Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Liverpool muncul juara, kini sah pasukan terbaik di England

Kemenangan besar 5-1 ke atas Spurs bolehkan ‘The Reds’ samai rekod 20 trofi EPL Manchester United
Apr 28, 2025 | 5:01 PM
Liverpool, EPL
Pemain Liverpool meraikan kemenangan Liga Perdana England (EPL) mereka yang ke-20. - Foto EPA-EFE

LIVERPOOL (England): Sah Liverpool kini merupakan kelab yang bukan sahaja lebih baik daripada Manchester United, malah pasukan terbaik di England.

Ini jelas selepas Liverpool dinobat juara Liga Perdana England (EPL) dengan berbaki empat perlawanan, selepas menang besar 5-1 ke atas Tottenham Hotspur pada 27 April di Anfield.

Walaupun ini kejuaraan EPL kedua Liverpool, ia merupakan kejuaraan liga utama England ke-20 secara keseluruhan mereka – memandangkan The Reds pernah muncul juara Divisyen Satu sebanyak 18 kali sebelum namanya ditukar kepada EPL – bagi membolehkan mereka menyamai rekod United.

Walaupun United masih boleh berbangga dengan rekod kejuaraan liga domestik mereka, Liverpool jelas lebih hebat di Eropah dengan enam kemenangan Liga Juara-Juara (dahulu dikenali sebagai Piala Eropah) berbanding United dengan tiga.

Inilah detik yang telah dinantikan oleh Liverpool selama 35 tahun.

Penyokong United sudah tidak lagi mempunyai alasan bahawa mereka kelab paling berjaya di England kerana Liverpool sudah menyamai rekod domestik mereka, dan lebih berjaya dari segi kejuaraan Eropah.

Suasana di Anfield meriah dengan penyokong meraikan pencapaian bersejarah ini dengan bersorak dan bernyanyi sambil memegang sepanduk yang berkata “Kelab Paling Berjaya di England”.

Penyokong Liverpool yang memenuhi stadium meraikan pasukan mereka mengangkat piala Liga Perdana England (EPL).
Penyokong Liverpool yang memenuhi stadium meraikan pasukan mereka mengangkat piala Liga Perdana England (EPL). - Foto EPA-EFE

Kali terakhir mereka dapat meraikan kejayaan semeriah ini ialah pada 28 April 1990, apabila bekas pemain dan pengurus Liverpool, Kenny Dalglish, membimbing Liverpool menewaskan Queens Park Rangers (QPR) untuk digelar juara Divisyen Satu.

Jurgen Klopp pernah membawa pulang kejuaraan EPL pada 2020, tetapi sambutannya tidak meriah kerana piala EPL musim itu diangkat di Anfield yang kosong akibat pandemik Covid-19.

Liverpool meraikan kejayaan EPL di stadium sendiri sekali lagi, kali ini di hadapan penyokong setia mereka.

Justeru, emosi yang meledak sebaik wisel penamat dibunyikan merupakan luahan perasaan yang dipendam dan membara sekian lama.

Jurulatih Arne Slot, yang tiba dari Feyenoord, berjaya mengekalkan prestasi hebat Liverpool serta membimbing mereka ke trofi Liga Perdana England (EPL).
Jurulatih Arne Slot, yang tiba dari Feyenoord, berjaya mengekalkan prestasi hebat Liverpool serta membimbing mereka ke trofi Liga Perdana England (EPL). - Foto EPA-EFE

Dan memain peranan besar adalah Arne Slot, jurulatih Belanda dari Feyenoord, yang membuat tugas menggantikan Klopp, yang dulu dianggap mustahil, kelihatan mudah.

Sudah 343 hari sejak Klopp mengucapkan selamat tinggal kepada Anfield, tetapi Liverpool berjaya kekalkan rentak kejayaan mereka.

“Untuk menggantikan Jurgen merupakan tugas besar, dan beliau melakukannya dengan caranya sendiri - memang beliau layak diberi pujian,” kata kapten Liverpool, Virgil van Dijk.

Suasana Anfield sebelum perlawanan menentang Spurs sudah cukup meriah.

Lautan merah memenuhi kawasan sekeliling stadium dan ribuan penyokong beratur panjang untuk menjadi antara yang terawal masuk untuk saksikan Liverpool mencatat sejarah.

Pemilik Liverpool, John W. Henry juga turut hadir - kunjungan yang jarang berlaku.

Permintaan tiket juga hangat, sehingga ia dikatakan dijual semahal £3,000 ($5,200) di pasaran gelap.

Abigail Rudkin, daripada Anfield Wrap, satu podcast yang berbincang tentang hal ehwal Liverpool, menyifatkan kegembiraan yang dirasa itu seperti kegembiraan yang dirasakan pada pagi Krismas.

Suasana di Anfield sungguh meriah selepas kemenangan Liga Perdana England (EPL) yang ke-20.
Suasana di Anfield sungguh meriah selepas kemenangan Liga Perdana England (EPL) yang ke-20. - Foto AFP

Kemenangan ini mungkin hanya sekadar satu detik di sepanjang perjalanan Liverpool menuju ke kemuncak EPL, tetapi prestasi dan keputusan yang diperoleh membuktikan bahawa mereka layak menjadi juara EPL.

Spurs yang membuka tirai perlawanan dengan jaringan Dominic Solanke pada minit ke-12.

Namun, Liverpool menyamakan kedudukan hanya empat minit kemudian, melalui jaringan Luis Diaz.

Dan dari detik itu mulalah penguasaan Liverpool ke atas Spurs, yang menyumbat masuk sebanyak lima jaringan dalam perlawanan itu.

Mohamed Salah sempat menyambut gol keempat Liverpool dengan mengambil telefon untuk berswafoto dengan berlatarbelakangkan penyokong mereka.

Slot memerhati dengan tenang dari tepi padang.

Beliau telah membawa pendekatan yang lebih tenang dan teliti berbanding dengan gaya bola sepak menarik era Klopp, tanpa mengurangkan ancaman pasukannya.

Slot bukan sekadar mewarisi skuad hebat, beliau juga menambah nilai kepada skuad tersebut melalui kehebatan taktikalnya.

Namun pada hari itu, beliau kelihatan lebih emosional – matanya hanya fokus kepada permainan, tidak mengendahkan laungan penyokong yang mahu tindak balas daripada beliau.

Beliau hanya memberi tindak balas selepas papan masa tambahan menunjukkan empat minit apabila beliau melambai mesra kepada keluarganya dan bertepuk tangan kepada penyokong.

Setelah wisel penamat dibunyikan, pemain-pemain Liverpool berlari ke arah penyokong dengan penuh semangat.

Slot menyarung jersi merah dan meraikan pencapaian itu mengikut gaya Klopp, sesuatu yang dinantikan oleh penyokong Liverpool sejak lapan bulan lalu.

Pemain-pemain dipanggil ke hadapan untuk berinteraksi serta beri penghargaan kepada penyokong.

Trent Alexander-Arnold juga dipanggil, walaupun masa depannya di Liverpool belum ditentukan dan beliau dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid.

Namun, penyokong tetap menyambutnya dengan ghairah dan mesra, menikmati pencapaian itu tanpa menghiraukan perkara itu.

Slot mengulas perasaannya kepada pihak media.

“Apa lagi yang boleh saya katakan? Ia sesuatu yang luar biasa. Mulai hari ini, saya kini sebahagian daripada sejarah kelab hebat ini,” kata beliau. – Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg