JEDDAH (Arab Saudi): Barcelona menewaskan Real Madrid dalam saingan lima gol yang sengit, lantas menjuarai perlawanan akhir Piala Super Sepanyol buat dua kali berturut-turut di Jeddah, Arab Saudi.
Ini menandakan kejayaan yang ke-16 dalam kejohanan ini bagi pasukan kendalian Hansi Flick, dengan Barcelona turut menewaskan pasukan Los Blancos itu pada perlawanan akhir 2025.
Sepakan lambung penyerang Brazil, Raphinha, pada minit ke-73 menjadi gol kemenangan selepas penamat separuh masa yang pertama yang begitu riuh.
Tiga gol pantas dalam masa kecederaan separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan terikat seri selepas Raphinha membuka jaringan dengan rembatan deras ke penjuru bawah gawang pada minit ke-36.
Vinicius Jr menyamakan kedudukan pada minit kedua dalam tiga minit masa tambahan, dengan melorongkan bola di celah kaki Jules Kounde dan membuat larian hebat sebelum menyudahkan bola ke hujung penjuru gawang.
Ini merupakan gol pertamanya bagi Real dalam 17 perlawanan sejak 4 Oktober 2025.
Robert Lewandowski kemudian menjaringkan gol apabila bola terkena tiang sebelum masuk ke dalam gawang. Ini memastikan Barcelona mendahului perlawanan pada minit ke-49.
Namun, Gonzalo Garcia menyamakan kedudukan tiga minit kemudian selepas kekecohan di dalam kotak penalti, dengan tandukan Dean Huijsen terkena palang. Pengurus Barca, Flick membantah kerana wisel separuh masa sepatutnya sudah dibunyikan.
Frenkie De Jong dilayangkan kad merah pada masa kecederaan selepas terjahan ke atas Kylian Mbappe, yang masuk sebagai pemain gantian selepas pulih daripada kecederaan lutut.
Peluang lewat bagi kedua-dua pasukan menjadikan penamat perlawanan yang mendebarkan, dengan Marcus Rashford melepaskan rembatan tersasar ketika berada dalam posisi terbuka.
Alvaro Carreras dan Raul Asencio kedua-duanya pula merembat tepat ke arah penjaga gawang, Joan Garcia.
Namun, Barca bertahan untuk memastikan kejuaraan kedua berturut-turut buat kali pertama sejak 2011.
Barcelona kini telah mencatat 10 perlawanan secara berturut-turut, kali terakhir tewas pada November apabila mereka kalah kepada Chelsea dalam Liga Juara-Juara.
Mereka juga tidak pernah kalah dengan pasukan lawan Sepanyol sejak 26 Oktober apabila Real menewaskan mereka dalam El Clasico di Bernabeu.
Kemenangan Piala Super Sepanyol ini memberikan mereka piala pertama musim ini, yang berpotensi menjadi musim gemilang buat pasukan Flick.
Mereka juga mendahului tangga La Liga dengan empat mata melebihi Real.
Ini juga merupakan Piala Super Clasico yang keempat berturut-turut, ketiga-tiga kemenangan Barca di bawah Flick semasa menentang Real – dua daripadanya adalah Piala Super dan Copa del Rey.
Pengurus asal German, Flick, sendiri sudah memenangi kesemua lapan perlawanan akhir yang beliau terlibat, termasuk lima bersama Bayern Munich.
Bagi Los Blancos, ini merupakan musim yang tidak menentu, dengan hanya mencatat empat kemenangan dalam enam perlawanan terakhir La Liga.
Kegoyahan dalam liga dan di Eropah gagal menepati jangkaan tinggi kelab dan penyokong, menimbulkan persoalan tentang masa depan Xabi Alonso di Madrid.
Tekanan ke atas jurulatih Sepanyol itu kelihatan reda dengan lima kemenangan berturut-turut dalam semua perlawanan, tetapi keputusan ini berkemungkinan menyebabkan persoalan itu timbul kembali.
Piala Super Sepanyol empat pasukan ini telah diadakan di Saudi sejak 2020 dengan Persekutuan Bola Sepak Sepanyol telah melanjutkan perjanjian untuk terus mengadakannya di negara itu hingga 2029 – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg