LONDON: Lagu lama, Glory, Glory, bergema di dalam stadium Tottenham Hotspur, setelah pasukan itu berjaya mengelak daripada menjadi kelab besar yang tersingkir daripada Liga Perdana England (EPL). 

Pemain dan penyokong Spurs akhirnya bersatu hati apabila kemenangan ke atas Everton pada hari terakhir musim ini berjaya mengekalkan mereka di EPL, sekali gus menghantar West Ham United ke Liga Kejohanan. 

Namun secara perlahan-lahan, nada bantahan mula kedengaran apabila satu sepanduk besar dibentangkan oleh penyokong, tertulis: ‘Dijanjikan Kejayaan. Menghasilkan Kegagalan. ENIC keluar’.

Penyokong yang telah lama menanggung begitu banyak kekecewaan berhak meluahkan perasaan mereka.

Lagipun, ini hanya kemenangan ketiga di padang sendiri yang mereka saksikan musim ini, walaupun ia mungkin perlawanan paling penting bagi kelab dalam masa terkini. 

Bagi pemain Spurs, kegembiraan spontan itu boleh difahami, tetapi rasa malu seharusnya segera menguasai mereka ketika mendengar penyokong menyanyi, We Are Staying Up.

Kata-kata itu sendiri, yang biasanya didendangkan oleh kelab yang hampir tersingkir, seharusnya menjadi tamparan hebat buat seluruh kelab.

Sebaik sahaja selesai perayaan, siasatan menyeluruh harus bermula. 

Perayaan penuh semangat oleh pemain yang telah tampil begitu buruk musim ini, dengan Spurs terselamat selepas menamatkan musim di tangga ke-17.

Ia tidak sepatutnya berlaku sekiranya mereka menunjukkan prestasi lebih baik dari awal musim.

Spurs telah mendapat amaran. Keretakan ditutup melalui kejayaan Liga Europa musim lalu, yang kemudian diikuti dengan pemecatan pengurus, Ange Postecoglou.

Namun, keretakan kembali kelihatan apabila musim ini bermula.

Pimpinan tertinggi kelab turut hadir menyaksikan perlawanan penentu itu dengan ketua pegawai eksekutif, Vinai Venkatesham, berada di barisan depan bersama pengarah sukan, Johan Lange. 

Peranan mereka dalam semua itu akan turut dipersoal, terutama keputusan mengejutkan mereka untuk mempercayai pengurus, Igor Tudor, yang tidak sesuai sebagai pengganti, Thomas Frank.

Frank telah dipecat selepas lapan bulan. Tudor pula hanya bertahan selama 44 hari selepas lima kekalahan dalam tujuh perlawanan.

Namun, ada satu keputusan yang mereka buat dengan betul, iaitu memujuk Roberto De Zerbi, untuk menyertai kelab sebelum musim berakhir, tanpa menunggu untuk tahu sama ada Spurs akan kekal di EPL atau tidak. 

De Zerbi, mengikut pengakuannya sendiri, terpaksa bertindak lebih sebagai ahli psikologi daripada jurulatih untuk membawa Spurs ke kedudukan selamat. 

Beliau berjaya melakukannya dan layak dipuji, dengan kemenangan di Wolverhampton Wanderers dan Aston Villa, ditambah kemenangan penuh ketegangan menentang Everton, sudah cukup untuk membawa mereka melepasi garisan penamat.

Pengerusi bukan eksekutif, Peter Charrington, dan ketua pegawai operasi dan kewangan, Matthew Collecott turut hadir.

Diharap mereka mendapat jawapan kepada persoalan bagaimana Spurs boleh berada jatuh serendah ini, serta langkah yang perlu diambil agar ia tidak berulang musim hadapan.

Buat masa ini, dengan kesungguhan De Zerbi dan kegagalan kelab lain, Spurs terlepas daripada hari perhitungan.

Namun tidak lama, kegembiraan sementara penyokong bakal bertukar menjadi kemarahan.

Bagaimana sebuah kelab yang bermain di stadium semegah itu, mempunyai penyokong yang begitu setia, dan menerima kira-kira 74 juta paun ($127.5 juta) selepas layak ke Liga Juara-Juara melalui kejayaan Liga Europa, boleh hampir tersingkir ke Liga Kejohanan? 

Jawapannya mudah, keputusan buruk di dalam dan di luar padang, pelantikan yang lemah, serta prestasi pemain yang merosot.

Pada beberapa detik tertentu musim ini, Spurs kelihatan seperti pasukan yang langsung tidak bermotivasi. 

Kerja keras mesti bermula sekarang, tetapi sekurang-kurangnya mereka mempunyai De Zerbi untuk memimpin. – Agensi berita.