Mastura Jeilani pernah beraksi dengan penuh bangga sambil menyarung jersi kebangsaan, dan pada 2024, beliau kembali mewakili negara, kali ini sebagai pengurus pasukan bola sepak kebangsaan wanita.
Dikenali dengan gaya kepimpinan yang penyayang dan sentiasa menyokong, beliau mendapat gelaran mesra ‘Mama Mas’ daripada anak didiknya.
Beliau mulanya berharap dapat beraksi buat kali terakhir untuk pasukan kebangsaan pada 2024, tetapi satu lagi kecederaan ligamen krusiat anterior atau ACL di lututnya (yang ketiga dalam kerjayanya) pada Jun 2024 telah mengubah haluan kerjayanya.
Walau kini tidak lagi beraksi di padang, Mastura memainkan peranan yang tidak kurang penting.
Jauh daripada sorotan kamera, di sebalik tabir, beliau sentiasa bersedia memastikan kesejahteraan mental, emosi, dan fizikal para pemain sentiasa terjaga.
Bagi beliau, bola sepak bukan semata-mata soal taktikal.
Beliau percaya nilai yang membuat seseorang pengurus itu hebat terletak pada empati dan keupayaan menjadi pendengar luahan pemain, dan sandaran bagi mereka.
“Bola sepak bukan hanya tentang kemahiran teknikal. Emosi dan kesejahteraan pemain sangat penting. Inilah peluang untuk saya guna semua pengalaman saya sebagai pemain – dan memahami perasaan sebenar mereka,” kata pengurus berusia 33 tahun itu.
“Apabila para pemain menghadapi sebarang masalah atau perkara negatif, saya berharap menjadi orang pertama yang mereka cari.”
Walaupun beliau telah menggalas tanggungjawab sebagai pengurus selama kurang setahun, jelas dilihat bahawa harapannya sudah mula menjadi kenyataan.
Semasa Kelayakan Piala Asia Wanita di Amman, Jordan, baru-baru ini, para pemain telah menghubungi beliau untuk meluahkan perasaan dan kebimbangan mereka.
“Kami ada pemain semuda 16, 17 tahun. Mereka masih remaja. Bila sesiapa sahaja berada jauh daripada keluarga, mereka perlukan sokongan. Saya mahu mereka tahu, mereka ada seseorang yang mereka boleh harapkan di sini,” katanya.
Mastura juga mendedahkan bahawa cabaran terbesar sebagai pengurus adalah menjaga perasaan beberapa pihak.
Beliau harus mengutamakan pasukan dahulu, dan kadangkala keputusan yang dilakukan berpotensi mengguris hati pemain ataupun rakan sekerjanya.
Ramai antara pemain hari ini pernah beraksi bersamanya.
Antaranya adalah kapten pasukan, Rosnani Azman, yang beliau sifatkan sebagai mempunyai “semangat yang berkobar-kobar”.
Beliau berterima kasih kepada Nani, gelaran Rosnani yang digunakan oleh Mastura, kerana telah membantunya menemui keseimbangan sebagai pengurus dan ‘rakan’ pasukannya.
Hubungan yang terjalin – termasuk bersama pemain lain – kini menjadi kekuatan bagi Mastura demi membantu melaksanakan peranannya dengan lebih baik.
“Mereka selesa dengan saya. Mereka terbuka, mereka boleh datang dan bercerita. Saya faham apa yang mereka lalui. Dan bagi saya, itu yang paling penting. Saya tidak mahu mereka memendam rasa dan menjauh,” kata bekas pemain kebangsaan itu.
Detik paling menyentuh hati bagi Mastura terjadi sebelum beliau menerima jawatan sebagai pengurus pasukan secara rasmi.
Apabila beliau berkongsi tentang tawarannya itu dengan rakan sepasukannya pada masa itu, mereka memberikan sokongan sepenuhnya.
“Itu saat paling indah – mereka menyokong saya bukan saja sebagai bekas pemain, bahkan sebagai pengurus.
“Saya sudah lama menyumbang, dan kini saya rasa dihargai. Itu sangat bermakna,” kata Mastura, yang merupakan pemain termuda untuk membuat penampilan negara ketika beliau berusia 14 tahun, selama 224 hari pada 2007.
Mastura kini melihat tanggungjawabnya bukan hanya menyokong pemain, malah memperjuangkan masa depan bola sepak wanita.
Beliau mahu membina asas yang kukuh untuk para pemain muda dan keluarga mereka, agar mereka mempercayai bahawa bola sepak wanita ada hala tuju yang jelas.
“Saya sendiri ada anak perempuan. Jika dia nak main bola sepak, saya akan sokong,” kata ibu dua orang anak berusia tujuh dan sembilan tahun itu.
“Tapi saya pernah dengar ibu bapa berkata, ‘bola sepak ini boleh bawa ke mana?’
“Mentaliti ini perlu diubah. Kita mahu bola sepak wanita dilihat sebagai satu peluang, bukan sekadar hobi.”
Walaupun tidak lagi beraksi di tengah padang, peranan Mastura di belakang tabir merupakan nadi yang menggerakkan pasukan wanita negara.
Daripada menjaga emosi pemain, menyelesaikan hal logistik, serta menjadi orang tengah antara pemain dan jurulatih, hingga kepada memastikan suasana pasukan kekal positif, ‘Mama Mas’ kekal menjadi tulang belakang skuad tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg