LIVERPOOL: Liverpool telah mencapai persetujuan untuk menandatangani penyerang Sweden, Alexander Isak, dari Newcastle United dengan kontrak jangka panjang bernilai sekitar £130 juta ($225.6 juta).
Demikian menurut laporan saluran berita sukan, Sky Sports News, dan wadah media sukan dalam talian, The Athletic, pada 31 Ogos.
Isak dijangka menjalani pemeriksaan perubatan pada 1 September sebelum menandatangani kontrak selama enam tahun dengan Liverpool, lapor BBC Sport.
Rundingan berpanjangan mengenai perpindahan tersebut menjadi tumpuan sepanjang jendela perpindahan Liga Perdana England (EPL) yang ditutup pada 1 September, selepas tawaran awal Liverpool sebanyak £110 juta bagi pemain tersebut ditolak pada Ogos.
Perjanjian perpindahan melibatkan Isak itu dibuat selepas Newcastle menandatangani penyerang, Nick Woltemade, dari Stuttgart minggu lalu.
Liverpool sudah pun memecahkan rekod perpindahan dengan pembelian pemain tengah Jerman, Florian Wirtz, daripada Bayer Leverkusen dengan bayaran bernilai £100 juta ($173 juta), berserta bayaran tambahan £16 juta, bergantung kepada prestasi pemain atau kelab selepas perpindahan.
Pembelian Isak dijangka melebihi perbelanjaan tersebut.
Selepas Liverpool turut membawa masuk Hugo Ekitike, Milos Kerkez, Jeremie Frimpong, Giorgi Mamardashvili, Armin Pecsi dan Giovanni Leoni, jumlah perbelanjaan Liverpool bagi menandatangani kesemua pemain tersebut kini mencecah sekitar £416 juta, tidak termasuk bayaran tambahan.
Sehingga kini, Liverpool dan Newcastle belum memberikan sebarang ulasan berhubung perkara tersebut, lapor The Straits Times (ST).
Isak, 25 tahun, menjaringkan 23 gol dalam EPL musim lalu, membantu Newcastle kembali ke pertandingan Liga Juara-Juara, dan menamatkan liga tersebut di tempat kelima.
Selain itu, beliau turut menjaringkan gol dalam perlawanan akhir Piala Liga menentang Liverpool, yang menghadiahkan piala domestik pertama kelab itu selepas 70 tahun.
Bagaimanapun, beliau tidak menyertai jelajah pramusim Newcastle dan terpaksa berlatih secara berasingan, disebabkan berlakunya keadaan tegang bersama kelab tersebut, dengan pengurus, Eddie Howe, menyifatkan situasi tersebut sebagai “merugikan kedua-dua pihak”.
Isak sebelum ini menuduh Newcastle mungkir janji dan mengelirukan penyokong dalam satu kenyataan yang mengesahkan hasratnya untuk meninggalkan kelab di kawasan timur laut England itu, dengan alasan perubahan tersebut adalah demi “kebaikan bersama”.
Dalam laporan sebelum ini, Newcastle secara tekal menegaskan ia tidak akan melepaskan pemain utamanya, termasuk Isak.
Isak menyertai Newcastle dari Real Sociedad pada 2022 dengan harga £63 juta.
Beliau merupakan pembelian paling mahal dalam sejarah kelab itu, dan ramai penyokong Newcastle berpendapat harga tersebut sangat berbaloi.
Sepanjang tiga musim lalu, Isak telah menjaringkan 54 gol liga, dan kadar jaringan tersebut menyebabkan namanya sering dikaitkan dengan perpindahan pemain.
Jika kontrak Isak dimeterai, perpindahan tersebut dijangka menjadi antara perjanjian terbesar dalam sukan bola sepak.
Dari segi rekod perpindahan Britain, kontrak tersebut bakal melebihi £107 juta yang dibayar Chelsea kepada Benfica bagi pemain tengah Argentina, Enzo Fernandez, pada 2023.
Pada peringkat sedunia, perpindahan Isak ke Liverpool yang dijangka berlaku, mungkin berada di tempat ketiga berdasarkan bayaran awal.
Dua perpindahan termahal dalam sukan bola sepak ialah pembelian pemain Neymar dan Kylian Mbappe oleh Paris St-Germain. – Reuters, agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg