Topik diikuti
Pergi ke BHkuMaghribi, Sepanyol bersaing ingin anjur final Piala Dunia 2030
Maghribi, Sepanyol bersaing ingin anjur final Piala Dunia 2030
Maghribi, Sepanyol bersaing ingin anjur final Piala Dunia 2030
NEW YORK: Perhatian peminat bola sepak dunia bakal tertumpu sepenuhnya ke bandar raya New York menjelang aksi kemuncak Piala Dunia pada 19 Julai, namun lokasi bagi aksi penentu kejuaraan bagi edisi 2030 kini menjadi isu perbalahan diplomatik dan politik yang sengit.
Maghribi, Portugal dan Sepanyol dipilih sebagai penganjur bersama Piala Dunia 2030, namun Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) masih belum mengumumkan negara yang akan menjadi tuan rumah bagi perlawanan akhir itu.
Sepanyol sebelum ini berkeras ingin menganjurkan perlawanan berkenaan, sementara itu Maghribi sedang membina sebuah stadium baharu di Benslimane, pinggir Casablanca, bernilai AS$12 bilion ($15.5 bilion) yang mampu menampung 115,000 penonton.
Projek mega itu dibina dengan harapan dapat menjadi gelanggang bagi aksi final 2030, sekali gus mencetuskan persaingan sengit di peringkat atasan badan induk sukan tersebut.
Stadium Hassan II itu dijangka menjadi stadium bola sepak terbesar di dunia dengan pembinaannya dijadual siap menjelang akhir 2027.
Kemudahan itu bakal bersaing sengit dengan dua lokasi berpotensi di Sepanyol.
Ini termasuk Stadium Santiago Bernabeu di Madrid, yang mempunyai kapasiti 83,000 tempat duduk selepas melalui kerja pengubahsuaian menyeluruh dan telah pun siap pada penghujung 2024.
Turut menjadi pilihan ialah Stadium Camp Nou milik Barcelona yang kini dibuka secara berperingkat, meskipun kerja pengubahsuaian yang dapat memuatkan 105,000 penyokong itu dilaporkan mengalami kelewatan.
Langkah awal yang kelihatan seperti satu usaha melobi yang sengit telah dimulakan pada Januari oleh Presiden Persekutuan Bola Sepak Sepanyol, Rafael Louzan.
Beliau menegaskan bahawa Sepanyol akan menganjurkan perlawanan akhir tersebut, malah mempergunakan situasi huru-hara ketika aksi Piala Negara-Negara Afrika (Afcon) di Maghribi untuk meraih kelebihan.
“Sepanyol mempunyai keupayaan penganjuran yang telah terbukti selama bertahun-tahun, dan disebabkan itu Sepanyol akan menerajui Piala Dunia 2030 serta menjadi lokasi final nanti,” katanya kepada media.
“Memang benar Maghribi sedang melalui fasa perubahan, namun beberapa insiden pada perlawanan tertentu di Afcon bukan sahaja menjejaskan kejohanan itu sendiri, malah turut merosakkan imej bola sepak dunia,” kata Louzan, merujuk kepada beberapa insiden termasuk kekecohan penyokong, tindakan kurang profesional pekerja pengutip bola, serta tindakan keluar padang seketika oleh pasukan Senegal ketika menentang Maghribi dalam perlawanan Afcon di Rabat itu.
Insiden itu tercetus di Stadium Putera Moulay Abdallah yang baru siap dibina dan mempunyai kapasiti 69,500 tempat duduk.
Presiden Persekutuan Bola Sepak Maghribi yang berpengaruh, Fouzi Lekjaa, bagaimanapun tidak mengulas lanjut dan memberitahu televisyen negara itu baru-baru ini:
“Tiada sebarang keputusan dimuktamadkan setakat ini berhubung penetapan perlawanan. Pemilihan ini dibuat secara eksklusif menerusi rundingan antara ketiga-tiga negara penganjur dengan Fifa.”
Namun, sumber dalaman bola sepak Afrika mengesahkan bahawa Maghribi sedang melakukan usaha gigih di sebalik tabir bagi memastikan perlawanan akhir itu berlangsung di Casablanca.
Ia turut menjangkakan persaingan antara pihak yang terlibat akan menjadi semakin hangat.
Sekiranya Casablanca dipilih, ia bakal menyaksikan bandar raya di benua Afrika menjadi tuan rumah perlawanan akhir Piala Dunia buat kali kedua dalam sejarah selepas penganjuran di Johannesburg, Afrika Selatan, pada 2010.
Bandar raya itu menjadi saksi Sepanyol memenangi satu-satunya gelaran Piala Dunia mereka setakat ini.
Ketika Sepanyol menjadi tuan rumah Piala Dunia 1982, perlawanan akhir berlangsung di Santiago Bernabeu yang menyaksikan Italy menewaskan Jerman Barat 3-1. – Reuters.
