Topik diikuti
Pergi ke BHkuMaddison kembali bersinar, bantu Spurs raih kemenangan pertama musim ini
Spurs akhirnya jaya keluar daripada kedudukan tercorot liga
Maddison kembali bersinar, bantu Spurs raih kemenangan pertama musim ini
LONDON: Pengurus kelab Tottenham Hotspur, Roberto de Zerbi, telah menggunakan segala cara yang ada untuk mencari semula rentak yang hilang dalam pasukan yang sedang menghadapi pelbagai cabaran.
Daripada bertindak seperti ahli psikologi amatur sehinggalah menganjurkan makan malam untuk mengeratkan hubungan sesama pemain, sebelum membawa mereka berehat di bawah sinaran matahari di Marbella, Sepanyol.
Jawapannya, sekurang-kurangnya Spurs akhirnya berjaya keluar daripada kedudukan tercorot liga selepas meraih kemenangan pertama mereka dalam Liga Perdana England (EPL) musim ini menentang Coventry City.
Ini sedang James Maddison membuat penampilan sulung dalam kesebelasan utama dalam tempoh 18 bulan.
Beliau terlepas sebahagian besar musim lalu selepas mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) ketika pramusim, sebelum mengalami keretakan tulang bahu dalam kekalahan pada aksi pembukaan musim menentang Brentford.
Pemain berusia 29 tahun itu akhirnya kembali ke dalam kesebelasan utama Spurs untuk menentang Coventry, dan memberikan kesan luar biasa untuk membantu pasukannya meraih kemenangan 3-1, yang diharapkan De Zerbi mampu menjadi titik permulaan kebangkitan mereka pada musim ini.
Maddison membuktikan nilainya pada minit ke-14 dengan mempamerkan aksi yang selama ini dirindui Spurs, menerusi rembatan kaki kanan hebatnya dari jarak jauh.
Beliau menyambut hantaran Mohammed Kudus dengan baik sebelum melepaskan rembatan deras yang menewaskan penjaga gol Coventry City, Carl Rushworth.
Gol itu memberikan kelegaan yang amat bermakna buat Maddison.
Jaringan tersebut mencetuskan sorakan gembira daripada penyokong Spurs setiap kali ia ditayangkan berulang kali pada skrin besar stadium.
Kepentingan Maddison kepada Spurs dapat dilihat melalui rekod mereka yang hanya memenangi 12 daripada 57 perlawanan EPL sejak gol terakhirnya dalam liga utama – ketika mencatat kemenangan 1-0 ke atas Manchester United pada Februari 2025.
Sejak itu, purata mata yang dikutip mereka adalah kurang daripada satu mata bagi setiap perlawanan.
Sejak penampilan terakhirnya dalam kesebelasan utama, ketika menentang Liverpool pada 27 April 2025, Spurs hanya memenangi 11 daripada 49 perlawanan liga yang berlangsung sepanjang tempoh tersebut, selain mengalami 23 kekalahan.
Namun Spurs tidak boleh menganggap kemenangan terbaru ini sebagai satu kejayaan.
Hakikatnya, ini hanyalah kemenangan keenam mereka dalam 37 perlawanan liga di stadium sendiri sejak kebelakangan ini, dengan 10 keputusan seri dan 21 kekalahan.
Ia juga merupakan kemenangan liga keempat mereka sahaja sepanjang 2026, selepas mengharungi 27 perlawanan, mencatat 10 keputusan seri dan mengalami 13 kekalahan.
Mereka juga buat kali pertamanya menjaringkan tiga gol atau lebih dalam perlawanan liga di stadium sendiri sejak hari pembukaan musim lalu, ketika menewaskan Burnley 3-0 dalam perlawanan pertama Thomas Frank sebagai pengendali pasukan ketika itu.
Maddison menerima tepukan gemuruh ketika beliau digantikan oleh Conor Gallagher selepas 69 minit permainan.
Beliau menjadi pemain yang paling banyak menerima pujian selepas memainkan peranan utama dalam kemenangan yang sekian lama sukar dicapai itu.
Pendekatan positifnya ketika bermain sambil tersenyum memberikan suntikan semangat tersendiri selepas melalui rentetan keputusan yang begitu mengecewakan.
Beliau begitu bersemangat untuk mendapatkan bola, sentiasa mencari ruang dan mencipta peluang, sebelum akhirnya mula keletihan selepas waktu rehat.
“Saya cuma mahu bermain dengan baik dan menunjukkan kemampuan saya, serta membuktikan apa yang telah dirindui pasukan sepanjang 18 bulan lalu.
“Pengurus meminta saya bermain dan mahu menikmati persembahan saya dari tepi padang. Saya harap saya berjaya melakukannya, dan sudah tentu menjaringkan gol sentiasa sesuatu yang menggembirakan,” kata Maddison. – Agensi berita.