Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Liverpool kian hampir genggam trofi EPL ke-20

Liverpool lebarkan jurang ke atas pesaing terdekat, Arsenal kepada 13 mata
Feb 27, 2025 | 12:00 PM
Pemain Liverpool Dominik Szoboszlai (kanan) meraikan jaringan ketika aksi Liga Perdana England menentang Newcastle di Anfield, Liverpool.
Pemain Liverpool Dominik Szoboszlai (kanan) meraikan jaringan ketika aksi Liga Perdana England menentang Newcastle di Anfield, Liverpool. - Foto AFP

ANFIELD: Liverpool meneruskan perjuangan untuk meraih trofi Liga Perdana England (EPL) dengan kemenangan 2-0 ke atas Newcastle yang meletakkan mereka dengan kelebihan 13 mata di puncak EPL.

Pada malam di mana Arsenal, yang berada di tempat kedua EPL, keciciran mata setelah seri di Nottingham Forest, pasukan Arne Slot memanfaatkan peluang untuk menggandakan kelebihan mereka di Anfield.

Dominik Szoboszlai membuka jaringan pada minit ke-11 dengan sepakan yang berjaya melepasi penjaga gawang Newcastle, Nick Pope.

Alexis Mac Allister menyemarakkan lagi suasana pada separuh masa kedua, dengan sorakan “kami akan menang liga” kedengaran selepas pemain Argentina itu berjaya menjaringkan gol kedua Liverpool hasil hantaran Mohamed Salah.

Newcastle kekurangan ketajaman di depan gawang. Alexander Isak, penjaring terbanyak mereka musim ini, tidak dapat bermain akibat kecederaan.

Callum Wilson menggantikan penyerang Sweden itu, tetapi beliau membazirkan peluang keemasan pada separuh masa pertama.

Newcastle kini berada di tempat keenam selepas kekalahan tersebut – tiga mata di belakang Manchester City di tempat keempat, dengan empat pasukan teratas akan layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Namun, pasukan Eddie Howe boleh menebus kekalahan terhadap Liverpool apabila mereka bertemu sekali lagi di Wembley dalam peringkat akhir Piala Carabao pada 16 Mac.

Apabila wisel penamat dibunyikan di Etihad pada 24 Februari, Szoboszlai kelihatan letih selepas Liverpool menang 2-0 ke atas juara bertahan, Manchester City.

Pemain Hungary itu telah menjadi pemacu utama di bahagian tengah Liverpool, menjaringkan dan merintis gol untuk memperluaskan jurang antara Liverpool dan Arsenal.

Sekali lagi, pemain tengah itu memainkan peranan penting semasa menentang Newcastle.

Untuk gol pembukaan, beliau melakukan gerakan hebat masuk ke kotak penalti Newcastle, melepasi Sandro Tonali dengan licik sebelum menjaringkan gol.

Szoboszlai, yang hampir menambah gol pada separuh masa pertama, lebih banyak memenangi semula bola berbanding pemain Liverpool lain dalam matlamat mereka untuk mengurangkan peluang Newcastle ke tahap minimum.

Mac Allister memulakan dan menamatkan gerakan untuk golnya, bergabung dengan Salah sebelum mencari ruang di dalam kotak penalti untuk merembat bola ke dalam gawang Newcastle.

Dengan baki 10 perlawanan, dengan enam daripadanya di Anfield, pasukan Slot semakin menghampiri garisan penamat dan kian hampir untuk merangkul trofi ke-20 EPL mereka. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg