Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mainoo bantu Man U mara ke pusingan 16 akhir

Jan 31, 2025 | 3:18 PM
Kobbie Mainoo menjaringkan satu gol dan memberi peluang untuk Diogo Dalot menjaringkan satu lagi gol ketika Manchester United menewaskan kelab Romania FCSB di Bucharest, Romania.
Kobbie Mainoo menjaringkan satu gol dan memberi peluang untuk Diogo Dalot menjaringkan satu lagi gol ketika Manchester United menewaskan kelab Romania FCSB di Bucharest, Romania. - Foto REUTERS

BUCHAREST (Romania): Manchester United mara ke pusingan 16 terakhir Liga Europa selepas Kobbie Mainoo menjaringkan satu gol dan membantu Diago Dalot menjaringkan satu lagi gol bagi pasukan bimbingan Ruben Amorim meraih kemenangan ke atas kelab Romania, FCSB.

Selepas 60 minit permainan yang agak hambar di Bucharest, Mainoo menghantar hantaran lintang rendah ke dalam kotak dan Dalot menolak bola masuk dengan mudah, meletakkan United di hadapan, lapor BBC.

Mainoo menambah jaringan lapan minit kemudian untuk menyudahkan hantaran Alejandro Garnacho.

Amorim memilih untuk menempatkan Mainoo di posisi yang lebih menyerang dan pemain tengah itu tidak mengecewakan keputusan Amorim dengan gol pertamanya musim ini, selepas kali terakhir menjaringkan gol dalam kemenangan United di peringkat akhir Piala FA 2024.

“Saya menikmati perlawanan ini dan saya gembira dapat beraksi untuk Manchester United,” kata pemain berusia 19 tahun itu kepada TNT Sports selepas perlawanan. 

United menamatkan saingan peringkat liga kejohanan di tempat ketiga dan akan bertemu salah satu pasukan – Real Sociedad, Galatasaray, AZ Alkmaar atau FC Midtjylland – dalam perlawanan pusingan 16 terakhir pada Mac nanti.

Manchester United berjaya mengelak pusingan play-off dua perlawanan pada Februari, sesuatu yang dikatakan Amorim selepas perlawanan sebagai “sangat penting” kerana memberi lebih masa kepada pemainnya untuk berlatih dan “membina keserasian.”

United meningkatkan prestasi permainan selepas separuh masa kedua di Romania susulan permainan babak pertama yang kurang berkesan.

Amorim telah merehatkan penyerang Amad Diallo dan Garnacho, sebelum mereka dimasukkan pada separuh masa kedua menggantikan pemain bek sayap kiri, Tyrell Malacia dan pemain tengah pertahanan, Toby Collyer.

Hanya satu minit 20 saat selepas itu, Garnacho hampir meletakkan United di depan apabila rembatannya terkena tiang.

United kelihatan lebih berbahaya dengan kehadiran Garnacho dan Diallo.

Tidak lama kemudian, Bruno Fernandes pula berjaya mendapatkan peluang melakukan rembatan jarak jauh.

Ketika United terus mengenakan tekanan melalui pemain bek sayap mereka, pertahanan FCSB mula goyah. 

Dalot yang melakukan larian dari belakang berada di kedudukan tepat untuk menyempurnakan hantaran lintang Mainoo pada minit ke-60. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg