Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masa depan Alexander- Arnold jadi tanda tanya

Kekal di Liverpool atau sertai Real Madrid? Peminat tunggu penuh debar
Apr 21, 2025 | 1:47 PM
Pemain Liverpool, Trent Alexander-Arnold (tidak berbaju), menjaringkan gol tunggal Liverpool ketika menentang Leicester City pada 20 April di Stadium King Power.
Pemain Liverpool, Trent Alexander-Arnold (tidak berbaju), menjaringkan gol tunggal Liverpool ketika menentang Leicester City pada 20 April di Stadium King Power. - Foto REUTERS

LEICESTER: Sambutan jaringan Trent Alexander-Arnold dengan jersi merahnya digantung pada bendera penjuru di Stadium King Power akan kekal sebagai imej ikonik dalam perjalanan Liverpool meraih kejuaraan Liga Perdana England (EPL).

Namun, di sebalik kegembiraan luar biasa menjaringkan gol pada minit akhir menewaskan Leicester City, yang sudah pasti tersingkir daripada EPL, persoalan besar mengenai masa depannya bersama Liverpool masih belum terjawab.

Adakah Alexander-Arnold akan meninggalkan Liverpool demi mengejar kegemilangan baru bersama Real Madrid di Sepanyol?

Atau hubungan mesranya dengan penyokong Liverpool akan menjadi penyebab beliau kekal bersama pasukan yang menggelarnya “Scouser in our team”?

Hanya Alexander-Arnold, Liverpool dan Real Madrid yang tahu jawapannya.

Tetapi buat masa ini, penyokong The Reds pasti cukup puas hati dapat meraikan satu lagi detik istimewa dalam kerjaya hebatnya bersama Liverpool.

Spekulasi mengenai masa depannya semakin meningkat sejak Mohamed Salah dan Virgil van Dijk menandatangani kontrak baru.

Namun, selepas membuat penampilan ke-350 bersama Liverpool, pemain berusia 26 tahun itu tidak memberikan sebarang petunjuk.

“Saya sudah katakan sepanjang musim bahawa saya tidak akan berbicara tentang situasi saya. Saya tidak akan bincang perinciannya.

“Tetapi hari seperti ini memang istimewa. Menjaringkan gol, bermain dan menang perlawanan serta gelaran – ia semua peristiwa istimewa buat saya dan saya gembira dapat menyumbang,” kata Alexander-Arnold.

Pengurus Liverpool, Arne Slot, turut berhati-hati ketika ditanya tentang masa depan bintangnya.

“Jawapan terbaik saya adalah untuk bercakap tentang jaringannya. Segala perhatian harus diberikan kepada gol itu dan segala jasa beliau selama bertahun bersama kelab ini.

“Beliau luar biasa apabila menetapkan fikirannya. Hari ini beliau menunjukkan bahawa dalam detik penting, beliau mampu memberikan lebih – dan itu hanya dimiliki pemain-pemain hebat,” kata Slot.

Aura ketidaktentuan itu jelas terasa ketika Alexander-Arnold menjaringkan gol pada minit ke-76 untuk memberi kemenangan 1-0 kepada Liverpool, sekali gus menyingkirkan Leicester daripada EPL.

Liverpool bermain seperti pasukan juara, manakala Leicester bermain seperti pasukan yang menerima nasib tersingkir. Bahagian terakhir skrip ditulis apabila Alexander-Arnold masuk sebagai pemain gantian selepas berehat panjang sejak Mac akibat kecederaan buku lali.

Lima minit selepas dimasukkan, beliau mengakhiri tekanan akibat permainan berdisiplin Leicester.

Adegan selepas itu menjadi harapan buat penyokong Liverpool yang masih mahu Alexander-Arnold menolak tawaran Real.

Di Sepanyol, terdapat keyakinan tinggi bahawa Alexander-Arnold akan menyertai Real musim depan – namun meninggalkan Liverpool bukan perkara mudah buat pemain yang dibesarkan di kawasan West Derby itu.

Beliau telah dikritik kerana masih belum menyatakan komitmennya, terutama selepas Salah dan Van Dijk menandatangani kontrak baru.

Namun, ketika perlawanan itu, tiada kritikan yang dilihat. Yang ada hanyalah perasaan perpaduan hebat antara penyokong dengan anak tempatan yang telah memenangi segalanya bersama Liverpool.

Gol itu adalah jaringan ke-23 sepanjang kerjaya profesionalnya – dan yang pertama dengan kaki kiri.

Alexander-Arnold meraikannya dengan menanggalkan jersi, berlari ke bendera penjuru, menjerit kegembiraan dan dipeluk rakan sepasukan. Beliau kemudian menggantung jersinya pada bendera penjuru, seperti seorang yang telah menakluki puncak peribadi.

Kemenangan itu meletakkan Liverpool di persada EPL, dengan sambutan kejuaraan dijangka berlangsung di Anfield menentang Tottenham Hotspur minggu depan – apabila tiga mata akan melengkapkan kejuaraan ke-20 mereka.

Sambutan mungkin bermula lebih awal bergantung pada keputusan perlawanan Arsenal menentang Crystal Palace pada 24 April.

Selepas wisel penamat, pemain Liverpool menolak Alexander-Arnold ke arah penyokong mereka untuk menerima sorakan.

Adakah itu akan mengubah pendiriannya? Adakah laungan penyokong mampu mengetuk emosinya atau adakah beliau telah membuat keputusan untuk menyertai Real?

Buat masa ini, keutamaan Liverpool adalah kejuaraan liga yang kian hampir.

“Berangan bukan perkara susah, tetapi kita juga jelas bahawa fokus kami ialah bermain. Pemain layak mendapat hari rehat dan diharapkan mereka menikmatinya sebelum kembali fokus kepada Tottenham,” ujar Slot.

Bagi Alexander-Arnold, masa depannya masih belum diketahui – sekurang-kurangnya secara rasmi – tetapi jika ini sebahagian daripada ucapan selamat tinggalnya bersama Liverpool, ia satu perpisahan yang sangat istimewa. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg