Gol lewat Wolves hancurkan Liverpool di Molineux

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gol lewat Wolves hancurkan Liverpool di Molineux

Kelab corot, Wolves, catat dua kemenangan berturut-turut EPL, selepas hanya menang sekali dalam 32 perlawanan sebelumnya
Mar 4, 2026 | 3:28 PM

Gol lewat Wolves hancurkan Liverpool di Molineux

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
EPL, Liverpool, Wolves
Gol lewat Wolves jaringan pemain pertahanannya dari Brazil, Andre Trindade da Costa Neto, menyaksikan kelab corot itu menewaskan Liverpool di Stadium Molineux pada 3 Mac. - Foto AFP

LONDON: Jurulatih Liverpool, Arne Slot, memulakan minggu ini dengan mengakui bahawa kebanyakan perlawanan Liga Perdana England (EPL) kini tidak lagi seronok ditonton. 

Pandangannya itu pasti tidak berubah selepas pasukan pimpinannya tewas mengejut 1-2 kepada kelab corot EPL, Wolves.

Ketika jurulatih Wolves, Rob Edwards, berlari di tepi padang meraikan gol kemenangan pemain tengah, Andre Trindade da Costa Neto, pada minit ke-94, suasana di kem Liverpool amat berbeza. 

Penyokong pelawat pula mula meninggalkan Stadium Molineux sebelum wisel penamat, menggambarkan kekecewaan mereka.

Sekali lagi musim ini, ketika Liverpool dilihat sedang menunjukkan peningkatan, mereka dikejutkan dengan kekalahan menyakitkan. 

Dengan baki sembilan perlawanan, risiko terlepas melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan kini menjadi kebimbangan sebenar. 

Kesan kewangannya besar, dan Slot akur pasukannya tidak mampu gagal.

Dalam perlawanan itu, Liverpool gagal mencipta peluang dan dihukum akibat kelemahan sendiri. Mereka sekali lagi melepaskan gol pada masa kecederaan.

“Cerita lama yang sama. Jangkaan saya berubah kerana saya mahukan lebih daripada ini... ia satu lagi kemunduran dan keputusan ini tidak membantu,” kata Slot selepas perlawanan. 

“Kehilangan mata seperti ini membimbangkan kerana ini bukan kali pertama kami tercicir kepada pasukan di kedudukan sebegini.

“Tetapi kami bukan yang pertama tercicir di sini; minggu lalu Aston Villa, sebelumnya Arsenal. Mereka memang dalam prestasi baik.”

Musim ini berbeza buat Liverpool, yang dahulu terkenal dengan gol kemenangan lewat. Kini, mereka pula menjadi mangsa. 

Lima kekalahan liga mereka berpunca daripada gol dalam masa kecederaan, jumlah tertinggi yang dialami mana-mana pasukan dalam satu musim.

Kapten Virgil van Dijk mengakui kelemahan pasukan. 

“Kami terlalu perlahan, mudah dijangka dan cuai dalam penguasaan bola. Kami tidak memberi banyak peluang kepada lawan, tetapi jika bermain begitu, keputusan seperti ini boleh berlaku. Ia mengecewakan.”

Dalam lima hari, Stadium Molineux – stadium pasukan Wolves – menyaksikan dua kemenangan liga susuli musim yang mengecewakan. Dan kemenangan ini pastinya antara paling mendebarkan.

Wolves memang layak memperoleh tiga mata.

Pada kedudukan 1-1, mereka terus mengasak dan akhirnya berjaya, walaupun gol itu terkena sentuhan Joe Gomez, pemain pertahanan tengah Liverpool.

“Ini kelab bola sepak Liverpool, bila-bila masa anda menewaskan mereka, anda perlu nikmati saat itu,” kata Edwards. 

“Mereka kelab hebat dengan pengurus dan pemain bermutu. Ini malam cukup bermakna buat kami.”

Edwards turut bergurau bahawa beliau hampir mencederakan diri ketika berlari meraikan gol kemenangan itu.

“Apa yang kami cuba lakukan ialah memperbaiki diri dan membina rentak. Kami tahu kedudukan kami, tetapi anda dapat lihat tenaga di stadium ini. Kami yakin berada di landasan yang betul. Apa pun hingga tamat musim, kami akan terus berjuang,” katanya.

Kemenangan ke atas Villa dan Liverpool menjadikan Wolves pasukan di tangga corot pertama sejak West Brom pada 2017-18 yang menewaskan dua pasukan lima tangga teratas dalam satu musim, serta yang pertama melakukannya secara berturut-turut.

Namun hakikatnya tetap sukar. 

Ketika Liverpool memburu tiket Liga Juara-Juara, Wolves pula berdepan tugas yang hampir mustahil kerana ketinggalan 11 mata daripada zon selamat dengan baki lapan perlawanan. 

Keputusan itu mungkin tidak mengubah nasib mereka dalam EPL, namun Rodrigo Gomes, pemain sayap kanan Wolves serta penjaring gol pertama dalam perlawanan tersebut, tetap positif.

“Kami tahu kedudukan kami sukar. Ia memang sukar, tetapi kami perlu terus yakin. Satu perlawanan demi satu perlawanan, bekerja setiap minggu dan kita akan lihat.”

Seorang penyokong Wolves ketika meninggalkan Molineux berkata: “Sukar dipercayai kami berada di kedudukan ini.”

Bagi pasukan dan penyokong yang melalui musim penuh cabaran, malam itu sukar dilupakan. 

Mereka berpeluang mengulanginya apabila Liverpool kembali ke Molineux dalam aksi Piala FA pula pada Jumaat. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg