LONDON: Jarang sekali para penyokong kelab bola sepak berasa gusar dengan desas-desus bahawa kelab mereka mungkin melakukan pembelian termahal dalam sejarah untuk mendapatkan pemain baru.
Namun, itulah yang berlaku dalam kalangan ramai peminat Newcastle United, apabila kelab tersebut cuba membeli pemain penyerang, Hugo Ekitike daripada kelab Eintracht Frankfurt.
Tawaran awal Newcastle sebanyak 70 juta paun ($104 juta) sudah pun ditolak Eintracht Frankfurt, sedang Newcastle cuba mencapai persetujuan untuk menyempurnakan pembelian pemain muda yang sangat diidamkan itu.
Dengan juara Liga Perdana England, Liverpool, juga sedang mencari penyerang tengah dan diketahui berminat membeli Alexander Isak dari Newcastle, tidak hairanlah ramai peminat bola sepak mula membuat andaian tersendiri.
Menurut laporan BBC Sport, difahamkan bahawa Liverpool telah mengambil langkah untuk mendapatkan penyerang Sweden tersebut baru-baru ini.
Menurut sumber, pakej harga untuk mendapatkan Isak boleh mencecah sehingga 130 juta paun.
Namun, Newcastle berpendirian tegas bahawa penyerang utamanya itu tidak akan dijual.
Pihak yang mengenali Newcastle percaya kelab itu sedang membina satu strategi serangan yang mampu menukar corak permainan dengan pantas.
Mereka yang mengenali Ekitike menyifatkan beliau sebagai penyerang serba boleh yang mampu menjaringkan gol dari pelbagai posisi.
Sepanjang musim panas ini, Newcastle secara konsisten menegaskan ia tidak akan melepaskan pemain utamanya, termasuk Isak.
Jadi, persoalannya, adakah Ekitike, 23 tahun, bakal bermain bersama Isak atau menjadi penggantinya?
Isak, 25 tahun, menyertai Newcastle dari Real Sociedad pada 2022 dengan harga 63 juta paun.
Beliau merupakan pembelian paling mahal dalam sejarah kelab itu, dan ramai penyokong Newcastle berpendapat bahawa harga tersebut sangat berbaloi.
Sepanjang tiga musim lalu, Isak telah menjaringkan 54 gol liga, dan kadar jaringan tersebut menyebabkan namanya sering dikaitkan dengan pemindahan pemain.
Pada separuh kedua musim lalu, Ekitike, seperti Isak, bermain sebagai penyerang tunggal.
Beliau telah menjaringkan 15 gol dan mencipta lapan peluang jaringan untuk rakan sepasukan sepanjang musim lalu, membantu Frankfurt menduduki tempat ketiga dalam Bundesliga.
Jadi, dua pemain dengan gaya permainan yang hampir serupa, dan sebuah pasukan yang secara umumnya hanya menggunakan satu penyerang tengah di bawah bimbingan Eddie Howe.
Persoalannya, apakah peranan Ekitike jika beliau menyertai Newcastle?”
“Bukan sesuatu yang pasti bahawa Ekitike mungkin menjadi penyerang kedua di belakang Isak.
“Malah, ada harapan mereka boleh bermain bersama,” kata Matthew Raisbeck dari BBC Newcastle.
Pembelian Ekitike boleh mencetuskan dilema pemilihan pemain bagi Newcastle dalam perlawanan pra-musim.
Statistik menunjukkan bahawa Isak dan Ekitike mempunyai banyak persamaan dalam gaya permainan mereka.
Malah posisi terbaik kededua pemain itu juga sama, iaitu sebagai penyerang tunggal.
Laporan sebelum ini menyatakan bahawa tawaran Newcastle sebanyak 70 juta paun buat Ekitike, jauh tersasar daripada tuntutan kelab Jerman itu yang mahukan 86 juta paun buat pemain tersebut.
Ini menimbulkan isu pemindahan pemain yang mencabar bagi Newcastle.
Isak menjadi pilihan utama Liverpool, namun mengikut kebiasaan Liverpool, ia juga sudah mengenal pasti beberapa pemain lain sebagai alternatif. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg