Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Liverpool akhiri kemarau kemenangan

Jan 30, 2021 | 5:30 AM
KEMBALI MENYENGAT: Penyerang Liverpool Sadio Mane (dua dari kiri) menjaringkan satu gol dan membantu dua lagi dalam kemenangan 3-1 ke atas Tottenham ketika aksi Liga Perdana England di Stadium Tottenham Hotspur, London. - Foto EPA-EFE
KEMBALI MENYENGAT: Penyerang Liverpool Sadio Mane (dua dari kiri) menjaringkan satu gol dan membantu dua lagi dalam kemenangan 3-1 ke atas Tottenham ketika aksi Liga Perdana England di Stadium Tottenham Hotspur, London. - Foto EPA-EFE -

LONDON: Liverpool menamatkan kemarau lima perlawanan tanpa kemenangan dalam saingan Liga Perdana England (EPL) dengan menewaskan Tottenham Hotspurs 3-1 awal pagi semalam.

Kemenangan tersebut sekali gus meletakkan mereka kembali dalam empat pasukan teratas liga.

Juara bertahan itu gagal menjaringkan gol dalam empat perlawanan terakhir liga mereka, tetapi Jurgen Klopp berkata beliau kembali mengenali skuad kendaliannya selepas Roberto Firmino menamatkan kemarau jaringan selama 492 minit dengan gol di akhir separuh masa pertama.

Penyerang Spurs Harry Kane dua kali menerima rawatan pada separuh masa pertama akibat kecederaan buku lali dan akhirnya dikeluarkan oleh Jose Mourinho sebelum babak kedua bermula.

"Dua kecederaan di kedua-dua buku lali, yang kedua lebih teruk daripada yang pertama. Beberapa minggu (beliau tidak dapat beraksi), saya tidak pasti.

"Ada pemain yang tidak boleh diganti, ia sudah terjadi tetapi saya percaya kami perlu menghadapinya," kata Mourinho.

Deretan keputusan paling buruk Liverpool dalam saingan liga sejak 2017 menyaksikan mereka tergelincir ke tangga kelima sebelum perlawanan bermula, dengan Klopp mengakui keutamaannya adalah untuk memastikan kelayakan ke Liga Juara-Juara musim depan.

"Apa yang saya lihat hari ini bukanlah berkenaan bentuk atau prestasi tetapi tentang siapa kami sebenarnya.

"Itulah diri kami, terutama di separuh mana kedua. Malam ini kami meruntuhkan tembok - itu perkara yang bagus.

"Mudah untuk kita hilang keyakinan, tetapi tidak mustahil untuk bangkit.

"Ia tidak seperti lampu di mana anda boleh memetik suis untuk menghidupkan dan mematikan lampu.

"Anda perlu menunjukkannya tepat pada masanya," kata Klopp selepas perlawanan.

Kepulangan ke saingan Liga Juara-Juara turut menjadi sasaran Mourinho, tetapi peluang Spurs kini bergantung kepada jangka masa diperlukan Kane untuk berehat.

Kane dan Son Heung-min adalah gandingan berbisa dalam EPL musim ini dan hampir membuka jaringan di awal perlawanan sebelum pemain Korea Selatan itu didapati berada dalam posisi ofsaid oleh VAR.

Sadio Mane membuat umpanan untuk jaringan pertama Firmino dalam lapan perlawanan pada masa tambahan separuh masa pertama.

Trent Alexander-Arnold melebarkan jurang dengan menjaringkan gol kedua pasukannya pada minit ke- 47 tetapi Pierre-Emile Hojbjerg kembali merapatkan jurang buat Spurs dua minit kemudian.

Mane memastikan kemenangan buat Liverpool sekali gus memintas West Ham, lawan yang akan ditemui Ahad ini, dalam kedudukan liga. - AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg