Topik diikuti
Pergi ke BHkuLuka kekalahan M’sia masih segar, Singa tekad bangkit
Luka kekalahan M’sia masih segar, Singa tekad bangkit
Kekalahan memalukan 0-6 di tangan Malaysia dalam Piala Asean Figa terus menghantui skuad Singapura, dengan kapten Hariss Harun menyifatkan insiden itu sebagai ‘titik hitam’ dalam kempen mereka.
Beliau mengakui pasukan itu hilang ketenangan serta identiti permainan sebaik sahaja dibolosi gol awal.
“Kami agak terburu-buru kerana tahu kami perlu menang dan menjaringkan gol.
“Kami kehilangan identiti pasukan, iaitu untuk kekal tenang dan mengawal permainan sebelum cuba bangkit.
“Kami mula merasakan perlawanan semakin terlepas daripada genggaman dan melakukan perkara yang tidak mencerminkan diri kami sebagai sebuah pasukan,” katanya kepada Berita Harian (BH) semasa Hari Media di hotel Parkroyal Collection Marina Bay pada 11 November.
Kini, walaupun hampir dua bulan sudah berlalu, perit kekalahan pahit itu masih menggigit.
Bagi ketua jurulatih Gavin Lee, sekadar meratapi apa yang sudah berlaku tidak mencukupi - apa yang lebih penting sekarang ialah memperbaiki segala kelemahan yang terdedah dan mempamerkan daya tahan lebih kental di bawah tekanan.
Skuad Singa kini akan menguji sejauh mana pengajaran itu berjaya diterapkan apabila mereka berdepan Brazil dan Paraguay dalam cabaran Mizuno Blue Challenge.
Pertemuan dengan dua pasukan tahap Piala Dunia itu hadir pada waktu penting buat pasukan Singa, yang perlu membina semula keyakinan selepas kempen Piala Asean yang mengecewakan, selain mempersiapkan diri untuk tugasan antarabangsa seterusnya.
Hariss mengakui keputusan itu akan terus menjadi pengalaman pahit yang sukar dilupakan, namun menegaskan pemain perlu menerima tanggungjawab dan tidak mencari alasan atas apa yang berlaku.
“Kami bertanggungjawab atas persembahan dan keputusan itu.
“Pengalaman itu akan kekal bersama kami untuk masa yang lama, dan kami perlu menggunakannya sebagai pembakar semangat supaya perkara seperti itu tidak berulang,” katanya.
Beliau berkongsi bahawa apabila skuad kembali berkumpul bagi tempoh antarabangsa ini, isu kekalahan tersebut dibincangkan dengan panjang lebar, termasuk bagaimana setiap pemain boleh memperbaiki diri sebelum melihat kelemahan pasukan secara keseluruhan.
Lee juga mengakui kekalahan itu memberi kesan besar kepadanya.
Namun, jurulatih itu menegaskan bahawa beliau tidak mahu pasukan sekadar berbincang mengenai kekalahan tersebut tanpa mengambil langkah untuk memperbaiki keadaan.
Bagi Lee, persoalan yang perlu dijawab oleh pasukan ialah bagaimana mereka akan bertindak apabila berdepan detik sukar, sesuatu yang pasti akan berlaku dalam perlawanan menentang lawan lebih kuat.
“Dalam saat-saat sukar itu, siapakah kita? Apakah identiti kita dan apakah yang boleh kita jadikan pegangan?” katanya.
Justeru, perlawanan menentang Brazil dan Paraguay bukan sekadar peluang untuk berdepan nama besar bola sepak dunia, tetapi juga ujian untuk melihat sama ada Singa mampu mengekalkan daya saing apabila diasak lawan.
Lee berkata kedua-dua perlawanan itu pada asalnya dirancang sebagai sebahagian daripada persiapan terakhir menuju Piala Asia, dengan pasukan dijadualkan bertemu dua lawan yang mempunyai pengalaman beraksi di Piala Dunia.
Beliau mahu pemain mendapat gambaran awal tentang tahap permainan yang bakal dihadapi supaya mereka tidak berdepan kejutan apabila tiba di kejohanan tersebut.
Walaupun Piala Asia kini ditangguhkan selama 11 bulan, Lee percaya perlawanan menentang Brazil dan Paraguay tetap mempunyai nilai penting dalam pembangunan skuad.
“Kami mempunyai 11 bulan lagi, tetapi persoalannya ialah apa yang akan kami lakukan dengan 11 bulan itu,” katanya.
Tempoh tambahan itu juga membuka peluang kepada lebih ramai pemain untuk mendapatkan minit permainan bersama kelab masing-masing, meningkatkan prestasi dan membuktikan bahawa mereka layak dipilih ke skuad Piala Asia.
Walaupun pemain akan berkongsi padang dengan bintang-bintang bola sepak seperti Vinicius Junior, pemain sayap gergasi Real Madrid, Lee tekankan bahawa pemain perlu fokus 100 peratus di atas padang dan memberikan aksi terbaik.
Bagi Singa, cabaran sebenar adalah mereka perlu menunjukkan bahawa pengalaman pahit menentang Malaysia telah menjadikan pasukan lebih matang, lebih tenang dan lebih bersedia menghadapi tekanan.
Pasukan Singa akan berdepan Paraguay pada 13 November dan Brazil pada 17 November di Stadium Negara.