Kepuasan daripada kemenangan pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris adalah melihat kesan positifnya, kata atlet luncur lelayang, Maximilian Maeder, ketika menerima sambutan wira daripada para penyokong di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi pada 13 Ogos.
Maeder, 17 tahun, adalah atlet termuda daripada enam pemenang pingat Sukan Olimpik warga Singapura setelah beliau meraih tempat ketiga bagi acara lelayang lelaki pada 9 Ogos.
Pingat gangsanya muncul pada hari sama Singapura meraikan ulang tahun ke-59 kemerdekaan dan juga mengakhiri penantian lapan tahun untuk menyaksikan seorang warga Singapura naik ke podium Olimpik sejak perenang, Joseph Schooling, memenangi pingat emas pada 2016.
Dalam temubual bersama media selepas ketibaannya di tanah air pada 13 Ogos, Maeder berkata beliau “paling terharu” dengan penerimaan yang positif daripada warga Singapura, sambil menambah:
“Saya tidak dapat menyatakan apa maksudnya untuk memiliki perjalanan seperti ini... dan untuk melihat bahawa usaha saya telah memberi impak positif adalah perkara yang memuaskan.”
Mengenai sambutan hangat oleh penyokongnya, beliau berkata:
“Sangat mengharukan. Ia amat bermakna untuk saya. Saya hanya boleh membayangkan mereka bangun awal untuk datang ke sini... ia benar-benar membuat saya tersenyum. Ia telah menjadikan hari saya begitu baik, hanya untuk melihat semua orang datang ke sini dan bertanya khabar kepada saya. Ya, sangat istimewa.”
Ketika ditanya rancangan beliau seterusnya, Maeder berkata:
“Perkara pertama yang ingin saya buat sekarang adalah untuk mandi. Tetapi, saya mahu berjumpa dengan keluarga saya, makan makanan yang dimasak oleh ‘popo’ (nenek dalam bahasa Mandarin) dan apa sahaja yang boleh saya makan di atas meja.
“Ibu saya memaksa saya mengambil cuti dan berehat. Saya akan dengar pesannya. Selepas itu, saya akan terus bersaing dan berlatih seperti biasa. Keseronokan berterusan.”
Peminat di sini tidak sabar menyatakan rasa terima kasih mereka atas hadiah hari jadi yang tepat pada masanya yang diberikan Maeder kepada negara pada 9 Ogos.
Caleb Tan, enam tahun, adalah antara penyokong termuda yang hadir untuk menyambut Maeder.
Dia membawa poster dibuat sendiri yang bertulis, “Saya ponteng sekolah untuk berjumpa Max Maeder”.
Caleb memberitahu The Straits Times bahawa dia telah menghasilkan poster itu bersama ibunya.
Dia mendapat lebih daripada apa yang diharapkannya – autograf Maeder pada poster – kerana dia juga dinaikkan ke bahu pemenang pingat Olimpik itu untuk bergambar.
Caleb menambah: “Saya sangat gembira apabila dia memenangi pingat gangsa kerana dia telah melakukan yang terbaiknya.”
Ibu Caleb, Wendy Tan, seorang perunding kewangan berusia 35 tahun, berkata:
“Max adalah inspirasi. Dia bercakap dengan baik semasa diwawancara di televisyen dan saya benar-benar menyukai bagaimana dia mengucapkan terima kasih kepada ibu bapanya.
“Hormat yang dia miliki untuk orang juga hebat dan nilai itu penting untuk mengajar kanak-kanak muda. Saya mahu Caleb memahami perkara itu jadi saya membawanya melihat sendiri Maeder.”
Seorang pengkaji berusia 39 tahun, yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Jean, membawa tiga anaknya, Serena, 10 tahun, Ashton, tujuh tahun, dan Elijah, lima tahun, untuk menyambut Maeder.
Cik Jean, berkata:
“Kami menonton kebanyakan aksi Team Singapore sekeluarga, kadangkala dari sorotan jika acara bermula lewat. Kami sangat teruja berada di sini dan sebenarnya anak-anak yang melihat Instagram dan memberitahu saya Max tiba pada jam ini hari ini.
“Salah satu sebab saya bersetuju adalah kerana ia adalah detik bersejarah untuk berada di sini dan mengucapkan terima kasih secara peribadi.
“Dia telah membantu anak-anak muda menyedari bahawa sebagai warga Singapura, mereka boleh mara ke peringkat dunia dan walaupun kami mungkin berasal dari negara kecil, tetapi kami juga boleh memberi impak yang besar.”
Turut hadir ialah Afiq Azman, 31 tahun, yang berkata beliau mula menonton Maeder hanya pada perlawanan akhir dan berada di sini untuk “menikmati suasana”.
Afiq berkata:
“Saya tahu ketika dia mara ke final, kami mungkin ada peluang mendapat pingat. Tiada pengakhiran yang lebih baik daripada Singapura memenangi pingat pada Hari Kebangsaan.
“Hari ini adalah hari saya bercuti dan ia adalah satu peristiwa yang jarang berlaku di Singapura. Saya hanya di sini untuk menikmati suasana dan mengucapkan terima kasih kepadanya secara peribadi. “


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg