SEPANG: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mengambil langkah segera memperbaiki khidmat pengangkutan bas ulang-alik bagi memastikan kelancaran perjalanan orang ramai pergi dan pulang dari litar sempena Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain, bermula 3 Oktober.

Masalah pengangkutan itu mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan peminat yang hadir menyaksikan pusingan perlumbaan latihan Formula Satu (F1) selepas mereka mendakwa terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan bas, khususnya selepas tamat sesi pada sebelah petang.

Susulan itu, SIC pada 3 Oktober memaklumkan pihaknya bekerjasama dengan rakan pengangkutan dan pihak berkuasa berkaitan bagi memperkukuh pengurusan trafik, perkhidmatan bas ulang-alik serta pergerakan orang ramai.

SIC, dalam satu kenyataan, berkata pengalaman dan keselamatan peminat kekal menjadi keutamaan mereka, selain mengakui terdapat cabaran yang dihadapi peminat ketika melakukan perjalanan pergi dan balik dari litar pada 2 Oktober.

Isu khidmat pengangkutan yang tidak teratur sehingga menyaksikan peminat F1 berdepan kesukaran untuk keluar dari SIC pada 2 Oktober mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Dr Mohammed Taufiq Johari.

Dr Taufiq turun sendiri ke SIC pada 3 Oktober bersama Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Rahimi Ismail, serta Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif, bagi meneliti beberapa aspek yang memerlukan penambahbaikan segera.

Antara perkara yang diberi perhatian ialah isu pengangkutan keluar masuk pengunjung yang berlaku pada 2 Oktober, selepas terdapat peminat mendakwa terpaksa menunggu berjam-jam untuk mendapatkan bas ulang-alik bagi meninggalkan kawasan litar.

Malah, ada peminat yang memilih untuk berjalan kaki dalam jarak jauh selepas tidak sanggup menunggu dalam kesesakan dan keadaan tidak teratur ketika ribuan pengunjung meninggalkan SIC pada sebelah petang.

Bagaimanapun, Taufiq berkata keadaan pengurusan pengangkutan dan pergerakan penonton hari ini dilihat lebih baik hasil tindakan segera semua pihak terbabit.

“Alhamdulillah, keadaan hari ini dilihat lebih baik dan teratur hasil penambahbaikan segera yang dilaksanakan oleh pihak Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), Litar Antarabangsa Bahrain (BIC), Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan keselesaan serta kelancaran pergerakan hampir 100,000 penonton yang hadir menyaksikan Grand Prix Gulf Air Bahrain.

“Moga segala penambahbaikan yang dilaksanakan dapat terus diperkasakan dan memastikan pengalaman yang lebih baik, selesa dan selamat kepada semua pengunjung yang hadir.

“Kita akan terus memantau keadaan di lapangan dan memastikan setiap isu yang timbul ditangani dengan segera demi kepentingan serta keselesaan para penonton,” katanya menerusi akaun Instagram miliknya.

Khidmat pengangkutan ulang-alik digunakan sepanjang penganjuran acara itu susulan beberapa jalan ditutup dan sekatan dikenakan terhadap kenderaan awam di sekitar litar, manakala hanya kenderaan dengan pelekat khas dibenarkan meletakkan kenderaan di kawasan SIC.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti
Laporan berkaitan