Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Segalanya tak ‘Salah’ bagi Liverpool

Penyerang handalan Mesir catat pelbagai rekod hebat semasa membantu ‘The Reds’ atasi Man City untuk kian dekat julang kejuaraan EPL musim ini
Feb 24, 2025 | 4:06 PM
Penyerang Liverpool, Mohamed Salah, meraikan gol beliau dalam kemenangan 2-0 Liverpool ke atas Manchester City pada 24 Februari. Salah bermain dengan cemerlang musim kali ini, dan sudah terlibat sama dalam 40 gol buat Liverpool sejauh ini.
Penyerang Liverpool, Mohamed Salah, meraikan gol beliau dalam kemenangan 2-0 Liverpool ke atas Manchester City pada 24 Februari. Salah bermain dengan cemerlang musim kali ini, dan sudah terlibat sama dalam 40 gol buat Liverpool sejauh ini. - Foto EPA-EFE

LONDON: Penyerang Liverpool, Mohamed Salah, terus membuktikan ini merupakan musim terbaik beliau dengan memecahkan beberapa rekod semasa membantu kelabnya menewaskan Manchester City 2-0 dalam Liga Perdana England (EPL) pada 24 Februari.

Beliau juga berkongsi bahawa musim ini merupakan musim kegemaran beliau secara peribadi.

Salah menjaringkan gol pertama Liverpool – jaringan ke-25 beliau dalam liga musim ini – dan merintis gol kedua yang dijaringkan rakan sepasukannya, Dominik Szoboszlai.

Kemenangan itu mengukuhkan lagi kedudukan Liverpool di tangga teratas EPL dengan kelebihan 11 mata.

Antara rekod yang dicatatkan Salah ialah muncul sebagai pemain pertama dalam sejarah EPL untuk terlibat dalam lebih 40 gol dalam dua musim yang berbeza, dengan 25 gol dan merintis 15 gol dalam sejauh musim ini.

Beliau juga telah menjaringkan 32 gol dan merintis 10 gol bagi musim 2017/2018.

“Saya tak pasti,” jawab Salah, apabila ditanya jika beliau kini beraksi pada tahap terbaiknya.

“Ia bergantung kepada pendapat individu... mungkin ada yang mengatakan saya bermain dengan lebih baik pada musim-musim awal saya (bersama Liverpool).

“Tetapi saya memang ghairah dengan prestasi saya sekarang kerana kami kini hampir menjuarai EPL, dan ini dapat membantu pemain muda. Jadi, bagi saya, ia lebih istimewa sekali.

“Kami perlu menjulang lagi satu trofi EPL. Saya dan beberapa pemain utama dalam pasukan ini perlukan satu lagi trofi.”

Kontrak Salah di Anfield hanya berbaki empat bulan lagi dan sejauh ini bintang Mesir itu belum mengesahkan sama ada beliau akan kekal di Liverpool bagi musim depan.

Namun, soal kontrak jelas tidak menjejas prestasinya semasa di padang.

Salah kini telah menjaringkan atau merintis gol dalam 11 perlawanan liga musim ini, jumlah terbanyak oleh seorang pemain yang bermain dalam lima liga utama Eropah sejak pencapaian Lionel Messi semasa bersama Barcelona pada musim 2014/2015.

Salah, 32 tahun, juga telah menjaringkan 16 gol semasa beraksi di padang lawan – menyamai rekod EPL yang dicatatkan dua penyerang sebelum ini – Kevin Phillips (musim 1999/2000) dan Harry Kane (musim 2022/2023).

Salah juga merupakan duri dalam pasukan bimbingan Pep Guardiola.

Ini kerana beliau merupakan pemain pertama dalam sejarah EPL untuk menjaringkan dan merintis gol dalam kededua perlawanan liga menentang juara bertahan EPL itu.

Salah telah menjaringkan sembilan dan merintis enam gol semasa menentang pasukan bimbingan Guardiola, jumlah terbanyak yang dicatat sepanjang kerjaya kejurulatihan Guardiola.

Prestasi Salah mendapat pujian daripada rakan sepasukan dan penyokong.

“Rekodnya menjadi bukti kehebatan prestasinya,” kata pengurus Liverpool, Arne Slot.

“Pada masa ini banyak perkara yang kelihatan mudah untuk Mo lakukan,” tambah beliau.

Bekas pemain pertahanan Manchester United, Gary Neville, yang kini pengulas bola sepak, berkata Salah kini berada dalam “detik keemasan kerjayanya apabila segala-galanya terasa mudah baginya”.

Pemain pertahanan Liverpool, Andy Robertson, turut menghujani beliau dengan kata-kata pujian apabila ditanya tentang rakan sepasukannya itu.

“Secara jujur, saya tidak kuasa untuk berbicara tentang beliau,” kata Robertson sambil ketawa.

“Prestasi beliau sukar dipercayai. Satu lagi gol dan assist (merintis gol pasukan).”

“Tenaga dan usahanya di padang untuk berlari mempertahankan benteng pasukan juga sukar dipercayai hari ini.

“Beliau berada di ‘dunia’ yang berbeza sekarang dan mempamerkan prestasi yang luar biasa. Yang pasti, kami gembira kerana beliau menyarungi jersi Liverpool.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg