LEIPZIG (Jerman): Bintang muda Ivory Coast, Yan Diomande, terus mencuri perhatian di pentas Piala Dunia, namun di sebalik kecemerlangannya tersimpan kisah duka yang masih menghantui hidupnya.

Pemain sayap RB Leipzig berusia 19 tahun itu masih bergelut dengan kehilangan adiknya, Roxane, yang meninggal dunia pada 2025, selepas minumannya dipercayai dicampur bahan berbahaya oleh individu tidak dikenali ketika menghadiri sebuah majlis.

Dalam surat terbuka yang disiarkan di platform Players’ Tribune, Diomande meluahkan perasaan bahawa padang bola sepak kini menjadi satu-satunya tempat yang memberinya ketenangan.

“Padang adalah satu-satunya tempat saya rasa seperti di rumah. Di situlah saya berasa tenang dan dapat bercakap dengan awak. Saya cuma berharap awak masih ada di sini supaya saya dapat memberitahu bahawa kita berjaya,” tulisnya.

Diomande mengakui sehingga kini beliau masih tertanya-tanya sama ada beliau mampu melindungi adiknya daripada tragedi itu.

“Saya tidak pernah mendapat jawapan. Mungkin kerana cemburu, mungkin ia sesuatu yang biasa berlaku di negara kami, atau mungkin saya boleh melindunginya. Saya tidak tahu,” katanya.

Kisah sedih itu bagaimanapun tidak menghalang perkembangan kariernya yang semakin menyerlah di Eropah.

Selepas gagal mendapatkan kontrak ketika menjalani sesi percubaan bersama beberapa kelab MLS di Amerika Syarikat, Diomande berhijrah ke Eropah dan menjalani ujian bersama beberapa kelab ternama termasuk Chelsea, Crystal Palace dan Bournemouth.

Beliau akhirnya menyertai CD Leganes pada November 2024 sebelum berpindah ke Leipzig tujuh bulan kemudian.

Prestasi cemerlang dengan 12 gol dan lapan bantuan jaringan dalam musim pertamanya di Bundesliga menyaksikan namanya kini dikaitkan dengan kelab gergasi Eropah, termasuk Liverpool dan Paris Saint-Germain.

Namun Diomande menegaskan beliau tidak mahu terburu-buru mengejar kemasyhuran.

“Saya mahu menjadi antara yang terbaik, tetapi saya mahu melangkah perlahan-lahan, setapak demi setapak untuk mencapai apa yang saya impikan,” katanya.

Pada 21 Jun nanti, Diomande bakal berdepan negara angkatnya, Jerman, dalam aksi Piala Dunia di Toronto, perlawanan yang boleh menjadi satu lagi pentas buatnya membuktikan bahawa kesedihan tidak pernah menghalang impian menjadi kenyataan. – AFP.