Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Shanti gagal ke separuh akhir

Aug 2, 2024 | 7:11 PM
Ratu pecut Singapura, Shanti Pereira (paling kiri), meraih tempat ketujuh daripada sembilan pesaing dalam Saringan 7 pusingan pertama acara 100 meter lari pecut wanita di Sukan Olimpik Paris pada 2 Ogos.
Ratu pecut Singapura, Shanti Pereira (paling kiri), meraih tempat ketujuh daripada sembilan pesaing dalam Saringan 7 pusingan pertama acara 100 meter lari pecut wanita di Sukan Olimpik Paris pada 2 Ogos. - Foto ST

Ratu pecut Singapura, Shanti Pereira, meraih tempat ketujuh daripada sembilan pesaing dalam saringan pusingan pertama acara 100 meter lari pecut wanita di Sukan Olimpik Paris pada 2 Ogos. 

Di Stade De France, atlet berusia 27 tahun itu mencatat masa 11.63 saat dalam perlumbaan Saringan 7 sekali gus terlepas ke separuh akhir. 

Perlumbaan itu dimenangi pelari Gambia, Gina Mariam Bass Bittaye (11.01 saat), diikuti Mujinga Kambundji dari Switzerland (11.05 saat) dan Delphine Nkansa dari Belgium (11.20 saat).

Secara keseluruhan, Pereira, pelari nombor 61 dunia, menduduki tempat ke-55 daripada 72 pesaing bagi pusingan itu.

Pereira memegang rekod nasional bagi acara itu, 11.20 saat. 

Hanya 27 atlet – tiga pelari terpantas dalam setiap pusingan saringan dan tiga pelari terpantas seterusnya – layak ke separuh akhir, yang berlangsung pada 3 Ogos. Terdapat lapan pusingan saringan yang dipertandingkan.

Pereira akan kembali bertanding dalam pusingan pertama acara 200 meter larian pecut wanita pada 4 Ogos.

Acara 200 meter larian pecut itu adalah acara paling cemerlangnya. Beliau meraih pingat emas bagi acara itu di Sukan Asia Hangzhou dan Kejohanan Asia di Bangkok pada 2023.

Perenang Singapura, Gan Ching Hwee, pula memecah rekod nasional keduanya di Sukan Olimpik Paris pada 2 Ogos, ketika mencatat masa 8 minit 32.37 saat dalam acara gaya bebas 800 meter wanita untuk memecahkan rekod sebelumnya, 8:34.01, semasa Kejohanan Renang Kebangsaan Singapura pada Jun.

Di Arena Paris La Defense, perenang berusia 21 tahun itu menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh dalam Saringan 1 dan ke-11 secara keseluruhan dalam pertandingan yang menampilkan 16 perenang. 

Hanya lapan perenang terpantas layak ke final. Tiga hari sebelumnya, Gan mencatat masa 16 minit 10.13 saat untuk menduduki tempat kesembilan dalam acara gaya bebas 1,500 meter wanita.

Beliau seterusnya akan bersaing dalam pusingan saringan acara 4x100 meter rampaian berganti-ganti wanita bersama rakan sepasukan, Levenia Sim, Letitia Sim dan Quah Jing Wen, pada 3 Ogos.

Pendayung Singapura, Saiyidah Aisyah Mohamed Rafa’ee, pula menutup tirai kempennya di Sukan Olimpik 2024 dengan meraih tempat keempat daripada enam pesaing dalam final E acara scull tunggal wanita pada 2 Ogos.

Pendayung berusia 36 tahun itu mencatat masa 8 minit 03.29 saat dan menamatkan perlumbaan di Stadium Nautika Vaires-sur-Marne di belakang pendayung Algeria, Nihed Benchadli (7:54.25), pendayung Uganda, Kathleen Noble (7:56.10) dan pendayung Cuba, Yariulvis Cobas Garcia (7:57.99).

Secara keseluruhan, Aisyah mendapat kedudukan ke-28 daripada 32 pesaing.

Keputusan itu tidak berjaya mengatasi prestasinya di Rio 2016, iaitu penampilan sulungnya di Sukan Olimpik, dengan beliau mendapat tempat ke-23 daripada 32 pesaing.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg