Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

LIV Golf hentikan usaha dapatkan mata ranking dunia

Ranking Rasmi Golf Dunia enggan iktiraf acara LIV
Mar 06, 2024 | 03:15 PM



NEW YORK: Liga LIV Golf yang disokong Arab Saudi telah menarik balik permohonannya untuk meraih mata Ranking Rasmi Golf Dunia (OWGR), menurut beberapa laporan media di Amerika Syarikat pada 5 Mac.


Media Sports Illustrated, ESPN dan The Golf Channel melaporkan bahawa pesuruhjaya LIV Golf, Greg Norman, memberitahu pemain dalam sepucuk surat pada 5 Mac bahawa usaha meraih pengiktirafan tersebut, yang bermula pada Julai 2022, telah berakhir.


“Kini jelas, cara terbaik ke depan bagi LIV sebagai sebuah liga dan anda sebagai pemain golf LIV bukanlah melalui sistem ranking yang ada sekarang,” kata Norman.

“Satu resolusi yang melindungi ketepatan, kebolehpercayaan dan kewibawaan ranking OWGR tidak lagi wujud,” tambahnya.

OWGR, yang sistem mata rankingnya digunakan untuk menentukan pemain yang diundang menyertai dan dikecualikan daripada empat kejohanan utama golf, tidak menerima bidaan LIV Golf pada Oktober 2023.

Ia memberi sebagai alasan kebimbangannya mengenai laluan terbatas untuk menyertai LIV, kurangnya pusingan ganti dalam kalangan pemainnya dan aspek pertandingan pasukan dan individu yang diadakan serentak.

LIV telah membuat penyesuaian untuk mewujudkan lebih banyak tempat dan sebuah sistem penyingkiran.

Namun Norman menulis, “OWGR tidak menunjukkan kesediaan bekerja secara produktif bersama kita”.

Dengan pemain LIV Golf tidak mendapat mata ranking daripada pertandingan 54 lubang litarnya, banyak nama besar yang meninggalkan Jelajah PGA Amerika Syarikat untuk menyertai LIV Golf terkeluar daripada tempat teratas.

Hanya empat pemain LIV Golf berada di tangga 50 teratas dunia minggu ini, didahului pemain ranking ketiga, Jon Rahm, juara terkini Masters dari Sepanyol yang menyertai LIV pada Disember 2023.

Pemain lain termasuk Tyrrell Hatton dari Britain di tangga ke-17, yang berpindah ke liga itu pada Januari; pemenang lima kali Major Brooks Koepka, warga Amerika yang berada di tempat ke-30 dan pemenang Kejohanan PGA 2023; serta Cameron Smith dari Australia, juara Terbuka British 2022 yang menduduki ranking ke-50.

Norman berkata pemain LIV tidak diendahkan buat sekian lama hingga sukar bagi mereka dinilai dengan betul, sekalipun jika OWGR sekarang mula memberi mata ranking bagi acara LIV.

“Ranking tersebut disusun untuk menghukum sesiapa sahaja yang tidak bermain secara kerap dalam ‘Jelajah Kelayakan’, dengan penilaian memberi ganjaran berlebihan kepada Jelajah PGA,” ujar Norman.

“Sekalipun jika acara LIV Golf diberi mata ranking, sistem OWGR direka sedemikian rupa hingga mustahil untuk anda meraih semula kedudukan yang hampir dengan ranking tertinggi, yang merupakan ranking bagi ramai daripada anda.”

LIV adalah litar kejohanan golf profesional yang dibiayai oleh Public Investment Fund, iaitu dana kekayaan Arab Saudi.

Ia menyertai dunia golf profesional pada 2022 dan berjaya menarik beberapa pemain terkemuka di dunia serta memberi hadiah kejohanan yang dikatakan antara yang tertinggi dalam sejarah sukan itu.

Jelajah PGA, yang telah lama menjadi kuasa dominan dalam golf profesional, tidak berpuas hati dengan penyertaan LIV dan mendakwa penyertaannya menjejas kewibawaan sukan itu dan adalah satu helah bagi Arab Saudi untuk membaiki reputasinya. – AFP.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >