Liverpool lawan Spurs di Anfield, kededua masih kejar konsistensi

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Liverpool lawan Spurs di Anfield, kededua masih kejar konsistensi

Pasukan kendalian Arne Slot tidak boleh lakukan kesilapan; kempen terjejas dengan kecederaan pemain utama
Mar 15, 2026 | 5:30 AM

Liverpool lawan Spurs di Anfield, kededua masih kejar konsistensi

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Liverpool, Spurs, Liga Perdana Inggeris
Pengurus Liverpool, Arne Slot, berada di bawah tekanan untuk memastikan pasukannya dapat melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim depan. Untuk mencapai matlamat tersebut, pasukannya perlu menewaskan Spurs untuk kekal mengejar pasukan empat teratas Liga Perdana England (EPL). - Foto REUTERS

Sukar untuk meramalkan keputusan perlawanan antara Liverpool dengan Tottenham Hotspur kerana kededua pasukan tampil sangat tidak konsisten musim ini.

Prestasi turun naik membuatkan pertembungan di Anfield pada 16 Mac nanti mungkin bergantung kepada pasukan mana yang mampu mengelakkan kesilapan paling banyak pada hari perlawanan.

Pasukan kendalian Arne Slot mendapatinya sukar untuk mengekalkan rentak permainan yang baik dalam kempen ini.

Selepas 29 perlawanan liga, juara bertahan itu kini berada di tangga keenam dengan 48 mata.

Pasukan itu berada hanya tiga mata di belakang Aston Villa dan Manchester United yang masing-masing menghuni tempat keempat dan ketiga dalam perebutan tempat Liga Juara-Juara.

Untuk mengakhiri musim di kelompok lima teratas dijangka sudah mencukupi untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara menerusi slot tambahan berdasarkan koefisien Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa).

Namun, persaingan masih sengit dengan beberapa pasukan lain turut bersaing rapat untuk merebut tempat tersebut.

Liverpool sebelum ini seakan menemui rentak selepas mencatat kemenangan berturut-turut ke atas Sunderland dan West Ham.

Namun rentak itu tidak bertahan lama apabila mereka dikejutkan dengan kekalahan 1-2 kepada pasukan tercorot, Wolverhampton Wanderers pada 4 Mac, satu lagi contoh jelas ketidakstabilan prestasi mereka musim ini.

Walaupun masih berada dalam kedudukan yang baik untuk layak ke Liga Juara-Juara, Liverpool tidak lagi mempunyai banyak ruang untuk melakukan kesilapan memandangkan banyak pasukan berada dekat di belakang mereka dalam carta liga.

Kempen Liverpool turut terjejas dengan masalah kecederaan beberapa pemain utama.

Wataru Endo dijangka berehat panjang selepas mengalami kecederaan kaki ketika perlawanan menentang Sunderland.

Conor Bradley pula terpaksa melupakan baki musim ini selepas menjalani pembedahan lutut.

Stefan Bajcetic masih belum beraksi musim ini kerana kecederaan berulang.

Alexander Isak pula masih dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan buku lali pada Disember, dengan kepulangannya dijangka hanya selepas tempoh rehat antarabangsa Mac.

Jika prestasi Liverpool dianggap tidak menentu, keadaan Spurs pula jauh lebih membimbangkan.

Spurs kini melalui rentetan 11 perlawanan tanpa kemenangan dalam EPL, dengan kekalahan terbaru 1-3 kepada Crystal Palace pada 6 Mac.

Siri keputusan buruk itu menyaksikan mereka jatuh ke tangga ke-16 dengan 29 mata – hanya satu mata di atas zon penyingkiran.

Nottingham Forest dan West Ham United, yang berada di bawah Spurs, kededuanya mempunyai 28 mata.

Spurs juga telah membuat perubahan besar awal 2026 apabila berpisah dengan ketua jurulatih Thomas Frank pada awal Februari sebelum melantik Igor Tudor sehingga akhir musim.

Namun perubahan tersebut masih belum mendatangkan kesan positif apabila tiga perlawanan pertama di bawah kendalian Tudor juga berakhir dengan kekalahan.

Masalah di bahagian pertahanan menjadi antara punca utama kemerosotan Spurs.

Pasukan itu telah dibolosi secara purata sebanyak dua gol dalam sembilan perlawanan liga berturut-turut, sekali gus menggambarkan betapa terdedahnya benteng pertahanan mereka musim ini.

Masalah kecederaan turut memburukkan lagi keadaan.

James Maddison dan Dejan Kulusevski masih diketepikan akibat kecederaan lutut, manakala Rodrigo Bentancur, Destiny Udogie, Lucas Bergvall, Ben Davies dan Mohammed Kudus juga tidak dapat diturunkan.

Namun terdapat sedikit berita positif apabila Cristian Romero berkemungkinan kembali beraksi, sementara Djed Spence juga mungkin sudah cukup cergas untuk diturunkan semula.

Pemain tengah Liverpool, Dominik Szoboszlai (dua dari kiri) merupakan antara ancaman serangan Liverpool musim ini.
Pemain tengah Liverpool, Dominik Szoboszlai (dua dari kiri) merupakan antara ancaman serangan Liverpool musim ini. - Foto REUTERS

Bagi Liverpool, ancaman utama mereka datang daripada pemain tengah mereka, Dominik Szoboszlai.

Pemain berusia 25 tahun itu merupakan antara penyumbang gol terpenting dalam pasukan dengan 10 gol, dan lapan bantuan gol dalam semua perlawanan.

Beliau akan menghantui Spurs dengan tenaganya, terutamanya dengan benteng pertahanan Spurs kelihatan lemah dan tidak terurus.

Namun ancaman utamanya adalah tendangan percumanya, dengan beliau telah menjaringkan empat gol melalui tendangan percuma sejauh musim ini.

Pemain pertahanan Spurs, Cristian Romero (kiri), merupakan antara harapan bagi Spurs untuk mengelak kekalahan di Anfield apabila mereka menentang Liverpool pada 16 Mac.
Pemain pertahanan Spurs, Cristian Romero (kiri), merupakan antara harapan bagi Spurs untuk mengelak kekalahan di Anfield apabila mereka menentang Liverpool pada 16 Mac. - Foto AFP

Agak sukar untuk memilih pemain harapan bagi Spurs.

Namun, penyokong terpaksa bergantung kepada tonggak pertahanan mereka Christian Romero untuk cuba menghalang ancaman serangan Liverpool.

Ini kerana satu lagi pemain pertahanan utama mereka, Micky van de Ven, digantung perlawanan selepas menerima kad merah ketika menentang Palace.

Kemungkinan besar, Spurs perlu bertahan dan menantikan peluang untuk melancarkan serangan balas, ataupun bergantung kepada tendangan sudut dan tendangan percuma untuk cuba mendapatkan keputusan di Anfield nanti.

Ramalan wartawan:

Liverpool 2-0 Tottenham

“Liverpool sebelum ini seakan menemui rentak selepas mencatat kemenangan berturut-turut ke atas Sunderland dan West Ham. Namun rentak itu tidak bertahan lama apabila mereka dikejutkan dengan kekalahan 1-2 kepada pasukan tercorot, Wolverhampton Wanderers pada 4 Mac, satu lagi contoh jelas ketidakstabilan prestasi mereka musim ini. Walaupun masih berada dalam kedudukan yang baik untuk layak ke Liga Juara-Juara, Liverpool tidak lagi mempunyai banyak ruang untuk melakukan kesilapan memandangkan banyak pasukan berada dekat di belakang mereka dalam carta liga. Kempen Liverpool turut terjejas dengan masalah kecederaan beberapa pemain utama.”
Penulis.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg