Topik diikuti
Pergi ke BHkuMampukah Lamine Yamal bawa Sepanyol ulangi jaya julang Piala Dunia?
Mampukah Lamine Yamal bawa Sepanyol ulangi jaya julang Piala Dunia?
Juara Eropah 2024 miliki ‘ramuan idaman’ hasil gabungan bakat muda, pemain berpengalaman
Mampukah Lamine Yamal bawa Sepanyol ulangi jaya julang Piala Dunia?
Semua perhatian bakal tertumpu kepada pemain muda remaja, Lamine Yamal, apabila Sepanyol memulakan kempen Piala Dunia 2026.
Sejak mencuri perhatian dunia ketika membantu negaranya menjuarai perlawanan Euro 2024, pemain berusia 18 tahun itu terus berkembang menjadi antara bakat paling menyerlah dalam bola sepak dunia, dengan prestasinya di peringkat kelab dan antarabangsa semakin mengagumkan.
Walaupun berdepan beberapa masalah kecederaan, termasuk di bahagian paha dan kecederaan hamstring pada April lalu (2026), Yamal kekal menjadi tumpuan utama dalam skuad Sepanyol yang dilihat sebagai antara calon terkuat untuk menjulang trofi.
Dengan pemain penting seperti Nico Williams kembali cergas selepas pulih daripada kecederaan, perhatian kini terarah kepada sama ada Yamal mampu menyerlah dalam penampilan sulungnya di pentas Piala Dunia.
Bintang muda itu berkata bermain di Piala Dunia dan melihat ibunya di tempat duduk penonton adalah satu impian yang sentiasa dibayangkan, sambil menaruh harapan tinggi menjulang trofi idaman.
“Saya sentiasa membayangkan diri saya bermain di Piala Dunia sambil melihat ibu saya di tempat duduk penonton. Saya berharap pasukan kami dapat memenangi Piala Dunia.
“Menjadi sebahagian daripada Piala Dunia adalah impian yang menjadi kenyataan,” katanya.
Mengulas mengenai dinamika dalam pasukan, Yamal menyifatkan skuad kebangsaan itu seperti sebuah keluarga besar yang lebih mengutamakan kejayaan pasukan berbanding anugerah peribadi.
Selepas muncul juara Eropah pada 2024, Sepanyol menyertai Piala Dunia dengan pasukan padu hasil gabungan pemain muda dan pemain berpengalaman, di samping harapan tinggi menjulang untuk menambah satu lagi gelaran juara dunia selepas kejayaan mereka pada 2010.
Ketua Jurulatih, Luis de la Fuente, tidak menolak kedudukan pasukannya sebagai antara pasukan pilihan.
Malah, beliau melihat pengiktirafan itu sebagai hasil usaha panjang yang dibina sejak mengendalikan pasukan belia Sepanyol, sebelum mengambil alih skuad senior.
“Kami gembira dengan status yang diberi. Ia membantu kami menghadapi Piala Dunia ini dengan penuh semangat dan keinginan untuk mencapai sesuatu yang besar,” katanya.
Namun, De la Fuente turut mengingatkan status pilihan bukan jaminan kejayaan.
“Jika kami fikir menjadi pasukan pilihan menjamin apa jua bentuk kejayaan kelak, salah pemikiran kami ini. Sebenarnya, ia tidak menjamin apa-apa,” tambahnya.
Piala Dunia kali ini juga bakal membawa cabaran berbeza.
Dengan 48 pasukan bertanding dan kejohanan berlangsung di Amerika Syarikat, Canada serta Mexico, faktor perjalanan jauh, cuaca berbeza dan tempoh pemulihan yang singkat dijangka memainkan peranan besar.
Justeru, De la Fuente menjelaskan beliau akan memanfaatkan sepenuhnya skuad 26 pemain yang dibawa.
Keyakinan terhadap kekuatan Sepanyol turut dikongsi bekas penolong jurulatih pasukan kebangsaan Sepanyol, Jesus Casas, yang kini mengendalikan Lion City Sailors.
Menurutnya, bola sepak Sepanyol mempunyai mutu yang bukan calang-calang sehingga mampu membentuk satu lagi skuad yang berdaya saing.
Casas percaya terdapat beberapa pemain yang akan menggalas peranan besar di luar dan di dalam padang.
“Saya rasa Rodri (Rodrigo Hernandez Cascante) dan Unai Simon akan menjadi tonggak kepimpinan di bilik persalinan, manakala Pedri (Pedro Gonzalez Lopez) dan Yamal bakal memberikan impak terbesar di padang,” kata beliau kepada Berita Harian (BH).
Beliau juga berpendapat generasi pemain muda kini memiliki sesuatu yang tidak dimiliki Sepanyol ketika eranya bersama skuad kebangsaan - pemain sayap yang mampu menewaskan lawan secara konsisten dalam situasi satu lawan satu - seperti Yamal.
Yamal mungkin menjadi wajah utama Sepanyol, namun Pedri boleh dianggap sebagai antara pemain paling penting dalam sistem De la Fuente.
Pemain tengah Barcelona itu merupakan nadi permainan Sepanyol, mengawal tempo perlawanan menerusi visi, kreativiti dan kebolehannya mencari ruang di kawasan sempit.
Ketika banyak perhatian diberi kepada Yamal dan Nico Williams, Pedri sering menjadi pemain yang membuka ruang dan menghubungkan bahagian tengah dengan serangan.
Tidak hairanlah Casas menamakan Pedri sebagai antara pemain paling berpengaruh dalam skuad Sepanyol.
Jika berjaya mengekalkan kecergasan dan prestasi terbaiknya, beliau mampu menjadi faktor yang membezakan Sepanyol daripada pencabar lain.
Di samping itu, peranan Rodri juga tidak boleh dipandang ringan.
Pemain tengah berpengalaman itu memberikan kestabilan, ketenangan dan kepimpinan yang amat diperlukan terutama dalam aksi kalah mati.
Jika Pedri bertanggungjawab mencipta peluang, Rodri pula menjadi pemain yang memastikan keseimbangan pasukan sentiasa terpelihara.
Dari segi mutu, Sepanyol memiliki semua ramuan untuk menjulang trofi Piala Dunia.
Namun, sejarah membuktikan Piala Dunia sering ditentukan oleh detik kecil dan bukannya prestasi konsisten sepanjang kejohanan.
Faktor kecergasan mungkin menjadi kebimbangan utama, dengan beberapa pemain utama termasuk Yamal dan Williams baru pulih daripada kecederaan.
Sepanyol mempunyai segala kemampuan untuk mara jauh dan mungkin mempamerkan antara permainan bola sepak paling menarik dalam kejohanan ini.
Namun, dengan Argentina, Perancis, Brazil, England dan Portugal turut memiliki skuad bertaraf juara, ruang kesilapan amat kecil.
Sepanyol dijangka mampu melangkah sehingga ke separuh akhir, tetapi untuk muncul juara dunia, mereka mungkin memerlukan segala-galanya berjalan sempurna sepanjang sebulan pertandingan mencabar ini.
Ramalan wartawan: Perjalanan Sepanyol hanya setakat ke peringkat separuh akhir
Pasukan di Kumpulan H: Sepanyol, Cabo Verde, Arab Saudi, Uruguay
Jadual Perlawanan Sepanyol (waktu Singapura):
– 16 Jun: Sepanyol lawan Cabo Verde (12 tengah hari)
– 22 Jun: Sepanyol lawan Arab Saudi (12 tengah hari)
– 27 Jun: Uruguay lawan Sepanyol (8 pagi)
