LONDON: Pemain asal Argentina, Alexis Mac Allister, tidak seharusnya bermain di bahagian ‘midfield’ pertahanan, akur pengurus Liverpool Jurgen Klopp.
Namun, pemain yang menyarung jersi nombor 10 dan baru menyertai Liverpool pada musim ini, beraksi cemerlang walaupun dikerah ke posisi itu semasa ‘The Reds’ mencatat kemenangan 3-1 ke atas kelab Jerman, SV Darmstadt 98.
Pada musim lalu, susunan pemain dan strategi Klopp bagi bahagian tengah atau midfield Liverpool dikecam ramai tetapi kelihatannya ia telah diperbaiki untuk musim 2023/2024 ini.
Bekas pemain Brighton & Hove Albion itu dan pemain asal Hungary, Dominik Szoboszlai, tiba di Anfield musim ini sedang para pemain lama Liverpool seperti Jordan Henderson, Fabinho, Naby Keita, James Milner dan Alex Oxlade-Chamberlain melangkah pergi.
Sedang Mac Allister, 25 tahun, dan Szoboszlai, 23 tahun, mampu menawarkan suatu yang baru dan segar untuk Liverpool, kedua-dua mereka bagaimanapun tidak dikenali sebagai pemain ‘midfield’ pertahanan.
Mac Allister, sebelum ini tampil dalam pasukan Argentina yang menjulang Piala Dunia 2022 di Qatar.
Szoboszlai pula merupakan kapten pasukan Hungary dan bermain untuk kelab RB Leipzig sebelum berpindah ke Liverpool.
Menurut Klopp: “Kami perlu mencubanya dan menguji mereka dalam beberapa perkara. Ya, dalam formasi yang kompak, Alexis mampu bermain dengan baik sekali di bahagian tersebut.
“Beliau telah membuktikan yang dirinya seorang pemain bola sepak yang handal dan betapa beliau memahami permainan dengan baik.” – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg