Topik diikuti
Pergi ke BHkuBenteng kebal Sepanyol taruhan utama julang piala
Benteng kebal Sepanyol taruhan utama julang piala
Hanya dibolosi sekali dalam tujuh perlawanan, disiplin tinggi skuad kendalian Luis de la Fuente jadi senjata utama Sepanyol untuk jadi juara kali kedua selepas 16 tahun
Benteng kebal Sepanyol taruhan utama julang piala
“Serangan memenangi perlawanan, tetapi pertahanan memenangi kejuaraan.”
Demikian ungkapan terkenal oleh pengurus legenda Manchester United, Alex Ferguson, yang cukup menggambarkan perjalanan Sepanyol di Piala Dunia 2026.
Walaupun dibarisi pemain berbakat yang mampu menghasilkan jaringan dari mana jua, kekuatan sebenar Sepanyol sepanjang kejohanan tersebut terletak pada benteng pertahanan mereka yang amat sukar ditembusi.
Dalam tujuh perlawanan menuju ke pentas final, skuad kendalian Luis de la Fuente hanya dibolosi sekali.
Rekod itu bukan sahaja yang terbaik dalam kejohanan tersebut, malah menjadi asas kepada kemaraan mereka ke final, dengan hanya 90 minit memisahkan mereka daripada trofi Piala Dunia kedua dalam sejarah negara itu.
Di Stadium New York New Jersey pada 20 Julai, Sepanyol akan berdepan juara bertahan Argentina dalam perlawanan yang bakal menentukan sama ada disiplin dan konsistensi mereka sepanjang kejohanan mampu diterjemahkan kepada gelaran juara dunia.
Bagi Sepanyol, kemenangan akan menamatkan penantian selama 16 tahun sejak menjulang piala itu di Afrika Selatan pada 2010.
Jika ada satu perkara yang membezakan Sepanyol daripada pasukan lain sepanjang kejohanan ini, ia adalah identiti permainan mereka.
Sepanyol tidak perlu menjaringkan empat atau lima gol dalam setiap perlawanan untuk membuktikan kehebatan mereka.
Sebaliknya, mereka menguasai perlawanan menerusi penguasaan bola yang kemas, disiplin taktikal yang tinggi dan organisasi pertahanan yang menjadikan setiap pemain tahu bila perlu menyerang dan bila perlu bertahan.
Sebaik kehilangan bola, seluruh pasukan segera melakukan tekanan tinggi bagi merampas semula penguasaan.
Pendekatan itu menyebabkan pihak lawan jarang diberi masa atau ruang untuk membina serangan yang mengancam.
Hasilnya, Sepanyol bukan sahaja belum dikalahkan dalam kesemua tujuh perlawanan mereka, malah hanya sekali menyaksikan gawang mereka dibolosi.
Rekod itu menjadi bukti bahawa kejayaan mereka bukan bergantung kepada kemahiran individu, tetapi kepada satu sistem yang sangat efektif.
Pada pusingan separuh akhir, mereka menyingkirkan Perancis – pasukan pilihan yang memiliki jentera serangan paling berbisa di kejohanan – tanpa membenarkan lawan menguasai permainan.
Walaupun baru berusia 19 tahun, bintang pertahanan Pau Cubarsí kini berdiri teguh sebagai perisai kebal dan pertahanan terbaik Sepanyol sepanjang kempen Piala Dunia kali ini.
Pemain Barcelona itu menjadi jeneral utama yang membimbing benteng pertahanan paling digeruni.
Beliau melakar statistik luar biasa dengan 24 rampasan bola serta 25 tendangan keluar (clearance), sekali gus mengekalkan rekod bersih tanpa bolos dalam enam perlawanan sepanjang kejohanan.
Kekebalan pertahanan ini membebaskan serangan Sepanyol.
Dari segi serangan pula satu lagi bintang muda, Lamine Yamal, mencuri tumpuan.
Beliau mempunyai rekod luar biasa apabila menerajui carta gelecekan yang berhasil bagi setiap 90 minit dengan purata 3.45 gelecekan bagi setiap perlawanan – paling tinggi dalam kejohanan ini.
Bukan itu sahaja, bintang muda Barcelona ini turut menghuni tangga kedua bagi jumlah keseluruhan cabaran satu lawan satu yang berhasil.
Dengan melakar 22 gelecekan melepasi lawan, beliau mengekori rapat Lionel Messi (25) sebagai dua pemain tunggal yang berjaya melepasi jumlah 20 gelecekan sepanjang kempen kali ini.
Lebih mengagumkan, Yamal bukan sekadar mencipta peluang untuk dirinya sendiri.
Ruang yang dicipta oleh Yamal membuka ruang bagi penyerang mereka, Mikel Oyarzabal, untuk menjaringkan gol-gol penting dalam kejohanan.
Justeru, apa yang menjadikan Sepanyol begitu sukar ditewaskan ialah keseimbangan mereka.
Mereka bukan sahaja memiliki pertahanan paling teguh, malah jentera serangan yang mampu memenangi perlawanan dengan sekelip mata.
Lebih penting, setiap pemain memahami peranan masing-masing tanpa terlalu bergantung kepada seorang bintang.
Selepas tujuh perlawanan yang hampir sempurna, La Roja ( nama gelaran Sepanyol) kini hanya memerlukan satu lagi persembahan terbaik untuk mengembalikan trofi paling berprestij bola sepak dunia ke Sepanyol.
Dan jika benar ungkapan bahawa pertahanan memenangi kejuaraan, benteng kebal Sepanyol mungkin sedang menuju detik paling gemilang dalam sejarah generasi ini.
Ramalan wartawan: Spain 2 - 1 Argentina
