Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Liverpool perlu kerja keras untuk atasi Barnsley

Jan 13, 2026 | 1:50 PM
Liverpool, menang, Barnsley
Pemain Liverpool, Florian Wirtz (kiri) dan Hugo Ekitike (kanan), meraikan gol ketiga dalam kemenangan 4-1 ke atas Barnsley dalam perlawanan pusingan ketiga Piala FA pada 13 Januari di Anfield. - Foto REUTERS

LIVERPOOL: Liverpool berjaya menundukkan Barnsley 4-1 dalam perlawanan pusingan ketiga Piala FA di Anfield pada 13 Januari.

Kemenangan ke atas pasukan pelawat itu membawa Liverpool ke pusingan keempat, dengan mereka akan bertemu Brighton.

Anak didik pengurus Liverpool, Arne Slot, menjaringkan dua gol pada babak separuh masa pertama, hasil rembatan hebat oleh Dominik Szoboszlai dan Jeremie Frimpong.

Namun, kelalaian Szoboszlai memberi lawan daripada Liga Satu harapan untuk bangkit.

Pada minit ke-40, hantaran belakang yang rapuh oleh Szoboszlai dalam kotak penalti Liverpool dipintas oleh Adam Phillips, untuk menjaringkan gol yang mudah.

Gol itu merapatkan jurang kepada 1-2, sekali gus menyemarakkan sekitar 6,000 peminat Barnsley yang mengunjung stadium Liverpool.

Kemudian, permintaan Barnsley untuk diberikan tendangan penalti berikutan kekasaran Szoboszlai ke atas Reyes Cleary pada separuh masa kedua ditolak.

Pengurus Barnsley, Conor Hourihane, tampil berang dengan keputusan yang tidak menyebelahi pasukannya itu.

Semakan VAR (video pembantu pengadil) tidak dilaksanakan kerana teknologi itu tidak digunakan pada pusingan ketiga Piala FA.

Liverpool akhirnya berjaya menguasai perlawanan apabila Hugo Ekitike and Florian Wirtz menggandakan kedudukan setelah dibawa masuk sebagai pemain ganti.

Pada minit ke-84, backheel cerdik oleh Ekitike diikuti dengan rembatan hebat oleh Wirtz menembusi sudut gawang.

Kededua pemain bergabung sekali lagi pada minit ke-94, apabila hantaran lintang Wirtz disambar Ekitike untuk menjaringkan gol yang mudah.

Slot mengikuti rancangan untuk perlawanan tersebut dan tidak membuat perubahan besar.

Pemain muda, Rio Ngumoha, dan pemain tengah, Federico Chiesa, disenaraikan dalam kesebelasan utama, manakala Ekitike hanya dibawa masuk sebagai pemain ganti pada separuh masa kedua.

Walaupun Barnsley berada pada 57 kedudukan di bawah Liverpool, mereka tetap menguji benteng tuan rumah.

Beberapa percubaan, termasuk tandukan Davis Keillor-Dunn pada minit pertama perlawanan, hampir menembusi gawang Liverpool.

Namun, gol jarak jauh oleh Szoboszlai pada minit kesembilan melepasi Murphy Cooper, sekali gus memberi keyakinan kepada tuan rumah.

Gol kedua pada minit ke-36, hasil gerakan Frimpong, menggandakan kedudukan Liverpool.

Kemenangan untuk tuan rumah kelihatan terjamin, namun, keselesaan itu berubah dengan drastik akibat kerapuhan Szoboszlai yang membantu Barnsley menjaringkan gol pada minit ke-40.

Kehandalan tuan rumah diuji bagi sebahagian besar perlawanan, dan Liverpool hanya menguasai perlawanan selepas Wirtz memperkukuhkan kedudukan pada minit ke-84.

Slot perlu membawa masuk pemain pertahanan, Ibrahima Konate, dan lebih banyak pemain penyerang pada minit ke-60 demi meningkatkan tekanan ke atas lawan mereka.

Ternyata, kelebihan Liverpool lebih menyerlah melalui tiga gol pertama hasil kecemerlangan individu.

Keserasian antara Wirtz dan Ekitike untuk menghasilkan gol yang hebat amat memberangsangkan bagi peminat Liverpool.

Sementara itu, Barnsley boleh meraikan usaha mereka yang berjaya mencabar tuan rumah – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg