PARIS: Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, berkata pada Rabu beliau akan mendesak Kylian Mbappe supaya kekal di Paris St-Germain (PSG).
Ditanya seorang peminat PSG di luar pameran VivaTech di Paris, Encik Macron berkata yang beliau tidak tahu-menahu tentang masa depan Mbappe.
“Tapi saya akan berusaha agar “kapten Perancis itu kekal,” kata Encik Macron yang meneruskan perbualannya itu dengan tenang.
Masa depan Mbappe di PSG masih disangsikan selepas penyerang itu memberitahu AFP yang beliau tidak pernah membincangkan tentang langkah melanjutkan kontraknya dengan kelab itu selepas tahun depan.
Mbappe dan delegasinya berkata demikian sehari selepas beliau menghantar surat kepada kelab itu dengan mengesahkan yang beliau tidak mahu kekal bersama pasukan juara Perancis itu sehingga 2025.
Ini secara langsung menimbulkan spekulasi tentang masa depan pemain berusia 24 tahun itu, yang dianggap sebagai salah seorang penyerang terhebat di dunia.
Sebelum ini seorang lagi pemain PSG, Lionel Messi, telah pun menarik diri daripada kelab itu dan kini bermain di Liga Bola Sepak Utama (MSL) di Amerika.
Sekiranya Encik Macron berbual dengan Mbappe, ini bukan kali pertama kedua-dua pihak membincangkan tentang masa depan pemain itu di PSG.
Pada 2022, Mbappe mendedahkan beliau berbincang dengan Encik Macron tentang kemungkinan berpindah ke Real Madrid, dengan menyatakan yang beliau menghargai nasihat berguna Presiden Perancis itu, yang ingin beliau terus kekal di PSG. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg