PARIS: Ia adalah masa terbaik. Berjaya menewaskan pemain nombor enam dunia China, Li Shifeng dalam pusingan 16 pemain terakhir di Sukan Olimpik, Loh Kean Yew yang berada di ranking ke-12 merasakan beliau mempunyai momentum.
Loh berasa tenang, santai dan yakin dapat menewaskan pemain nombor dua dunia Denmark, Viktor Axelsen, pada pusingan seterusnya, walaupun kalah lapan kali dalam 10 perlawanan menentang Axelsen.
Ia juga merupakan masa yang paling teruk.
Hanya 10 mata memasuki suku akhir mereka di Arena Porte de la Chapelle pada 2 Ogos, dengan ketinggalan 3-7, Loh mencederakan tangan kanannya apabila cuba mendapatkan bulu tangkis lawan.
Beberapa pembalut tebal dan pita menghentikan pendarahan tetapi ia juga menyekat permainannya kerana beliau kalah dalam permainan pertama dengan terlalu mudah.
Dalam set kedua, perlawanan di tahap 8-8 apabila beliau memerlukan masa rawatan lagi.
Selepas kegenjotan itu, Axelsen terus mara dan menamatkan set itu dengan kemenangan.
Selepas tewas 21-9, 21-17, pemain berusia 27 tahun itu berkata: “Saya tidak dapat menggenggam raket saya kerana ada sesuatu yang menghalang dan ia menjadi melekit.
“Saya hanya cuba menyesuaikan diri dengan genggaman itu. Saya sudah terbiasa dengannya, kemudian mereka terpaksa membalut semula dan ia berbeza sekali lagi.”
Legasi penting bagi Loh dan beliau menyertai Ronald Susilo (perseorangan lelaki, Athens 2004) dan Jiang Yanmei dan Li Yujia (beregu campuran, Beijing 2008) sebagai satu-satunya pemain badminton Singapura yang berjaya mara ke peringkat lapan pemain terakhir.
“Ya, ia menyedihkan kerana ini Sukan Olimpik,” katanya.
“Anda membuat persiapan selama tiga tahun untuk saat ini. Terdapat banyak pasang surut dalam tempoh ini dan ia mengenai capai kemuncak pada masa yang betul, di tempat yang betul, menentang lawan yang betul. Perjalanan itu sangat istimewa.
“Saya berpuas hati, tetapi pada masa yang sama, tidak. Saya gembira saya telah memberikan segala-galanya dan sejauh mana saya mencapainya, tetapi ia juga menyedihkan kerana saya tidak dapat pergi lebih jauh daripada ini.
“Saya sedih terutamanya dengan perlawanan pertama yang saya tidak dapat beraksi dengan baik. Saya berharap dapat membuat persembahan yang lebih baik,” tambah beliau.
Loh berkongsi bahawa beliau telah merasakan kegelisahan dalam diri rakan baiknya, Axelsen.
Ini disahkan oleh bapa lelaki Denmark itu yang memberitahu The Straits Times bahawa “beliau benar-benar mahukan kemenangan ini”.
Tetapi pemain berusia 30 tahun itu berjaya dalam situasi sebegitu, hampir tidak melakukan sebarang kesilapan dalam perlawanan pertama apabila beliau menggunakan ketinggian tubuhnya 1.94 meter dengan baik, untuk membalas serangan lawannya.
Loh bermati-matian dalam permainan kedua dan berjaya mendapat lima mata berturut-turut, untuk menjadikan kedudukan 14-14, namun kemudian kehilangan empat mata berturut-turut dan kalah dalam set itu.
Jurulatih perseorangan negara, Kelvin Ho merasakan bahawa walaupun Loh secara amnya beraksi dengan baik di Sukan Olimpik ini, namun ia juga suku akhir bak “rollercoaster” di mana beliau mempamerkan detik-detik kecemerlangan tetapi kerap kehilangan mata dengan mudah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg