Stadium Negara bertukar menjadi Anfield pada Rabu malam sedang sepanduk, skaf dan jersi berwarna merah yang kebanyakannya dipakai penyokong Liverpool membanjiri stadium di Kallang itu.
Nyanyian lagu terkenal pasukan The Reds, You’ll Never Walk Alone, memeriahkan suasana stadium yang dapat menampung 55,000 penonton, yang dilihat hampir penuh.
Satu bahagian Stadium Negara turut menjadi ‘The Kop’ dengan sepanduk besar dikibarkan penyokong Liverpool sebelum perlawanan bermula.
Kelab Liga Perdana England (EPL) itu berada di kota Singa bagi satu perlawanan persahabatan menentang juara Jerman, Bayern Munich. Perlawanan berkesudahan 4-3, berpihak kepada Bayern.
Ini merupakan perlawanan persahabatan kedua Liverpool di Stadium Negara – sebelum ini ia membelasah kelab Championship dari England, Leicester City, 4-0, pada Sabtu – sebagai persiapan menjelang musim baru.
Perlawanan Liverpool-Bayern ini sekali gus menutup tirai Pesta Bola Sepak Singapura yang berlangsung sejak 25 Julai. Minggu lalu, satu lagi kelab EPL, Tottenham Hotspur, juga beraksi di Stadium Negara berdepan pasukan Liga Perdana Singapura, Lion City Sailors, dan meraih kemenangan 5-1.
Liverpool turut mengadakan persiapan pramusim mereka di Singapura pada 2022.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg