Topik diikuti
Pergi ke BHkuPiala Asia di Arab Saudi ditangguh hingga Dis 2027
AFC sahkan kejohanan ditunda akibat kebimbangan keselamatan di Arab Saudi; skuad Singa perlu tunggu lebih lama sebelum berpeluang aksi di pentas terbesar bola sepak Asia
Piala Asia di Arab Saudi ditangguh hingga Dis 2027
Kempen Piala Asia yang dinanti-nantikan skuad bola sepak Singapura ditangguhkan selepas Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan pada 3 November bahawa kejohanan 2027 itu ditunda ke Disember berikutan kebimbangan keselamatan di Arab Saudi.
Kejohanan itu kini dijadualkan berlangsung dari 23 Disember 2027 hingga 21 Januari 2028.
Kejohanan 24 pasukan itu pada asalnya dijadualkan berlangsung dari 5 Januari hingga 7 Februari di Jeddah, Riyadh dan Al Khobar.
Singapura layak secara bersejarah – kali pertama layak secara merit – selepas menewaskan Hong Kong 2-1 pada November 2025, menamatkan kempen kelayakan tanpa kalah dengan empat kemenangan dan dua keputusan seri di padang sendiri dan lawan menentang Hong Kong, India dan Bangladesh.
Di Piala Asia, skuad Singa diundi bersama kumpulan gergasi dari Australia, Iraq dan Tajikistan dalam Kumpulan D.
Penganjuran kejohanan itu diragui selepas Arab Saudi menjadi sasaran serangan berterusan kumpulan Houthi dari Yaman yang disokong Iran, susulan peningkatan konflik di Timur Tengah.
Kumpulan Houthi melancarkan serangan balas terhadap sokongan Arab Saudi kepada tentera pemerintah Yaman dalam perang saudara di negara itu yang tercetus semula pada September akibat konfrontasi Amerika Syarikat-Iran di rantau Teluk, dengan menyasarkan lapangan terbang, pelabuhan dan kemudahan minyak menggunakan peluru berpandu balistik serta dron.
Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid dilaporkan berulang kali diserang, termasuk pada 10 Oktober yang mengorbankan sekurang-kurangnya 13 jiwa.
Tiga perlawanan liga bola sepak Arab Saudi, termasuk membabitkan kelab Al Nassr yang diwakili Cristiano Ronaldo, ditunda pada Oktober.
Lima daripada lapan lokasi pertandingan Piala Asia terletak di Riyadh, yang dijadualkan menganjurkan 31 perlawanan termasuk perlawanan akhir.
Singapura pada asalnya dijadualkan membuka kempen menentang Australia pada 9 Januari, diikuti menentang Tajikistan pada 14 Januari di Riyadh, dan perlawanan terakhir kumpulan menentang Iraq pada 19 Januari.
Dua pasukan teratas setiap kumpulan dan empat pasukan tempat ketiga terbaik berpeluang mara ke peringkat kalah mati.
Serangan itu turut mengganggu penerbangan Singapore Airlines (SIA) yang menangguhkan perkhidmatan ke Riyadh hingga 28 Mac dan membatalkan penerbangan Singapura-Dubai hingga 28 Februari 2027.
Scoot turut melanjutkan pembatalan penerbangan Singapura-Jeddah hingga 28 Februari akibat keadaan politik sejagat.
Ketua jurulatih Singa, Gavin Lee, perlu merangka semula persiapan anak didiknya.
Singapura akan menentang Paraguay pada 13 November dan Brazil pada 17 November di Stadium Negara, The Kallang, sebagai persiapan kejohanan.
Menjelang Disember 2027, pemain veteran Hariss Harun, Shawal Anuar dan Safuwan Baharudin akan berusia 36 tahun, manakala Izwan Mahbud 37 tahun.
Dua pemain tengah kerakyatan Singapura, Kyoga Nakamura dan Song Ui-young, masing-masing akan berusia 31 dan 33 tahun.
Dengan keperluan membina pasukan lebih mantap untuk masa depan, Lee perlu memberi lebih tumpuan kepada usaha mencari dan membawa masuk pemain muda berbakat yang mampu menyuntik tenaga serta semangat juang baharu.
Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) perlu menyemak semula perancangan musim Liga Perdana Singapura (SPL) yang sedang berlangsung.
FAS sebelum ini tidak menjadualkan perlawanan SPL pada Disember 2026 dan Januari 2027 kerana Piala Asia.
Singa hanya pernah menyertai Piala Asia pada 1984 sebagai tuan rumah kejohanan 10 pasukan itu tanpa perlu melalui pusingan kelayakan.