, Patrick Kluivert, bagi menyertai pasukan itu pada 2015.

Prestasi hebat Room turut mendapat perhatian pengguna media sosial, apabila akaun Instagram penjaga gawang itu melonjak kepada sekitar 700,000 pengikut berbanding kurang daripada 100,000 sebelum perlawanan – lonjakan hampir sama yang dialami penjaga gawang Cape Verde, Vozinha.

Room, yang berketinggian sekitar 1.9 meter, kini beraksi bersama Miami FC dalam Kejohanan Liga Bola Sepak United (USL), namun menghabiskan sebahagian besar kerjayanya bersama kelab Belanda, Vitesse.

Beliau juga pernah beraksi untuk Columbus Crew dalam saingan MLS serta PSV Eindhoven dalam liga utama Belanda, Eredivisie.

Curacao adalah sebuah negara konstituen autonomi di bawah Kerajaan Belanda. – Reuters.