Balai ketibaan di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi lebih sibuk daripada biasa dan diselubungi keghairahan sebelum subuh pada 13 Ogos ketika Singapura meraikan kepulangan pemenang pingat Sukan Olimpiknya, atlet luncur lelayang, Maximilian Maeder.
Dalam kalangan hampir 60 orang yang menyambut Maeder, 17 tahun, dan rakan atlet kapal layar, Ryan Lo, 27 tahun, yang bersaing dalam acara dingi lelaki, adalah puluhan penyokong, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, pegawai dari Persekutuan Kapal Layar Singapura dan Majlis Sukan Singapura (Sport Singapore) dan kira-kira 20 anggota media, lapor The Straits Times.
Maeder adalah yang termuda daripada enam pemenang pingat Sukan Olimpik warga Singapura setelah beliau meraih tempat ketiga bagi acara lelayang lelaki pada 9 Ogos.
Pingat gangsanya muncul pada hari sama Singapura meraikan ulang tahun ke-59 kemerdekaannya dan juga mengakhiri penantian lapan tahun untuk menyaksikan seorang warga Singapura naik ke podium Olimpik sejak perenang, Joseph Schooling, memenangi pingat emas pada 2016.
Kebanyakan mereka hadir seawal 5.30 pagi, sebelum Maeder memasuki balai ketibaan selepas penerbangan hampir 13 jam dari Paris menaiki penerbangan Singapore Airlines SQ335.
Ketika orang ramai menjerit, “Selamat pulang, Max”, Encik Tong meletakkan kalungan bunga pada lehernya.
“Saya benar-benar terharu,” kata Maeder.
Selain Maeder, lima lagi warga Singapura telah merangkul pingat di Sukan Olimpik.
Mereka ialah atlet angkat berat, Tan Howe Liang, yang meraih pingat perak pada 1960 di Rome; pemain tenis meja Singapura, Feng Tianwei, Li Jiawei dan Wang Yuegu, yang menghasilkan satu lagi pingat perak dan dua pingat gangsa di temasya sukan Beijing 2008 dan London 2012; dan Schooling, yang menggondol satu-satunya pingat emas negara pada 2016 di Rio de Janeiro.
Sementara itu, Maeder bersedia menerima lebih pujian dari warga Singapura pada 14 Ogos semasa perarakan perayaan bas terbuka yang akan menampilkan beliau dan tujuh atlet negara yang lain daripada kontinjen Team Singapore, yang beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024
Bas itu akan melalui Bayfront Avenue, Chinatown, Orchard Road, Serangoon Road dan Victoria Street dari 11.30 pagi hingga 1 tengah hari.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg